Hanya 50 ruang disediakan bagi setiap sesi solat berjemaah, solat Jumaat di semua masjid mulai esok
Mulai esok (16 Mei), masjid-masjid di seluruh negara hanya akan menawarkan 50 ruang untuk setiap sesi solat lima waktu dan solat Jumaat berbanding 100 sekarang.
SINGAPURA: Mulai esok (16 Mei), masjid-masjid di seluruh negara hanya akan menawarkan 50 ruang untuk setiap sesi solat lima waktu dan solat Jumaat berbanding 100 sekarang.
Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) mengumumkan di Facebook bahawa langkah itu sejajar dengan garis panduan Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) seperti yang diumumkan oleh Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) pada Jumaat (14 Mei).
Ini bermakna, terang MUIS dalam catatan tersebut hari ini (15 Mei), semua tempahan sedia ada bagi Zon 2 pada Jumaat (21 Mei) akan dibatalkan secara automatik. Emel bagi memaklumkan tentang pembatalan itu akan dikirimkan kepada para jemaah yang tempahan mereka terjejas bagi solat Jumaat pada tarikh tersebut.
MUIS juga mengingatkan para jemaah bahawa pendaftaran SafeEntry menggunakan aplikasi atau token TraceTogether sahaja akan mula dilaksanakan di kesemua masjid merata negara mulai Isnin (17 Mei).
"Ini adalah waktu genting bagi masyarakat dengan kes jangkitan terus meningkat di seluruh negara setiap hari," menurut MUIS.
"Marilah kita terus berwaspada dan menegakkan tanggungjawab sosial kita dalam memastikan semua orang selamat," gesanya.
Sebelum ini, jumlah jemaah yang dibenarkan di masjid bagi setiap sesi solat berjemaah sudahpun dikurangkan semula kepada 100 orang mulai 8 Mei. Ia menyusuli pengumuman MTF untuk mengurangkan tahap interaksi dalam masyarakat sekali gus memutuskan rantaian jangkitan kerana terdapat lonjakan pada bilangan kes positif COVID-19 tempatan.
Dalam kenyataannya semalam, Kementerian Kesihatan (MOH) menyatakan bagi perhimpunan dan khidmat ibadat, para petugas keagamaan serta semua peserta lain mesti memakai pelitup pada setiap masa "untuk mengurangkan lagi risiko penularan menerusi titisan cecair di ruang udara".
Menulis di Facebooknya semalam, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli menggesa orang ramai supaya terus bekerjasama dan duduk di rumah seberapa yang boleh.
"Ayuh kita terus mengambil langkah-langkah untuk melindungi diri kita, orang-orang yang kita sayangi serta semua di Singapura. Saya yakin dengan kerjasama semua, kita boleh mengharungi masa-masa mencabar ini,"ujarnya.
Menyusuli peningkatan pada jumlah kes COVID-19 dalam masyarakat, Singapura kini diletakkan di bawah "Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat)" dengan sekatan-sekatan baru yang lebih ketat berkuat kuasa 16 Mei hingga 13 Jun.
Ini termasuk had dua orang bagi perhimpunan sosial berbanding lima sekarang. Had lima orang tetamu bagi setiap rumah juga dikurangkan kepada dua tetamu serumah dalam sehari.
Had orang yang menghadiri upacara persemadian atau pengebumian juga dikurangkan dari 30 kepada 20 sahaja, menurut MOH.
Majlis pernikahan akan dibenarkan, dengan had 50 tetamu tanpa ujian atau sehingga 100 tetamu dengan ujian dijalankan sebelum acara.
Duduk makan di premis-premis makanan dan minuman (F&B) juga tidak dibenarkan sepanjang tempoh tersebut. Bekerja dari rumah pula akan menjadi aturan kerja yang sangat-sangat digalakkan.
Kegiatan-kegiatan lain yang tidak dibenarkan sepanjang tempoh itu termasuk kelas-kelas senaman berat atau sukan berat bagi individu atau kumpulan di tempat tertutup serta kegiatan senaman.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.