Harga COE naik bagi semua kategori; premium Kategori A hampir cecah S$125,000
Premium Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) ditutup lebih tinggi bagi semua kategori dalam bidaan terkini pada Rabu (6 Mei).
Kereta, motosikal dan kenderaan barangan kelihatan di sebuah jalan raya di Singapura. (Gambar fail: CNA/Jeremy Long)
Bagi kereta Kategori A, dengan kapasiti enjin 1,600cc ke bawah dengan kuasa kuda tidak melebihi 130bhp, premium ditutup pada S$124,790, naik 1.45 peratus daripada S$123,010 dalam bidaan sebelumnya.
Ini merupakan kenaikan keenam berturut-turut bagi premium Kategori A.
Premium bagi kereta lebih besar dan lebih berkuasa dalam Kategori B meningkat 4.33 peratus kepada S$126,236 daripada S$121,001.
COE bagi kenderaan komersial, termasuk kenderaan barangan dan bas, ditutup 4.76 peratus lebih tinggi pada S$87,479, berbanding S$83,501 dalam bidaan sebelumnya.
Premium motosikal ditutup pada S$9,452, meningkat 1.74 peratus daripada S$9,290 dalam bidaan sebelumnya.
COE kategori terbuka, yang boleh digunakan bagi sebarang jenis kenderaan tetapi kebanyakannya digunakan untuk kereta besar, meningkat 2.16 peratus kepada S$127,700 daripada S$125,002.
Sebanyak 5,042 bidaan diterima, dengan sebanyak 3,260 COE diperuntukkan.
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada 22 April menyatakan semakan terhadap usaha mengkategorikan COE sedang dijalankan, selepas premium Kategori B jatuh di bawah premium kereta lebih kecil dalam Kategori A buat kali kedua dalam tempoh sekitar dua bulan.
Pemangku Menteri Pengangkutan Jeffrey Siow berkata pada Mac bahawa ini disebabkan oleh langkah para pengeluar menyelaraskan spesifikasi kereta bagi membolehkannya memenuhi syarat bagi Kategori A.
“Kami akan mengumpul pandangan daripada orang ramai dan pihak industri tentang cara untuk meningkatkan usaha mengkategorikan COE bagi kereta,” kata Encik Siow di parlimen ketika mengumumkan semakan LTA.
LTA menaikkan sedikit kuota COE bagi tempoh Mei hingga Julai, dengan 19,052 diperuntukkan berbanding 18,824 bagi tempoh Februari hingga April.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.