Skip to main content

Singapura

Hanya 37% ibu bapa SG yakin bimbing tabiat digital anak mereka: Tinjauan MDDI

Anggaran Waktu Membaca:
Hanya 37% ibu bapa SG yakin bimbing tabiat digital anak mereka: Tinjauan MDDI

Seorang kanak-kanak menggunakan telefon. (Gambar fail: iStock/AzmanJaka)

Diterbitkan : 12 Sep 2025 07:10PM Dikemas Kini : 12 Sep 2025 07:33PM
SINGAPURA: Hanya 37 peratus ibu bapa di Singapura berasa yakin dengan kemampuan mereka untuk membimbing tabiat digital anak mereka, menurut penemuan tinjauan yang dikeluarkan oleh Pemerintah Singapura dari Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) pada Jumaat (12 Sep).

Baki 63 peratus berasa kurang atau tiada keyakinan dalam kemampuan mereka untuk berbuat demikian.

"Bagi ibu bapa yang menyatakan kurang atau tiada keyakinan, cabaran utama yang disebut adalah masa yang terhad disebabkan kerja atau komitmen lain, keengganan anak untuk mengikut peraturan, keupayaan anak untuk mengelak kawalan ibu bapa, dan pengetahuan terhad ibu bapa tentang alat kawalan atau pemantauan ibu bapa," menurut MDDI dalam satu kenyataan.

Tinjauan MDDI mengenai keibubapaan digital dijalankan pada bulan Februari untuk lebih memahami bagaimana ibu bapa menguruskan aktiviti digital anak mereka, dengan tujuan untuk memaklumkan pemerintah bagaimana ia boleh menyokong ibu bapa dengan lebih baik.

Tinjauan tersebut dijalankan secara online dan jawapan yang sah diterima daripada 1,986 penduduk Singapura yang mempunyai anak berumur dua hingga 17 tahun.

Jawapan tinjauan dinilai sewajarnya untuk memastikan perwakilan ibu bapa penduduk Singapura dari segi umur, jantina atau kaum.

Hampir semua ibu bapa yang ditinjau menyatakan kebimbangan tentang bahaya atau risiko online yang mungkin dihadapi anak mereka semasa meluangkan masa online.

Pendedahan kepada kandungan yang tidak sesuai merupakan kebimbangan utama, diikuti oleh interaksi dengan orang asing secara online dan buli siber.

"Kebanyakan ibu bapa mengakui keperluan mereka untuk memainkan peranan dalam membimbing tabiat digital anak mereka, dengan hampir sembilan daripada 10 orang sudah mengambil sekurang-kurangnya satu tindakan, seperti menyekat tempoh penggunaan atau jenis kandungan," menurut MDDI.

Perdana Menteri Lawrence Wong bercakap tentang kesan teknologi terhadap golongan muda dalam Ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan 2025 beliau.

Beliau berkata bahawa Singapura mesti menggunakan perkembangan teknologi secara menyeluruh. "Tetapi kita juga mesti bersikap jelas tentang keburukan, dan menguruskannya dengan berhati-hati. Dan itu bermakna mencapai keseimbangan yang betul.

"Keseimbangan antara melindungi anak-anak muda kita daripada bahaya yang mungkin timbul. Dan melengkapkan serta memperkasakan mereka untuk mengeksploitasi sepenuhnya manfaat teknologi," tambahnya.

Beliau mengakui dalam ucapannya bahawa ia sukar bagi ibu bapa "untuk menetapkan batasan, atau bahkan untuk mengetahui apa yang anak-anak mereka lakukan" online.

Ini disokong oleh Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital Josephine Teo pada Jumaat.

"Keibubapaan sentiasa mencabar, dan era digital turut memperkenalkan kerumitan baharu.

"Kembali kepada zaman kanak-kanak berasaskan permainan akan mengambil masa dan bermula dengan membentuk semula norma dalam tabiat digital kanak-kanak," kata Cik Teo.

Beliau menambah bahawa dengan bekerjasama dengan rakan kongsi masyarakat, usaha-usaha boleh diperkukuhkan dan ibu bapa boleh diyakinkan bahawa mereka tidak bersendirian, dengan sokongan yang sedia ada.

DAPATAN TINJAUAN

Tinjauan MDDI mendapati bahawa penggunaan peranti digital oleh kanak-kanak kecil adalah "sangat tinggi".

Sekitar 55 peratus ibu bapa yang mempunyai anak berumur antara dua hingga empat tahun melaporkan bahawa anak mereka memiliki atau menggunakan peranti digital orang lain.

Ibu bapa yang membenarkan anak mereka menggunakan peranti berbuat demikian seawal usia tiga tahun.

