Skip to main content

Singapura

Harga COE bagi Kategori A cecah paras rekod lebih S$119,000

Premium Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) kebanyakannya ditutup lebih tinggi pada Rabu (17 Sep), dengan harga COE bagi kereta kecil mencecah paras rekod tertinggi.

Anggaran Waktu Membaca:
Harga COE bagi Kategori A cecah paras rekod lebih S$119,000
Diterbitkan : 17 Sep 2025 04:27PM Dikemas Kini : 17 Sep 2025 04:30PM
SINGAPURA: Premium Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) kebanyakannya ditutup lebih tinggi pada Rabu (17 Sep), dengan harga COE bagi kereta kecil mencecah paras rekod tertinggi.

Harga COE bagi kereta lebih kecil dalam Kategori A, atau kereta 1,600cc dan ke bawah dengan kuasa kuda tidak melebihi 130bhp ditutup pada S$119,003.

Ia naik daripada S$107,889 dalam bidaan sebelum ini pada 3 September.

Premium COE bagi kereta lebih besar dan berkuasa dalam Kategori B meningkat kepada S$136,890 daripada S$127,501.

Harga COE bagi kenderaan komersil, yang termasuk kenderaan barangan dan bas, naik kepada S$72,501 daripada S$71,556 dalam sesi bidaan sebelumnya.

Premium motosikal ditutup pada S$9,209, berbanding S$9,101 dalam bidaan sebelumnya.

COE bagi kategori terbuka, yang boleh digunakan untuk semua jenis kenderaan tetapi lazimnya digunakan untuk kereta besar, meningkat kepada S$140,502 daripada S$127,901.

Sebanyak 5,364 bidaan diterima, dengan kuota sebanyak 3,135 COE diperuntukkan.

Ini adalah sesi bidaan pertama menyusuli pengumuman pada minggu lalu mengenai pelanjutan tempoh inisiatif bagi menggalakkan para pemandu memilih kenderaan dengan pelepasan lebih rendah, tetapi kali ini kurang insentif ditawarkan.

Pihak berkuasa menyatakan pada 8 September lalu, menyusuli pengumuman itu, kenaikan jangka pendek dalam harga COE dapat dijangkakan.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita