Skip to main content

Singapura

Harga alat mobiliti peribadi dijangka naik 15% dek peraturan baharu LTA

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 18 Feb 2026 07:39PM Dikemas Kini : 04 Mar 2026 09:01PM
SINGAPURA: Para penjual di Singapura menjangkakan harga skuter mobiliti di Singapura dijangka meningkat sehingga 15 peratus.

Ini ekoran kos lebih tinggi demi mematuhi peraturan-peraturan baharu yang diperkenalkan.

Mulai Jun ini, setiap skuter mobiliti di Singapura perlu didaftarkan dan ditandakan oleh pihak berkuasa agar tidak disalah guna.

Syarikat-syarikat pengimport akan didaftarkan sebagai pemilik pertama alat-alat ini sepanjang ia disimpan di dalam stor sebelum dijual kepada pelanggan.

Salah sebuah syarikat yang menjual alat mobiliti peribadi berkata, proses sebegini menambah kos dan waktu kepada operasi mereka.

Pengarah Urusan DNR Wheels Morgan Singh berkata: "Skuter-skuter ini dihantar dalam kotak karton dan kami hanya membukanya mengikut keperluan untuk penghantaran.

"Jadi jika kami perlu menghantar setiap satu unit ke pusat pemeriksaan, itu bermakna penghantaran satu demi satu atau secara terkumpul.

"Hanya jumlah tertentu yang boleh dimasukkan ke dalam lori atau van. Ia tidak boleh disusun secara bertingkat. Jadi mungkin perlu ambil pekerja tambahan, kenderaan tambahan. Ini semua kos tambahannya."

Buat masa ini, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) masih menimbangkan berapa harga kos pendaftaran yang akan dikenakan.

LTA menyatakan kebanyakan warga emas dan orang kurang upaya yang layak akan
menerima subsidi sehingga 90 peratus untuk membeli alat mobiliti peribadi bagi tujuan perubatan.

Apabila sebuah skuter mobiliti dijual, hak milik perlu ditukarkan kepada pembeli.

Ini juga mungkin dikenakan yuran lain.

Sebuah syarikat penjual lain menyatakan, menggunakan SingPass bagi proses pemindahan hak milik, juga mungkin terlalu rumit bagi pelanggan yang kebanyakannya adalah golongan warga emas dan bukan yang celik teknologi.

Pengasas ELFIGO Mobility Warren Chew berkata: "Jika pemindahan hak milik tidak diselesaikan, apa yang mungkin berlaku ialah anda mungkin ada pengguna yang membenarkan orang lain tanpa sijil sah, menggunakan alat tersebut dan kemudian ia jadi satu masalah.

"Jadi jika proses pemindahan itu tidak diselesaikan, akibatnya ialah pengedar akan dikenakan tindakan, bukan? Oleh sebab itulah kami perlu memaksa proses pemindahan hak milik itu diselesaikan."

Untuk mengatasi masalah tersebut, LTA menyatakan pemindahan hak milik boleh dilakukan secara manual jika SingPass tidak dapat digunakan.

Namun demikian, sesetengah pakar percaya penguatkuasaan yang kuat sangat penting sepanjang beberapa bulan pertama setelah peraturan baharu berkuat kuasa demi memberi isyarat jelas kepada pengguna yang melanggar peraturan.
 
Sumber : CNA/QA/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita