Hapuskan stereotaip tentang wanita; rai pencapaian wanita tidak kira besar atau kecil: Rahayu Mahzam
SINGAPURA: Anjakan minda perlu untuk mengubah tanggapan masyarakat tentang peranan jantina dan perkongsian tanggungjawab, terutama yang berhubung kaum wanita.
Perubahan penting itu memerlukan usaha menyeluruh daripada anggota dan rakan-rakan masyarakat kata Setiausaha Parlimen bagi Perhubungan dan Penerangan merangkap Kesihatan, Rahayu Mahzam.
Cik Rahayu berkata demikian di acara Harmoni Hari Raya PPIS - "Warisan Wanita Bersejarah Dalam Islam" hari ini (21 Mei).
Bertepatan dengan tema acara, para tetamu diajak berbincang tentang pelbagai isu berkaitan kaum hawa.
HAPUSKAN STEREOTAIP, KENALI SUMBANGAN WANITA
Ia termasuk berbagai-bagai salah tanggapan masyarakat tentang peranan kaum wanita.
Menurut pihak penganjur, acara hari ini menyediakan ruang selamat bagi para peserta untuk mempelajari lebih lanjut tentang wanita dalam Islam menerusi naratif sejarah serta kaitannya dengan masyarakat progresif masa kini.
"Kalau kita lihat dalam sejarah, ramai wanita yang kuat dan menunjukkan kematangan dan kepimpinan. Ini sepatutnya menjadi satu lambang untuk kita untuk maju ke hadapan. Dengan perkongsian daripada mereka dengan kepercayaan berbeza, saya harap ini membawa satu kekuatan dalam usaha sama ini untuk memajukan wanita," kata Cik Rahayu.
Lantaran itu, Cik Rahayu menyeru masyarakat agar terus mengiktiraf dan meraikan pencapaian wanita Muslim, tidak kira besar atau kecil dalam usaha menghapuskan stereotaip terhadap kaum hawa.
Beliau menekankan pentingnya menyediakan peluang yang sama rata untuk kaum lelaki dan wanita untuk terus mencapai impian masing-masing.
"Kita juga perlu terus menyediakan peluang dan sokongan untuk masyarakat kita, serta memastikan bahawa ada perlindungan yang setara buat kaum lelaki dan wanita," tambah beliau.
Acara selama dua jam itu turut disertai Naib Presiden Institut Maqasid, Dr Basma Abdelgafar menerusi platform Zoom.
Dalam ucapannya, Dr Basma menyentuh tentang wanita-wanita yang disebut dalam Al-Quran serta sumbangan mereka kepada kemajuan masyarakat Islam, serta bagaimana mereka menjadi contoh bagi wanita Islam moden.
Selain itu, satu perkongsian panel juga diadakan yang antaranya membincangkan tentang peran contoh wanita dalam agama Islam, Baha'i dan Kristian.
Presiden PPIS, Cik Hazlina Halim berkata: "Perbincangan yang tercetus adalah mengenai cara-cara kita memikirkan stereotaip atau norma-norma yang sering dikaitkan dengan wanita. Peran contoh wanita sebenarnya telah lama mewarnai sejarah kemanusiaan, tidak kira dari tamadun mana. Salah satu lagi, adalah agama itu boleh menjadi sumber inspirasi kepada kita kerana ajaran sebuah agama itu lazimnya nilai-nilai yang ditegakkan untuk kebaikan dan keihsanan."
Pemahaman yang mendalam tentang peranan wanita daripada agama yang berbeza-beza juga penting bagi memastikan kemajuan golongan itu.
"Keharmonian kaum termasuk keharmonian silang agama adalah tanggungjawab dan usaha kita bersama. Sedang kita mengenali lebih antara satu sama lain, kita dapat memahami apakah motivasi yang menggubal cara-cara kita berfungsi."
Perjumpaan hari ini dihadiri kira-kira 50 wakil wanita dari badan-badan masyarakat dan pertubuhan agama.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.