Dalam kalangan ibu bapa kanak-kanak yang memiliki atau menggunakan peranti digital, 94 peratus menunjukkan bahawa anak mereka menggunakan peranti untuk aktiviti masa lapang, dengan penstriman media dan permainan menjadi aktiviti yang paling biasa.

Ramai kanak-kanak melebihi had masa skrin harian yang disyorkan oleh Kementerian Kesihatan.

Bagi kanak-kanak berumur dua hingga enam tahun, 58 peratus menghabiskan lebih daripada satu jam yang disyorkan pada peranti digital pada hari biasa, dengan 81 peratus berbuat demikian pada hujung minggu.

Kira-kira 27 peratus kanak-kanak berumur tujuh hingga sembilan tahun melebihi dua jam yang disyorkan bagi penggunaan peranti digital pada hari biasa, dengan angka ini meningkat kepada 55 peratus pada hujung minggu.
Bagi kanak-kanak dalam kumpulan umur 10 hingga 12 tahun, 47 peratus menggunakan peranti digital melebihi dua jam yang disyorkan pada hari biasa, dan 71 peratus berbuat demikian pada hujung minggu.

LEBIH BANYAK BANTUAN DIPERLUKAN

Kira-kira 59 peratus ibu bapa yang ditinjau mahukan lebih banyak sokongan pemerintah untuk membantu mereka menguruskan aktiviti digital anak mereka.

Dalam kalangan mereka yang bersikap neutral atau bersetuju bahawa lebih banyak sokongan diperlukan, sekitar 57 peratus mahukan perundangan yang lebih kukuh untuk melindungi kanak-kanak online, manakala 44 peratus mahukan sumber atau panduan digital.

"Pemerintah mengakui kebimbangan ibu bapa ini dan tetap komited untuk mengukuhkan perundangan bagi melindungi anak-anak kita daripada bahaya online dengan lebih baik," menurut MDDI.

MDDI menyatakan bahawa Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) memperkenalkan kod-kod amalan pada tahun 2023 yang memerlukan perkhidmatan media sosial yang ditetapkan untuk mewujudkan sistem dan proses untuk menghalang pengguna Singapura, terutamanya kanak-kanak, daripada mengakses kandungan berbahaya.

Pada bulan Mac, IMDA melancarkan kod-kod amalan buat kedai aplikasi untuk mengurangkan risiko pendedahan kepada kandungan berbahaya bagi pengguna, terutamanya kanak-kanak.

Kedai aplikasi yang ditetapkan juga perlu mewujudkan langkah-langkah jaminan umur untuk menghalang pengguna muda di bawah usia 18 tahun daripada mengakses aplikasi yang tidak sesuai dengan umur. Langkah-langkah tersebut akan dilaksanakan menjelang 31 Mac 2026.

Satu Rang Undang-Undang akan dibentangkan di Parlimen untuk menubuhkan suruhanjaya keselamatan online yang baharu menjelang separuh pertama tahun 2026. Suruhanjaya berkenaan akan membolehkan mangsa mendapatkan bantuan jika mereka menghadapi bahaya online, dan mempertanggungjawabkan pelaku.

MDDI menyatakan bahawa pemerintah akan menjadikan sumber lebih berguna dan mudah diakses untuk ibu bapa, sambil meningkatkan jangkauan berasaskan komuniti. Ini termasuk program secara bersemuka, seperti bengkel untuk ibu bapa.

"Kami akan bekerjasama dengan rakan kongsi seperti influencer ibu bapa untuk memperkuat dan berkongsi kandungan ringkas melalui media sosial," menurut Kementerian tersebut.

"Kami juga akan bekerjasama dengan rakan kongsi akar umbi, industri dan korporat untuk menggalakkan lebih banyak inisiatif dari masyarakat dan mencetuskan usaha seluruh masyarakat untuk menyokong keibubapaan dalam era digital."

Menteri Negara Pembangunan Digital dan Penerangan Rahayu Mahzam berkata: "Selama bertahun-tahun, kami telah membina kumpulan sumber yang besar untuk menyokong ibu bapa dalam era digital melalui perkongsian rapat dengan rakyat, sektor swasta, dan awam, terutamanya melalui gerakan Digital for Life.

"Sekalipun demikian, memupuk tabiat digital yang sihat di kalangan anak muda kita memerlukan usaha yang berterusan dan kolektif.

"Kami akan terus bekerjasama rapat dengan pertubuhan bukan sahaja untuk bersama-sama mencipta sumber dan program yang menarik dan praktikal, tetapi juga menjadikannya lebih mudah dan boleh diakses untuk ibu bapa."
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita