Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hanya kumpulan agama boleh bida tanah dikhususkan untuk tempat beribadah

Hanya kumpulan-kumpulan agama yang menyumbang kepada masyarakat boleh membuat bidaan bagi tapak yang dikhususkan untuk tempat beribadah, menurut kenyataan oleh MND pada Khamis (13 Sep) berhubung perubahan rangka kerja proses tender bagi tempat beribadah.

Anggaran Waktu Membaca:
Hanya kumpulan agama boleh bida tanah dikhususkan untuk tempat beribadah

Masjid Hajjah Fatimah. (Gambar: MUIS/ Facebook)

Diterbitkan : 13 Sep 2018 08:20PM Dikemas Kini : 13 Sep 2018 08:23PM

SINGAPURA: Hanya kumpulan-kumpulan agama yang menyumbang kepada masyarakat boleh membuat bidaan bagi tapak yang dikhususkan untuk tempat beribadah. Demikian menurut kenyataan oleh Kementerian Pembangunan Negara (MND) pada Khamis (13 Sep) berhubung perubahan rangka kerja proses tender bagi tempat beribadah.

MND akan memperketat kriteria bagi tender sedemikian, yang sebelum ini hanya dinilai berdasarkan pada harga.

Pembida kini perlu menunjukkan bahawa pihaknya adalah sebuah entiti keagamaan yang secara kerap menganjurkan kegiatan melibatkan dan memanfaatkan masyarakat am Singapura. Mereka juga harus menunjukkan keperluan bagi sebuah ruang baru.

Pihak yang membuat tender juga perlu menunjukkan bahawa mereka mempunyai cukup dana untuk membiayai pembelian serta pembangunan tapak tersebut tanpa menggunakan derma dari luar negara.

Menurut MND, syarat itu bagi mengelakkan keadaan di mana pembida menggunakan derma dari luar negara untuk membuat bidaan secara agresif.

Hanya pihak-pihak yang lulus kriteria tersebut akan dipertimbangkan dan tapak tanah akan diberikan kepada pembida dengan harga tertinggi.

MND menyatakan ia bekerja rapat dengan kumpulan-kumpulan utama agama untuk menyemak proses tender tapak tanah bagi tempat beribadah.

Pada 2014, Eternal Pure Land, sebuah syarikat yang bukan berbentuk keagamaan, menang tender bagi sebuah tapak tanah di Sengkang yang dikhususkan sebagai tempat beribadah. MND kemudian membatalkan perjanjian dengan syarikat itu setelah para penduduk membantah rancangan membina kolumbarium atau tempat simpan abu mayat komersil di situ.

Tapak itu kemudian diserahkan kepada Thye Hua Kwan Moral Society yang kemudian membina sebuah kuil Cina.

TAPAK BAGI HAB AGAMA

Buat pertama kalinya, MND akan menawarkan tapak tanah bagi pembinaan hab yang boleh menempatkan beberapa badan seagama.

Sebuah tapak akan ditawarkan bagi hab gereja dan sebuah lagi bagi hab kuil Cina.

Para pembida bagi tapak hab agama itu juga perlu memenuhi kriteria sama seperti pembida tapak tempat beribadah biasa.

MND juga mengumumkan ia akan menawarkan tender bagi sekurang-kurangnya dua tapak untuk gereja dan kuil Cina setiap tahun.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan