Harga flat jualan semula HDB naik 0.4% pada Q3; kenaikan paling rendah sejak Q2 2020
Harga flat jualan semula naik sebanyak 0.4 peratus pada suku ketiga 2025, menandakan peningkatan paling rendah dari suku ke suku sejak suku kedua 2020.
Indeks harga jualan semula, yang mencerminkan naik turun harga dalam pasaran jualan semula, naik kepada 203.7 pada suku ketiga, daripada 202.9 pada suku sebelumnya, menurut unjuran awa; Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada Rabu (1 Okt).
"Ini merupakan suku keempat berturut-turut pertumbuhan harga jualan semula yang perlahan dan kenaikan suku ke suku paling rendah sejak Q2 2020," menurut HDB dalam kenyataan medianya.
Ia adalah suku pertumbuhan ke-22 berturut-turut bagi harga flat jualan semula, dengan trend itu bermula pada suku kedua 2020.
Terdapat beberapa langkah bagi meredakan pasaran hartanah sejak itu iaitu pada Disember 2021, September 2022, April 2023 dan Ogos 2024.
Jumlah jualan semula pada suku ketiga tahun ini, sehingga 29 September lalu adalah 7,157.
Ia adalah 10.9 peratus lebih rendah berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Pertumbuhan Hasil Kasar Dalam Negeri(GDP) Singapura dijangka menyederhana pada suku kedua 2025, menurut HDB.
PROSPEK
Para penganalisis menjangkakan harga flat jualan semula akan kekal stabil bagi suku keempat 2025, dan percaya pelancaran BTO pada Oktober akan memainkan peranan untuk mengalihkan permintaan daripada pasaran jualan semula.
HDB akan melancarkan sesi BTO terakhir pada Oktober, menawarkan lebih 9,000 flat di Ang Mo Kio, Bedok, Bishan, Bukit Merah, Jurong East, Sengkang, Toa Payoh dan Yishun.
"Jualan BTO akan datang menawarkan peluang kepada pembeli berpotensi untuk menjadi kumpulan pertama bagi daerah perumahan baharu - seperti projek kediaman pertama Toa Payoh di Mount Pleasant dan Estet Berlayar baharu di tapak lama Keppel Club di Bukit Merah," kata Encik Eugene Lim, pegawai eksekutif utama di ERA Singapore.
"Oleh demkian, sesetengah pembeli mungkin menangguhkan pembelian dalam pasaran jualan semula sehingga keputusan bidaan diumumkan."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.