Harapan Esa Masood bagi MUIS - ketua termuda yang pimpin badan itu saat krisis paling hebat melanda
Semasa beliau dilantik menjadi Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) pada Januari 2019, Encik Esa Masood baru berusia 39 tahun dan ini menjadikan beliau individu termuda yang pernah memimpin badan tersebut.
Gambar fail Encik Esa Masood dalam satu sidang media pada 2018.
SINGAPURA: Semasa beliau dilantik menjadi Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) pada Januari 2019, Encik Esa Masood baru berusia 39 tahun dan ini menjadikan beliau individu termuda yang pernah memimpin badan tersebut.
Namun cabaran yang perlu ditanganinya juga jelas yang paling berat. Baru setahun memimpin MUIS, Singapura dilanda krisis paling hebat bagi satu generasi ini.
"Apabila pandemik COVID-19 baru-baru melanda, ada banyak perkara yang perlu dilakukan. Langkah pemutus rantaian jangkitan COVID-19 dikuatkuasakan tidak lama sebelum bulan Ramadan. Sebelum itu juga, kami memutuskan untuk menutup masjid-masjid di sini kerana ada kelompok jemaah yang menghadiri satu acara di Malaysia," kata Encik Esa mengimbas kembali antara detik paling mencabar baginya sebagai Ketua Eksekutif MUIS.
"Ketika itu kita tidak begitu tahu tentang virus tersebut. Pada masa yang sama pemahaman masyarakat tentang virus itu tidak sama rata. (Bagaimanapun) keadaan memerlukan kita bertindak cepat dan ini merumitkan lagi keadaan."
(Gambar fail: Masjid Sultan/Facebook)
Sungguhpun begitu, detik-detik genting seperti inilah yang menjadi pengalaman yang tidak akan dapat dilupakan Encik Esa sepanjang beliau memimpin MUIS. Beliau rasmi melepaskan jawatan dengan Encik Kadir Maideen pula mengambil alih tugasnya berkuat kuasa hari ini (1 Nov).
"Ada banyak sekali saat di mana saya bangga dapat bekerja dengan MUIS. Saya juga melihat bagaimana masyarakat menggembleng tenaga sebagai respons terhadap COVID-19. Ini sesuatu yang memberi saya kepuasan besar," luah Encik Esa.
Pemegang Biasiswa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (PSC) itu berkongsi bahawa beliau akan terus berkhidmat dalam sektor awam tetapi belum bersedia memberikan sebarang butiran lanjut.
Berikut kami rumuskan tiga harapan Encik Esa bagi MUIS:
INGIN LIHAT ASATIZAH DAPAT PELUANG LEBIH BAIK
Dalam wawancara bersama media, Encik Esa akur MUIS terpaksa membuat banyak penyesuaian baru sejak COVID-19 melanda.
MUIS antara lain perlu mencari cara untuk memastikan murid-murid madrasah mempunyai komputer riba masing-masing untuk mengikuti Pembelajaran di Rumah. Tapi ini hanya satu contoh.
Gambar fail.
"MUIS menjaga pelbagai institusi lain dan mereka semuanya mempunyai keperluan yang berbeza-beza," kata Encik Esa.
Yang penting tambah beliau, MUIS "tidak pernah mengabaikan isu-isu jangka panjang".
"Walaupun kita menumpukan perhatian kepada keperluan segera masyarakat, kita tidak mengabaikan isu-isu jangka panjang. (Pembangunan profesional) asatizah satu contoh. Walaupun pandemik melanda, saya rasa kita tidak memperlahankan usaha dalam urusan ini. Malah kita cuba memperhebatkan inisiatif ini dengan mempertingkat kemahiran mereka," jelas Encik Esa.
Pembangunan profesional asatizah ini jugalah salah satu perkara yang Encik Esa sebutkan apabila ditanya BERITAmediacorp tentang apa yang beliau harap MUIS dapat terus perjuangkan.
Encik Esa di Universiti Jordan ketika memeterai MOU bagi program untuk asatizah. (Gambar fail, 2019: MUIS)
"Melihat asatizah dalam (skop) pekerjaan lebih baik, mendapat peluang dan laluan kerjaya lebih baik... Ini bagi saya memerlukan usaha berterusan. Ia mungkin memerlukan lima hingga 10 tahun kerana kita perlukan kerjasama majikan dan asatizah.
"Hasil usaha ini tentunya tidak dapat kita lihat dalam masa beberapa tahun sahaja tetapi saya harap, dengan usaha berterusan, kita dapat melihat lebih banyak kemajuan dalam aspek ini," jawab bapa dua anak itu.
SEDIAKAN RUANG BINCANG ISU SENSITIF
Sebelum ini, MUIS acap kali didakwa tidak telus tentang beberapa perkara tertentu. Isu ini BERITAmediacorp bangkitkan dalam sesi wawancara bersama Encik Esa untuk mendapatkan komen beliau.
"Bagi MUIS, kami pastinya komited menjadi telus dan terbuka. Kami menerbitkan maklumat secara proaktif. Mungkin kadangkala misalnya, kita menerbitkan laporan tahunan yang sangat terperinci. Mungkin ia sangat sarat dengan maklumat sehingga tidak semua yang membacanya," terang Encik Esa.
"Ya, jadi saya rasa ia bukan soal kita kurang memberi kemas kini tetapi kemas kini itu tidak disampaikan dalam bentuk yang berkesan."
Sehubungan ini tambahnya, MUIS sedang meninjau bagaimana ia dapat terus menggunakan wadah online untuk mendekati masyarakat.
Ia malah sedang berusaha untuk menyediakan ruang bagi masyarakat berbincang tentang isu-isu yang dianggap lebih sensitif.
"MUIS perlu mula belajar melakukan itu. Belum ada jalan keluar yang jelas buat masa ini tetapi kita perlu menjadi lebih terbuka, bersedia mengadakan perbincangan sensitif," katanya.
Ini juga memerlukan kerjasama masyarakat, tambah Encik Esa.
Encik Esa bertemu para anggota lembaga Masjid Darul Makmur. (Gambar fail, 2019: Darul Makmur Mosque/Facebook)
"Kita perlukan kepercayaan masyarakat, dan kematangan untuk membolehkan perbincangan seperti itu kerana tidak semua orang akan memberi respons yang baik. Jika mereka terdengar komen-komen tertentu (misalnya), mereka akan tersinggung. Jadi kita perlu mengurus proses ini dengan teliti supaya tidak menggugat perpaduan sosial."
'NASIHAT' UNTUK MUIS JAGA KEPERCAYAAN MASYARAKAT
Pada akhir sesi wawancara, BERITAmediacorp meminta pula pandangan Encik Esa tentang bagaimana MUIS dapat terus membina kepercayaan masyarakat.
Ini jawapannya:
"Untuk memastikan kepercayaan itu dapat dipelihara, ia benar-benar terletak pada keupayaan memenuhi keperluan masyarakat. Kita perlu memahami, bertindak kepada keperluan mereka. Keperluan itu akan terus berubah, seperti sekarang ini, kita sedang menjadi masyarakat menua.
"Keperluannya nanti berbeza. Jadi (MUIS) perlu terus faham apakah isu-isu dihadapi masyarakat... dan kita harus ubah suai strategi (mengikut konteks)."
Pendek kata, komunikasi sangat penting, katanya lagi.
"Saya rasa MUIS boleh jaga kepercayaan ini dengan bakat dan keupayaan yang baik...Saya harap ini dapat diteruskan sedang perubahan kepimpinan dijalankan."
Sebelum menyertai MUIS, Encik Esa merupakan Pengarah bagi Dasar di Agensi Pembangunan Awal Kanak-kanak (ECDA).
Beliau juga pernah berkhidmat di kementerian yang dahulu dikenali sebagai Kementerian Masyarakat, Belia dan Sukan (MCYS) untuk melakar dasar-dasar yang membantu memperkukuh institusi keluarga.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.