Skip to main content

Singapura

Harga COE lebih rendah bagi semua kategori kecuali motosikal

Anggaran Waktu Membaca:
Harga COE lebih rendah bagi semua kategori kecuali motosikal

Kenderaan di persimpangan sibuk di Sims Way. (Gambar fail: CNA/Jeremy Long)

Diterbitkan : 04 Jun 2025 06:11PM Dikemas Kini : 04 Jun 2025 06:12PM
SINGAPURA: Harga bagi Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) ditutup lebih rendah bagi kebanyakan kategori dalam latihan bidaan terkini pada Rabu (4 Jun), kecuali motosikal.

Harga COE bagi kereta Kategori A, iaitu kereta 1,600cc ke bawah dengan kuasa kuda tidak melebihi 130bhp, ditutup pada S$96,999 berbanding S$102,501 dalam bidaan sebelum ini.

Premium COE bagi kenderaan lebih besar dan berkuasa lebih tinggi dalam Kategori B jatuh kepada S$113,000 daripada S$116,988.

COE untuk kenderaan komersial, yang termasuk kenderaan barangan dan bas, turun kepada S$62,000 daripada S$63,189 dalam bidaan sebelum ini.

COE Kategori Terbuka, yang boleh digunakan untuk sebarang jenis kenderaan tetapi kebanyakannya digunakan untuk kereta besar, juga jatuh kepada S$113,900 daripada S$118,010.

Premium motosikal pula meningkat 3.4 peratus kepada S$9,000 berbanding S$8,707.

Sebanyak 4,045 bidaan diterima, dengan kuota 3,086 COE diperuntukkan.

Pada April, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) mengumumkan kuota COE untuk tempoh Mei hingga Julai akan meningkat lebih daripada 6 peratus berbanding suku sebelumnya.

Jumlah COE ditambah kepada 18,232 daripada 17,133 dalam suku sebelumnya, di mana ia turut menyaksikan pertambahan dalam kuota.

Berbanding tempoh yang sama berbanding tahun sebelumnya, terdapat kenaikan 21 peratus dalam jumlah kuota COE.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita