Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Harga flat jualan semula HDB dijangka naik lebih perlahan pada 2025

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Harga flat jualan semula Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dijangka meningkat lebih perlahan pada 2025, kata para penganalisis pada Jumaat (24 Jan).

Lebih banyak flat Bina Ikut Tempahan (BTO) dengan masa menunggu yang lebih singkat akan dilancarkan untuk dijual, manakala kadar faedah pinjaman yang lebih rendah mungkin menarik lebih ramai orang ke pasaran hartanah privet, tambah para penganalisis.

Tiga penganalisis meramalkan peningkatan antara 3.5 peratus dan 8 peratus tahun ini – lebih rendah daripada pertumbuhan 9.7 peratus yang dicatatkan dalam harga flat jualan semula tahun lalu.

Ketua Penyelidik OrangeTee Group Christine Sun menjangkakan harga flat jualan semula HDB meningkat sebanyak 4 hingga 6 peratus.

Walaupun bilangan flat yang mencapai Tempoh Pendudukan Minimum (MOP) selama lima tahun jatuh ke paras terendah dalam tempoh 11 tahun - 6,974 unit - iaitu usaha untuk menyingkatkan masa menunggu flat BTO ke paras bawah tiga tahun mungkin menggalakkan para pembeli untuk membelinya.

Ini akan "mengalihkan lebih banyak permintaan daripada pasaran fkat jualan semula", kata Cik Sun.

HDB akan melancarkan sekitar 19,600 flat BTO pada 2025, di mana 3,800 unit akan mempunyai masa menunggu kurang tiga tahun, kata Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee awal bulan ini.

Encik Mohan Sandrasegeran, ketua penyelidikan dan analisis data di Singapore Realtors Inc, menarik perhatian kepada Jualan Baki Flat (SBF) pada bulan depan.

Menurut HDB, ia akan menjadi tawaran SBF terbesar dengan lebih 5,500 flat, di mana kira-kira 40 peratus sudahpun siap.

Flat ini "terutama menarik kepada pembeli rumah yang menghargai pilihan untuk memperoleh flat baharu, sedia untuk berpindah dengan masa menunggu yang lebih singkat berbanding proses BTO biasa".

“Sebahagian daripada flat ini telahpun siap, menyediakan alternatif menarik bagi mereka yang memerlukan kediaman dengan segera,” tambahnya.

Beliau menjangkakan harga flat jualan semula HDB akan meningkat "secara sederhana" sebanyak 3.5 hingga 5.5 peratus.

"Ini mencerminkan interaksi permintaan yang teguh, bekalan jualan semula yang terhad, dan kesan pelaksanaan dasar, memastikan persekitaran pasaran yang mampan dan stabil," tambah Encik Sandrasegeran.

Pengarah Kanan Analisis Data Huttons Lee Sze Teck berkata harga flat jualan semula HDB berkemungkinan tumbuh pada kadar yang lebih perlahan iaitu 5 hingga 8 peratus tahun ini.

Beliau berkata kadar faedah untuk pinjaman HDB berada pada tahap terendah dalam setahun dan mungkin tidak akan turun dalam masa beberapa bulan akan datang.

Dengan kuantum pinjaman yang lebih besar, sesetengah pembeli mungkin membeli sama ada Kondominium Eksekutif (EC) atau kondominium jualan semula, katanya lagi.

PERTUMBUHAN

Harga flat jualan semula HDB meningkat sebanyak 9.7 peratus pada 2024 – tinggi sedikit daripada anggaran kilat yang dikeluarkan awal bulan ini. Harga pada suku keempat meningkat 2.6 peratus berbanding suku sebelumnya.

Ini menandakan kenaikan suku tahunan ke-19 berturut-turut, kata Cik Sun.

Ia kini merupakan rentak pertumbuhan kedua terpanjang, hanya di belakang pertumbuhan 20 suku berturut-turut yang dilihat dari suku keempat 1991 hingga suku keempat 1996.

HDB menyatakan bahawa harga flat jualan semula pada suku keempat didorong oleh "permintaan meluas yang kukuh, serta kekurangan bekalan dalam pasaran".

Pemerintah telah menurunkan had pinjaman kepada nilai untuk pinjaman perumahan HDB pada Ogos 2024 demi meredakan pasaran.

Urus niaga flat jualan semula bagi suku terakhir 2024 turun sebanyak 21.1 peratus, daripada 8,142 unit pada suku ketiga kepada 6,424 pada suku keempat.

Jumlah keseluruhan flat jualan semula bagi 2024 meningkat 8.4 peratus kepada 28,986.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan