Skip to main content

Singapura

Hanya 40% kaum Melayu berpeluang jalani pemindahan darah tali pusat sepadan

Kesedaran golongan ibu bapa di negara ini terhadap peri pentingnya perubatan anak semakin meningkat. Namun, masih tidak ramai yang mengetahui manfaat darah dari tali pusat.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 17 Nov 2017 08:10PM Dikemas Kini : 17 Nov 2017 09:57PM

SINGAPURA: Kesedaran golongan ibu bapa di negara ini terhadap peri pentingnya perubatan anak semakin meningkat. Namun, masih tidak ramai yang mengetahui manfaat darah dari tali pusat.

Sekarang ini, kurang 40 peratus anggota masyarakat Melayu yang berpeluang menjalani pemindahan darah tali pusat yang sepadan, berbanding 80 peratus bagi pesakit Cina.

Keadaan ini lebih mendesak lagi memandangkan, kurang 10 peratus rakyat Singapura mendermakan darah tali pusat dan padanan lebih berjaya berdasarkan latar belakang etnik dan kaum.

PERNAH DERMA TALI PUSAT 7 KALI

Cik Sri Rahayu, 32 tahun, merupakan penderma darah tali pusat teladan. Beliau satu-satunya penderma sebanyak tujuh kali, bagi ketujuh-tujuh anaknya!

"Waktu itu saya mengandungkan anak saya yang pertama – usia kehamilan lapan bulan. Saya mendengar betapa mudahnya proses menderma tersebut dan bagaimana ia dapat menolong orang lain, saya tidak teragak-agak ataupun ragu-ragu lagilah untuk terus mendaftarkan diri saya," kata Cik Rahayu.

Cik Sri Rahayu di kalangan 40,000 penduduk tempatan yang menderma kepada Bank Darah Tali Pusat Singapura, SCBB.

Daripada jumlah itu, sebanyak 13,000 unit darah siap membantu pesakit yang sepadan. Hasilnya, lebih 220 pemindahan dijalankan di Singapura dan antarabangsa.

Sehingga 80 penyakit berbeza boleh dirawat menggunakan darah tali pusat, antaranya penyakit darah yang biasa dihidapi kanak-kanak seperti talasemia, leukimia atau barah darah dan palsi cerebrum.

Menurut Pengarah Perubatan SCBB, Profesor Madya William Hwang: "Kami berupaya memadankan sekitar 80 peratus pesakit Cina yang mencari padanan dalam bank darah tali pusat. Tapi jika cuba mencari padanan untuk pesakit Melayu, ia sekitar 30 peratus hingga 40 peratus.

Beliau menambah, untuk mendapat padanan yang baik bagi mana-mana kaum, sekitar 10,000 unit darah diperlukan daripada kumpulan etnik berkenaan.

"Jumlah unit darah Melayu dalam bank kami membentuk minoriti. Jadi sekitar antara 1,000 hingga 2,000 unit, berbanding 10,000 unit yang diperlukan. Jadi kita masih boleh menggalakkan lebih ramai penderma kaum etnik minoriti," terang Dr Hwang lanjut.

HUKUM DERMA TALI PUSAT "HARUS", MENURUT MUIS

Sejak Mei tahun lalu, MUIS mengeluarkan irsyad atau panduan yang menjelaskan pendermaan darah tali pusat hukumnya adalah harus, demi menyelamatkan nyawa.

Sejak setahun dua ini, SCBB bekerjasama dengan MUIS untuk meletakkan risalah-risalah di masjid-masjid demi memperbetul salah-tanggapan yang ada.

Penyelaras Penderma SCBB, Cik Hasiah Sarbini berkata: "Kalau perkara baru ini, memang sukar sekali untuk meyakinkan mereka untuk mendermakan. Kerana inilah kadang-kadang mereka, terutama penderma kaum kita, langsung tidak mahu mendengar penerangan kita. Terus mengelak daripada menderma."

Sejak SCBB ditubuhkan pada 2004, jururawat pesara berusia 75 tahun itu bertugas membantu menggalak ibu bersalin agar menderma ke bank awam ini.

DARAH TALI PUSAT BERFAEDAH, 90% DIBUANG

Darah dalam tali pusat mempunyai sel tunjang yang tinggi nilainya dan darah yang dikumpulkan dari tali pusat hanya boleh diperoleh sejurus selepas bayi dilahirkan.

Dalam kebanyakan masa, iaitu lebih 90 peratus, darah dalam tali pusat dibuang.

"Doktor akan mengambil darah tali pusat itu daripada tali pusat bayinya sesudah bayi dilahirkan. Mereka tidak akan mengalami kesakitan pun," ujar Cik Hasiah.

"Saya tahu ada ramai pesakit di luar sana yang menantikan giliran mereka. Satu kepuasan ataupun pencapaian bagi pihak anak-anak saya, kerana perkara pertama yang mereka lakukan adalah untuk memberi peluang untuk hidup bagi para pesakit yang memerlukan," kongsi Cik Sri Rahayu.

Pengarah Perubatan SCBB, Profesor Madya William Hwang mendedahkan bahawa kejayaan pertama pemindahan sel tunjang tanpa hubungan keluarga untuk masyarakat Melayu di Singapura, dijalankan menggunakan darah tali pusat dari SCBB.

"Sebab darah tali pusat berupaya menerima pemindahan yang kurang sepadan, jadi tidak perlu mencari padanan yang sempurna bagi pemindahan."

Ini berbanding perlunya mendapatkan sumsum tulang dari penderma dewasa yang padan dengan sempurna kepada pesakit yang menerima, untuk menjalankan pemindahan sel tunjang darah, tambah Dr Hwang.

"Amat-amat sukar untuk mendapat padanan yang sempurna. Nisbah pemadanan di kalangan adik-beradik hanya sekitar satu dalam suku."

DARAH TALI PUSAT MENGANDUNGI SEL-SEL TUNJANG

Darah tali pusat amat berharga, kerana mengandungi sel tunjang yang boleh mengambil bentuk apa jua jenis sel darah.

Apabila sel-sel ini dipindahkan ke dalam sumsum tulang, ia menjadi sel-sel yang boleh menyembuhkan berbagai penyakit seperti gangguan darah, kekurangan imun atau keupayaan tubuh melawan penyakit, penyakit metabolik, beberapa jenis barah malah penyakit-penyakit genetik luar biasa yang boleh mengancam nyawa.

Prosedur menderma langsung tidak menyakitkan, membahayakan ataupun menjejas proses kelahiran mahupun membawa pulang uri. Ibu yang sihat dan tiada sejarah keluarga penghidap penyakit berkenaan darah, hanya perlu beritahu doktor bersalin jika ingin menderma.

Doktor akan mengambil darah tali pusat itu daripada tali pusat bayinya sesudah bayi dilahirkan.

Dengan kekuatan manfaat darah tali pusat, sekurang-kurangnya 25 peratus penduduk menyimpan darah tali pusat di bank swasta. Syarikat Stemcord bank swasta perintis sejak 2002, bagi kegunaan masa hadapan oleh bayi dan adik-beradiknya sahaja, andai perlu. Yuran simpanannya boleh dibayar menggunakan bonus bayi.

Di Amerika Syarikat, bank swasta sebegini mengenakan yuran penempatan antara S$1,830 (AS$1,350) hingga S$3,120 (AS$2,300) beserta yuran penyenggaraan tahunan antara S$135 (AS$100) hingga $240 (AS$175). 

Sumber : BERITA Mediacorp/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita