Harga COE bagi kebanyakan kategori naik; premium motosikal merosot
Gambar fail trafik di Singapura. (Gambar: Roslan Rahman/AFP)
SINGAPURA: Harga Sijil Hak Milik Kenderaan (COE) ditutup lebih tinggi bagi semua kategori hari ini (23 Mac), kecuali premium motosikal, yang merosot disebabkan langkah-langkah baru yang diperkenalkan mulai bidaan ini.
Premium motosikal mencecah rekod tinggi dalam beberapa bulan kebelakangan ini, mendorong Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) untuk menaikkan deposit bidaan bagi kategori itu untuk "menggalak bidaan yang berhemat".
LTA juga menyingkatkan tempoh sah COE sementara untuk motosikal kepada tiga bulan, berbanding enam bulan.
Dalam bidaan terkini, premium motosikal ditutup pada S$10,501, turun 7.9 peratus berbanding rekod S$11,400 dalam bidaan lalu.
Harga COE bagi Kategori A, atau kereta sehingga 1,600cc dan 140bhp, ditutup pada S$71,556, naik daripada S$68,501 dalam bidaan lalu.
Premium bagi kereta lebih besar dan lebih berkuasa dalam Kategori B naik kepada S$98,889, menjangkaui rekod S$94,889 dalam bidaan lalu.
COE bagi Kategori Terbuka, yang boleh digunakan bagi sebarang jenis kenderaan tetapi biasanya digunakan untuk kereta besar, naik daripada S$98,890 kepada S$99,010.
COE bagi kenderaan komersil, termasuk kenderaan muatan dan bas, naik kepada S$51,504, berbanding S$48,889 dalam bidaan lalu.
Secara keseluruhannya, sebanyak 2,758 bidaan diterima dengan 1,778 COE diperuntukkan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.