Hanya 10% pekerja tempatan cari kerja baru; 60% majikan aktif cari pekerja baru: Tinjauan
Hanya 1 daripada 10 pekerja atau 10 peratus pekerja di sini yang sedang aktif mencari pekerjaan baru, menurut satu tinjauan.
Pekerja pejabat di sebuah jambatan bawah tanah di daerah perniagaan pusat Singapura pada 29 April 2021. (Gambar fail: Calvin Oh)
SINGAPURA: Hanya 1 daripada 10 pekerja atau 10 peratus pekerja di sini yang sedang aktif mencari pekerjaan baru, menurut satu tinjauan.
Ini berbeza dengan satu lagi tinjauan yang mendapati bahawa satu daripada empat pekerja berniat untuk meletakkan jawatan dan mencari pekerjaan baru.
Walaupun kebanyakan pekerja tidak mencari pekerjaan baru dalam tinjauan terkini itu, sekitar enam daripada 10 majikan menyatakan bahawa mereka ingin menambah tenaga kerja mereka dan enam daripada 10 pekerja berkata mereka terbuka kepada peluang-peluang pekerjaan.
Ini merupakan dapatan utama yang didedahkan pada Rabu (26 Jan) oleh NTUC LearningHub, iaitu penyedia huraian latihan dan pembelajaran gerakan buruh itu.
Ia meninjau lebih 650 golongan pekerja profesional termasuk majikan dan pekerja pada bulan lalu untuk mencungkil pandangan mereka tentang pasaran pekerjaan sedia ada, pekerjaan dan kemahiran baru serta landskap latihan.
Para responden bekerja dalam enam industri utama:
- Pengeluaran
- Sekitaran binaan
- Perdagangan dan perhubungan
- Khidmat penting domestik seperti jagaan kesihatan dan pendidikan
- Khidmat moden seperti teknologi infokom dan media
- Khidmat gaya hidup termasuk makanan dan minuman serta runcit
Dapatan dalam laporan Pekerjaan dan Kemahiran Baru itu berbeza dengan satu tinjauan yang dijalankan pada bulan lalu oleh portal pekerjaan Indeed, yang mendapati bahawa hampir suku pekerja rakyat Singapura merancang untuk meninggalkan pekerjaan mereka pada separuh pertama tahun ini dan hampir separuh kurang pasti jika mereka akan kekal dalam pekerjaan yang sama enam bulan akan datang.
Laporan oleh Indeed menyatakan bahawa trend pekerja meninggalkan pekerjaan mereka sejajar dengan "peletakan jawatan besar-besaran", iaitu sebuah fenomena global di mana sejumlah besar pekerja sama ada meletak jawatan atau beralih ke industri lain sepanjang dua tahun lalu sedang pandemik COVID-19 mengubah keperluan dan permintaan mereka.
NTUC LearningHub menyatakan: "Dalam dapatan laporan kami, kami mendapati bahawa hanya sejumlah kecil pekerja, atau 10 peratus, sedang aktif mencari pekerjaan baru. Walaupun lagi 60 peratus terbuka kepada idea mendapatkan pekerjaan baru, mereka mungkin belum lagi bertindak."
Pakar ekonomi buruh Walter Theseira berkata tinjauan NTUC LearningHub menunjukkan bahawa fenomena "peletakan jawatan besar-besaran" "pada hakikatnya kurang berasas" di Singapura, di mana ia disokong oleh statistik yang beliau dapati tidak menunjukkan sebarang trend luar biasa dalam kadar peletakan jawatan di sini.
Beliau menambah bahawa istilah "peletakan jawatan besar-besaran" dicipta di Amerika Syarikat menyusuli kadar tinggi peletakan jawatan dalam industri-industri tertentu. Namun mengikut sejarah, industri-industri berkenaan memang sudah lama berdepan kesukaran mengekalkan pekerjanya, seperti dalam peranan khidmat bergaji rendah.
LEBIH OPTIMIS TERHADAP PROSPEK PEKERJAAN
Tinjauan terkini mendapati bahawa kedua-dua pekerja dan majikan lebih optimis terhadap pasaran pekerjaan berbanding tahun sebelumnya.
Sebahagian besar majikan, atau 65 peratus, sudah mengambil pekerja atau berniat untuk menggajikan pekerja baru bagi memenuhi matlamat perniagaan syarikat sedang ekonomi dibuka semula secara bertahap-tahap kerana pandemik.
Meskipun begitu, hampir lapan daripada 10 majikan mendapati bahawa ia sukar untuk memenuhi jawatan kosong disebabkan oleh kekurangan calon pekerja dengan kemahiran yang relevan. Sebaliknya, 83 peratus majikan sedang mengendalikan latihan atau berniat untuk melatih para pekerja sedia ada untuk memenuhi matlamat perniagaan.
Tinjauan itu juga mendapati bahawa industri-industri yang berdepan kekangan terbesar tenaga kerja yang adalah:
- Khidmat moden (87 peratus)
- Pengeluaran (83 peratus)
- Khidmat penting domestik (80 peratus)
Sehubungan itu, dapatan tersebut juga mendapati bahawa para pekerja dalam industi-industri tersebut kurang kemungkinan mencari pekerjaan baru secara aktif.
Apabila ditanya mengapa mereka tidak secara aktif mencari pekerjaan baru, tiga sebab utama yang diberikan adalah:
- Berpuas hati dengan peranan sedia ada (60 peratus)
- Rasa puas hati dengan gaji yang diterima sekarang (33 peratus)
- Syarikat sedia ada menawarkan perlindungan pekerjaan (24 peratus)
Pengarah teknologi infokom NTUC LearningHub Anthony Chew Chwee Kim berkata: "Untuk merapatkan jurang kemahiran, syarikat-syarikat boleh meraih manfaat daripada meningkatkan kemahiran kedua-dua pekerja baru dan lama bagi mempertingkatkan keupayaan tenaga kerja dan memenuhi objektif perniagaan."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.