Skip to main content

Singapura

Harga COE ditutup bercampur-campur, Kategori A naik semula

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 04 Dec 2024 05:19PM Dikemas Kini : 05 Dec 2024 12:17AM
SINGAPURA: Harga Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) ditutup bercampur-campur dalam bidaan terkini pada Rabu (4 Dis).

Bagi kereta Kategori A, atau kenderaan 1,600cc ke bawah dengan kuasa kuda tidak melebihi 130bhp, premium ditutup pada S$94,000, meningkat daripada S$89,889 dalam bidaan sebelum ini.

Harga untuk kereta Kategori A telah jatuh sebanyak 10 peratus dalam pusingan sebelum ini.

Harga COE untuk kereta yang lebih besar dan berkuasa dalam Kategori B turun kepada S$103,010 daripada S$105,081.

COE bagi kenderaan komersil, termasuk kenderaan barangan dan bas, naik kepada S$70,289 daripada S$69,000 dalam bidaan yang lalu.

Premium motosikal ditutup pada S$7,878, susut daripada S$8,669 dalam bidaan sebelum ini dan merupakan yang paling rendah sejak 4 Mei 2023.

COE kategori terbuka, yang boleh digunakan bagi sebarang jenis kenderaan tetapi kebanyakannya digunakan untuk kereta besar, jatuh kepada S$104,001 daripada S$107,501.

Sebanyak 3,655 bidaan diterima, dengan kuota 2,684 COE yang diperuntukkan.

Ini adalah bidaan ketiga sejak pemerintah mengumumkan pada Oktober bahawa ia akan secara beransur-ansur menyuntik sehingga 20,000 COE tambahan bagi semua kategori kenderaan mulai Februari 2025 dalam masa beberapa tahun akan datang.

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menjelaskan bahawa COE tambahan boleh diperuntukkan disebabkan pelaksanaan sistem ERP 2.0 yang akan datang, yang mana menurut pihak berkuasa, akan membantu menangani kesesakan lalu lintas dengan lebih baik.

Satu lagi sebab yang dikemukakan oleh LTA adalah perubahan corak perjalanan selepas pandemik.

Peningkatan dalam aturan kerja fleksibel menyebabkan penurunan dalam jumlah jarak perjalanan kenderaan privet sejak lima tahun lalu, menurutnya.

Suntikan COE selanjutnya boleh dipertimbangkan jika caj berasaskan jarak dilaksanakan pada masa hadapan, kata Menteri Pengangkutan Chee Hong Tat di parlimen pada 12 November.

Beliau menjelaskan bahawa suntikan 20,000 COE mulai Februari 2025 tidak ada kaitan dengan caj berasaskan jarak.

“Kami belum membuat keputusan sama ada untuk melaksanakan caj berasaskan jarak, walaupun ERP 2.0 memberi kami pilihan untuk berbuat demikian,” kata Encik Chee.

“Kami perlu mengkaji perkara ini dengan lebih lanjut, termasuk dengan data dari ERP 2.0, kerana terdapat pertimbangan yang perlu kami fikirkan dengan teliti.”
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita