Harga berperingkat bagi bil api air antara usulan WP untuk kurangkan kos sara hidup
Pemangku Menteri Pengangkutan Chee Hong Tat dan Ketua Pembangkang Pritam Singh berucap dalam perbahasan di Parlimen pada 7 Nov 2023.
SINGAPURA: Anggota Parlimen (AP) pada Selasa (7 Nov) membahas selama lebih tujuh jam tentang bagaimana untuk mengurangkan tekanan kos sara hidup terhadap rakyat Singapura dalam aspek seperti bil api air, pengangkutan dan perumahan, sebelum Dewan akhirnya meluluskan usul yang dipinda berhubung isu tersebut.
Perbahasan itu muncul dari usul yang pada mulanya difailkan Ketua Pembangkang Pritam Singh serta rakan sekerjanya dari Parti Pekerja (WP) Louis Chua, yang menyatakan: "Bahawa Dewan ini menyeru pemerintah untuk menyemak semula dasarnya supaya dapat mengurangkan tekanan kos sara hidup ke atas rakyat Singapura dan keluarga mereka".
Secara keseluruhannya 20 anggota Dewan - termasuk dua pemegang jawatan politik, kedua-dua AP Tanpa Kawasan Undi (NCMP) dari PSP dan seorang AP Dilantik - berucap semasa perbahasan tersebut yang berlangsung dari 2.15 petang hingga 9.45 malam.
Berikut adalah antara saranan utama yang dibangkitkan WP - merangkumi aspek seperti bil api air, jagaan kesihatan, pengangkutan awam dan privet serta perumahan - dan respons pemerintah terhadapnya:
STRUKTUR SEMAK SEMULA TARIF AIR, ELEKTRIK
Encik Singh menggesa agar pemerintah mengkaji untuk memperkenalkan lebih banyak peringkat dalam tarif air dan rejim cukai pemuliharaan air bersenggat, untuk mencerminkan penggunaan air dengan lebih baik, memberi insentif kepada pemuliharaan air dan kos lebih rendah bagi isi rumah.
Gesaan ini dibuat selepas pemerintah mengumumkan kenaikan sebanyak 18.2 peratus dalam harga air isi rumah dalam dua fasa, mulai April depan.
Respons Pemerintah: Letakkan harga penuh, tetapi tawar bantuan bersasar
Pemangku Menteri Pengangkutan Chee Hong Tat berkata bahawa memandangkan terdapat kepentingan keselamatan air bagi kelangsungan hidup Singapura, "kita mesti meletakkan harga yang tepat pada air, untuk mencerminkan kekurangannya" dan menggalakkan penggunaan mampan dan berhemah.
"Ini bermakna kadar yang sama dibiayai semua orang, daripada titisan pertama yang digunakan oleh isi rumah, supaya semua pengguna mengambil kira nilai kekurangan air," katanya.
Encik Chee berkata pemerintah meletakkan harga penuh air, sebelum menawarkan rebat U-Save untuk membantu isi rumah yang paling memerlukan. Bagi pengguna industri, pemerintah sebaliknya bekerja dengan mereka untuk mempertingkatkan kecekapan dalam penggunaan air mereka.
JADIKAN PENGANGKUTAN AWAM MILIK NEGARA, SEMAK SEMULA SISTEM COE
AP Gerald Giam (WP-Aljunied) sedia maklum bahawa model pengangkutan awam adalah gabungan pemilikan pemerintah ke atas aset dan kontrak operasi bagi perkhidmatan yang disediakan oleh syarikat pengendali pengangkutan awam.
Beliau menyatakan bahawa model tersebut menimbulkan masalah kurangnya kecekapan dan adanya kos tambahan. Beliau sebaliknya, menyarankan untuk mengkaji semula idea Perbadanan Pengangkutan Nasional WP yang pertama kali dibangkitkan pada tahun 2006.
Sementara itu, AP Jamus Lim (WP-Sengkang) menyatakan bahawa tahap pendekatan pemerintah untuk meratakan pembahagian bekalan Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) bagi kereta tidak mencukupi untuk "membawa perubahan".
Beliau mencadangkan untuk meninjau semula bagaimana kategori COE dibahagikan, dan mengasingkan mereka bagi kereta sewa privet daripada kereta dimiliki secara privet.
Respons pemerintah: Jadikan sesuatu itu milik negara bukan "jaminan" kepada sistem yang lebih baik
Berhubung gesaan untuk menjadikan sistem pengangkutan awam milik negara, Encik Chee berkata bahawa Singapura menikmati sistem pengangkutan awam yang berfungsi dengan baik "secara keseluruhannya", dengan perbelanjaan bagi pengangkutan awam sebagai sebahagian daripada pendapatan isi rumah menyusut dalam beberapa tahun ini.
Meskipun terdapat sebilangan aspek yang boleh dipertingkat, "menjadikan sesuatu itu milik negara bukan satu jaminan" kepada hasil yang baik bagi para penumpang, jelas Encik Chee.
MENJADIKAN PERUMAHAN LEBIH DIMAMPUI
AP Louis Chua (WP-Sengkang) menyatakan bahawa daya mampu milik perumahan kekal sebagai satu cabaran, disebabkan kenaikan dalam harga jualan semula Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB). Ini meskipun langkah-langkah tambahan untuk meredakan pasaran diperkenalkan pada September tahun lalu, termasuk mengenai kriteria pinjaman perumahan yang lebih ketat.
Respons Pemerintah: Bekalan semakin meningkat bagi memenuhi permintaan
Menteri Negara Kanan Pembangunan Negara Sim Ann berkata pemerintah secara meluas mengekalkan langkah-langkah untuk daya mampu milik bagi perumahan awam, sambil menangani tiga ketidakseimbangan utama yang telah menjejaskan pergerakan harga rumah baru-baru ini: Kelengahan dalam program bangunan HDB dalam tempoh tiga tahun lalu disebabkan pandemik COVID-19, kenaikan ketara harga jualan semula HDB, dan harga flat Bina Ikut Tempahan (BTO) di estet matang.
Cik Sim menambah bahawa HDB telah menyelesaikan hampir 75 peratus projek yang tertangguh akibat pandemik, dan bekalan BTO yang kian meningkat akan membantu dalam menyederhanakan permintaan bagi jualan semula.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.