Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hanya pemohon tertentu dibenar masuk Bangunan ICA tanpa janji temu mulai 13 Jun

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Mulai Isnin (13 Jun), hanya pemohon pasport yang sudah dimaklumkan untuk mengambil pasport, menyerahkan dokumen sokongan atau menyerahkan semula gambar mereka akan dibenarkan untuk memasuki bangunan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) tanpa membuat janji temu terlebih dahulu. 

Ini menyusuli proses yang disemak semula agensi tersebut sebagai respons kepada lonjakan pada permohonan pasport sejak Mac.

Lebih 5,000 pasport dikeluarkan setiap hari sekarang iaitu hampir tiga kali lebih tinggi berbanding jumlah sebelum pandemik melanda pada 2019.

Demikian menurut ICA dalam kenyataan media pada Sabtu (11 Jun) sambil menambah bahawa ia sudahpun mengeluarkan pasport pada "kadar yang belum pernah berlaku sebelum ini".

"Untuk memenuhi permintaan yang meningkat, lebih ramai pegawai dikerahkan semula untuk memproses serta mengeluarkan pasport dan mereka melakukannya sepanjang hari," menurut ICA.

Bermula 13 Jun, ICA hanya akan menerima pemohon yang sudah dimaklumkan untuk mengambil pasport, menyerahkan dokumen sokongan atau menyerahkan semula gambar mereka untuk memasuki bangunannya tanpa membuat janji temu. 

Bagi pemohon yang perlu melakukan perjalanan segera, mereka hanya boleh membuat rayuan secara online untuk mempercepatkan pemprosesan pasport mereka.

ICA menyatakan sebelum ini bahawa rakyat Singapura yang perlu melakukan perjalanan dengan segera dikehendaki untuk mengemukakan dokumen sokongan secara peribadi di Bangunan ICA untuk penilaian berdasarkan kes. 

Pemohon yang ingin tahu status permohonan pasport mereka boleh berbuat demikian dengan mendaftar masuk ke aplikasi MyICA.

Agensi itu menarik perhatian jumlah pelawat ke Bangunan ICA untuk mengambil pasport dan bagi pertanyaan lain sudah meningkat. Ini termasuk lawatan oleh pemohon yang ingin tahu status permohonan pasport mereka serta mereka yang meminta permohonan atau pengambilan pasport dipercepatkan. 

ICA menambah ini menyebabkan barisan beratur panjang, lantas memerlukan pegawai tambahan dikerahkan untuk menguruskan kesesakan serta perkhidmatan lain. 

"Maka itu, ICA sudah menyemak semula proses untuk memudahkan pengeluaran pasport.

"Kakitangan semasa yang dikerahkan untuk menguruskan barisan panjang dan permintaan di bangunan itu akan dikerahkan semula untuk mempercepatkan pemprosesan serta pengeluaran pasport," tambahnya.

DOKUMEN SOKONGAN UNTUK AMBIL PASPORT

Untuk dibenarkan memasuki Bangunan ICA, pemohon pasport mesti menunjukkan sekurang-kurangnya satu daripada dokumen sokongan berikut:

Bagi pengambilan pasport:

Tempahan e-janji temu untuk pengambilan pasport di Bangunan ICA

Slip pengambilan manual untuk pengambilan pasport atau

Pemberitahuan online atau kad pemberitahuan merah jambu yang menyatakan pasport sudah siap untuk diambil

Bagi penyerahan atau penyerahan semula dokumen mahupun gambar:

Pemberitahuan emel untuk menyerahkan dokumen sokongan atau

Pemberitahuan online untuk menyerahkan semula gambar

PENGAMBILAN PASPORT HARUS DIBUAT SECARA SENDIRIAN

Pemohon yang perlu mengambil pasport mereka di Bangunan ICA dinasihatkan supaya berbuat demikian secara bersendirian bagi mengurangkan kesesakan di bangunan tersebut.

Kanak-kanak, warga emas dan mereka yang memerlukan bantuan khas boleh ditemani oleh seorang lagi individu. 

Untuk mengelakkan barisan beratur di Bangunan ICA, pemohon yang layak juga digalakkan supaya mengambil pasport mereka di salah satu daripada 27 pejabat pos di Singapura tanpa perlu membayar yuran tambahan.

Sumber : CNA/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan