Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Harga COE ditutup bercampur-campur; premium kereta kecil melebihi S$90,000

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 23 Nov 2022 05:25PM Dikemas Kini : 23 Nov 2022 08:50PM

SINGAPURA: Premium Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) ditutup bercampur-campur dalam bidaan terbaru pada Rabu (23 Nov), dengan Kategori A hampir mencecah rekod tertinggi sejak 10 tahun lalu.

Bagi kereta dalam Kategori A, atau sehingga 1,600cc dan kuasa kuda tidak melebihi 130bhp, premium ditutup pada S$90,589, naik berbanding S$87,235 dalam bidaan lalu.

Buat julung-julung kalinya, premium bagi kategori tersebut menjangkaui paras S$90,000 sejak Januari 2013, apabila ia mencecah S$92,100.

COE bagi kenderaan komersil, yang merangkumi kenderaan muatan dan bas, meningkat kepada S$81,802 dari S$76,302 dalam bidaan lalu.


Kategori-kategori yang lain, yang mencecah paras rekod tertinggi dalam bidaan lalu, menyaksikan kemerosotan bagi pusingan kali ini.

Premium bagi kereta lebih besar dan berkuasa lebih tinggi dalam Kategori B menjunam kepada S$113,881, dari S$115,388 dalam bidaan lalu, yang merupakan rekod tertinggi yang dicatat.

Premium motosikal ditutup pada S$12,589, turun daripada S$13,189 dalam bidaan yang lalu. Ia sekali gus menghentikan trend meningkat yang dicatat sejak 19 Mei lalu, yang menyaksikan 12 kenaikan berturut-turut.

COE Kategori Terbuka, yang boleh digunakan bagi semua jenis kenderaan tetapi biasanya digunakan untuk kereta besar, merosot kepada S$114,009 daripada S$116,577, yang merupakan rekod tertinggi yang dicatat bagi kategori tersebut.

Secara keseluruhannya, sebanyak 2,148 bidaan diterima dengan sebanyak 1,543 COE diperuntukkan.

Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan