Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Harga COE ditutup lebih tinggi bagi semua kategori; premium Kategori Terbuka cecah rekod S$118,001

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Premium Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) ditutup lebih tinggi bagi semua kategori dalam bidaan terkini pada Rabu (22 Feb), dengan harga COE bagi kenderaan dalam Kategori Terbuka mencecah rekod tinggi S$118,001.

Harga COE bagi kenderaan dalam Kategori Terbuka, yang boleh digunakan untuk sebarang jenis kenderaan tetapi biasanya digunakan bagi kereta besar, melonjak kepada S$118,001 daripada S$105,002.

Jumlah itu menjangkaui rekod tinggi yang dicatatkan sebelum ini pada November lalu, iaitu S$116,557.

Harga COE bagi kenderaan komersil di bawah Kategori C, termasuk kenderaan muatan dan bas, juga mencecah rekod tinggi baru, yang meningkat kepada S$87,790 daripada S$85,119 yang dicatatkan dalam bidaan sebelumnya.

Premium bagi kereta dalam Kategori A, iaitu sehingga 1,600cc dengan kuasa kuda tidak melebihi 1,300bhp, ditutup pada harga S$86,556, naik daripada S$86,000.

Premium bagi kereta lebih besar dan berkuasa lebih tinggi dalam Kategori B menokok kepada S$115,001 daripada S$105,524.

Premium motosikal ditutup pada S$12,189, naik daripada S$11,602.

Secara keseluruhannya, sebanyak 2,491 bidaan diterima, dengan 1,602 kuota COE diperuntukkan.

Bidaan pada Rabu juga merupakan kali pertama struktur yuran pendaftaran tambahan (ARF) yang baru dan had ARF Pilihan dikuatkuasakan.

Di bawah perubahan tersebut, yang diumumkan Menteri Kewangan Lawrence Wong dalam ucapan Belanjawannya pada 14 Februari lalu, para pemilik kereta mewah akan membayar harga lebih tinggi bagi kenderaan mereka.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan