Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Harga COE dijangka naik dek dasar sifar pertumbuhan jumlah kereta & pendapatan makin meningkat

Anggaran Waktu Membaca:
Harga COE dijangka naik dek dasar sifar pertumbuhan jumlah kereta & pendapatan makin meningkat

Menteri Pengangkutan S Iswaran semasa berucap di Parlimen pada 8 Mei 2023.

SINGAPURA: Dengan dasar sifar pertumbuhan bagi jumlah kereta di Singapura dan sedang pendapatan seisi keluarga semakin meningkat, premium Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) dijangka naik, kata Menteri Pengangkutan S Iswaran di Parlimen pada Isnin (8 Mei). 

"Secara asasnya, harga COE mencerminkan permintaan bagi bekalan COE yang terhad dan semakin merosot," kata Encik Iswaran dalam satu kenyataan untuk menjawab soalan parlimen mengenai sistem COE. 

Beliau menarik perhatian, permintaan bagi kenderaan kekal "kukuh", khususnya sedang ekonomi pulih selepas COVID-19. Pendapatan juga meningkat dalam jangka panjang dan nisbah harga COE dengan median pendapatan bulanan isi rumah sudah merosot.

"Sedang pendapatan isi rumah terus meningkat pada tahun-tahun akan datang, seiring dengan dasar sifar pertumbuhan bagi jumlah kereta di Singapura, kami harus menjangkakan harga COE meningkat dalam jangka panjang," kata Encik Iswaran. 

Walaupun beliau mengumumkan langkah-langkah baru untuk meningkatkan kuota COE bagi kereta dalam kategori A dan B pada suku-suku akan datang, Encik Iswaran menekankan, pengangkutan awam untuk orang awam adalah teras strategi pengangkutan Singapura dan negara sedang beralih ke arah masa depan "bebas kereta".

"Sedang kita berusaha untuk mempertingkat kecekapan sistem COE dengan langkah-langkah yang sudah kita mengambil sepanjang beberapa tahun lalu, kita tidak harus melupakan sasaran untuk menjadi masyarakat yang bebas kereta dengan pengangkutan mudah diakses dan inklusif untuk semua rakyat Singapura," tambahnya. 

Seramai 10 Anggota Parlimen (AP) mengemukakan lebih 20 soalan mengenai kenaikan premium COE yang mencecah rekod tertinggi dalam bidaan-bidaan baru-baru ini. Premium COE bagi kereta lebih kecil dalam Kategori A, misalnya, menjangkaui S$100,000 pada April. 

Beberapa AP ingin tahu sebab-sebab harga COE dinaikkan dan kesannya terhadap permintaan daripada syarikat-syarikat khidmat kereta sewa. Para AP turut bertanya sama ada had boleh dikenakan bagi jumlah kereta sewa dan sama ada warga asing atau keluarga dengan beberapa kenderaan mendorong permintaan bagi kereta. 

Para AP turut meluahkan keprihatinan bahawa mereka yang memerlukan kereta seperti keluarga dengan anak-anak kecil dan warga emas, serta mereka yang bergantung kepada kereta untuk mencari pendapatan, tidak akan mampu.

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan