Harapan Tahun Baru ESM Goh: Pastikan tampuk kepimpinan generasi ke-4 S'pura sudah bersedia
Memastikan tampuk kepimpinan generasi keempat Parti Tindakan Rakyat (PAP) sudah bersiap sedia adalah "cabaran mendesak" bagi Tahun Baru ini.
Menteri Kanan Emeritus (ESM) Goh Chok Tong. (Gambar: AFP/Kazuhiro Nogi)
SINGAPURA: Memastikan tampuk kepimpinan generasi keempat Parti Tindakan Rakyat (PAP) sudah bersiap sedia adalah "cabaran mendesak" bagi Tahun Baru ini.
Demikian menurut Menteri Kanan Emeritus (ESM) Goh Chok Tong hari ini (31 Dis).
Menulis di laman Facebooknya, ESM Goh meletakkan garis masa bagi apa yang beliau mahu Singapura kecapi pada tahun 2018 - bagi kohort generasi keempat yang ada sekarang untuk memilih seorang pemimpin dalam kalangan mereka sendiri dan Perdana Menteri Lee Hsien Loong melantik bakal pengganti beliau.
"Setiap penggantian pemimpin berbeza, tetapi satu perkara kekal sama: setiap kohort perlu memilih seorang dalam kalangan mereka untuk memimpin dan menyokongnya. Saya berharap kohort yang ada sekarang akan melakukannya dalam tempoh enam hingga sembilan bulan.
"Siapa pun yang dipilih, pasukan itu perlu bekerjasama, membawa masuk bakat baru dan bersatu membentuk Kabinet generasi keempat yang padu," kata ESM Goh.
Beliau menambah: "Mereka harus membuka lembaran baru yang memberikan inspirasi buat Singapura, berani membuat keputusan berat, berdiri tinggi penuh kewibawaan dan meraih rasa hormat serta kepercayaan rakyat Singapura serta dunia secara amnya."
Di tengah-tengah cuaca hujan pada malam Tahun Baru ini, ESM Goh berkata meskipun 2017 tidak melabuhkan tirainya dengan keindahan matahari terbenam seperti yang beliau harapkan, 2018 menawarkan satu kesegaran.
"Kita perlu bersemangat positif untuk menangani cabaran-cabaran mendesak dan jangka panjang bagi Singapura," tambah beliau.
Baru-baru ini, ESM Goh menekankan perlunya pembaharuan tampuk kepimpinan, untuk para pemimpin generasi keempat segera mempersiapkan diri sebagai sebuah pasukan yang padu serta menubuhkan pasukan yang lebih inklusif.
"Inilah harapan saya bagi tahun baru," ujar mantan perdana menteri itu hari ini.
"Singapura yang berada dalam jagaan baik, Singapura yang kita semua bina bersama."
ESM Goh turut mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada semua rakyat Singapura.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.