Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Hanya sia-sia': bekas banduan rasa bebas selepas keluar dari kumpulan samseng

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: John (bukan nama sebenar) tidak asing lagi dengan kehidupan di sebalik jeriji besi.

Ibu bapa John sudah berpisah dan pada usia semuda 14 tahun, dia sudah melibatkan diri dalam kumpulan samseng.

Dia terlibat dengan jenayah seperti keganasan, dadah dan pecah rumah. Ini bermakna bahawa usia remajanya dihabiskan meringkuk di penjara.

Pada 2007, John dijatuhi hukuman lapan tahun latihan pembetulan, iaitu hukuman penjara yang lebih serius bagi pesalah bentan.

Semasa tempoh penjara itulah, ketika anak John yang berusia 10 tahun datang menjenguknya, dia mula menyedari hakikat kehidupannya.

"Dia berkata kepada saya, 'Ayah, bila ayah akan dibebaskan?' Saya keliru dan bertanya mengapa," John yang kini berusia 49 tahun memberitahu wartawan semasa taklimat statistik tahunan Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) pada Selasa (8 Feb).

Anaknya kemudian menjawab bahawa ramai kanak-kanak ada ibu bapa yang menghantar mereka ke sekolah. Ini membuat John berasa "sangat tersentuh".

Ketika itu John sedar bahawa sudah tiba masa untuk dia mengubah haluan hidup.

John mula menghadiri sesi kelas kaunseling agama dan bertekad untuk berubah.

Dia juga menghadiri program untuk mengurangkan kebergantungannya kepada dadah kerana sedar bahawa dadah membuat dirinya lebih ganas dan melakukan jenayah yang lebih serius.

Namun, dia masih belum lepas daripada kegalauan kerana masih ada kaitan dengan kumpulan samseng. Bukan mudah untuk melepaskan diri daripada jerat tersebut.

Rakan-rakan banduan lain tahu akan hubungannya dan perkara yang sudah dilakukan sewaktu dia menjadi samseng. Ada juga yang mungkin daripada kumpulan yang sama.

Menurut perangkaan SPS, hampir satu perempat daripada 7,572 banduan yang masuk penjara pada tahun 2021 mempunyai hubungan dengan kumpulan samseng.

Pada tahun 2009, SPS melancarkan Program Penolakan Samseng (Gang Renunciation) yang termasuk upacara pelepasan rasmi dan sokongan bagi banduan yang memilih untuk hidup bebas daripada samseng.

Apabila pegawai penjara memberitahu John untuk menyertainya, dia setuju dengan serta-merta.

Walaupun upacara John hanya disaksikan oleh banduan lain, prosedur terkini adalah untuk menjemput anggota keluarga banduan, kaunselor dan kakitangan penjara.

Perubahan itu dibuat setelah SPS menyemak proses tersebut dan menyedari betapa pentingnya banduan membuat komitmen dengan kehadiran dan sokongan anggota keluarga.

KADAR SERANGAN DALAM PENJARA

Membantu banduan keluar daripada kumpulan samseng adalah salah satu cara bagaimana SPS "mengambil langkah pecegahan" untuk mengurangkan keganasan di dalam penjara, menurut agensi itu dalam satu kenyataan media.

Menurut statistik terkini yang dikeluarkan oleh SPS, kadar serangan di dalam penjara bagi tahun kewangan 2021 diunjurkan sekitar 46 serangan bagi setiap 10,000 banduan.

Kadar itu sudah "stabil" sejak tahun kewangan 2019 dan 2020, menurut SPS.

SPS menyatakan kadar serangannya adalah "rendah" jika dibandingkan dengan institut pemulihan di bawah bidang kuasa lain.

STIGMA KELUAR DARIPADA KUMPULAN SAMSENG

Bagi beberapa banduan, untuk keluar daripada kumpulan samseng itu akan mendatangkan lebih banyak masalah dengan banduan yang lain.

Banduan yang berasa tertekan dengan rakan mereka boleh mendekati pegawai penjara sepanjang masa untuk mendapatkan bantuan dan juga kaunseling.

Ada juga program memadamkan tatu untuk terus membantu banduan keluar daripada kumpulan samseng.

KURANGNYA PESALAH BENTAN

Statistik SPS juga menekankan bahawa kadar pesalah bentan merosot lagi, daripada paras terendah sepanjang masa iaitu 22.1 peratus bagi kohort 2018 kepada 20 peratus bagi kohort 2019.

SPS mengumumkan bahawa pihaknya akan mengekalkan kadar rendah itu dengan meneruskan pembangunan dan melaksanakan program pemulihan berasaskan bukti serta menyediakan sokongan berstruktur untuk banduan yang layak menjalani hukuman akhir mereka dalam kalangan masyarakat.

John percaya bahawa dia sudah meninggalkan masa silam yang berkaitan dengan kumpulan samseng dan lebih berkeyakinan dalam nilai dan perwatakan dirinya.

"Terlibat dalam kumpulan samseng bukanlah sesuatu yang mendatangkan faedah, ia sekadar imej yang saya tonjolkan untuk lakukan perbuatan yang palsu."

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan