Hanya 1 amaran bertulis, tiada denda dikenakan sejak Kempen Meja Bersih dilancarkan
Sejak tindakan penguatkuasaan berkaitan peraturan bersihkan meja dan pulangkan dulang di pusat-pusat penjaja berkuat kuasa pada 1 September, hanya satu amaran bertulis diberikan kepada seorang pelanggan yang enggan mematuhi nasihat pegawai penguatkuasaan supaya memulangkan pinggan mangkuk.
(Gambar: Mediacorp)
SINGAPURA: Sejak tindakan penguatkuasaan berkaitan peraturan bersihkan meja dan pulangkan dulang di pusat-pusat penjaja berkuat kuasa pada 1 September, hanya satu amaran bertulis diberikan kepada seorang pelanggan yang enggan mematuhi nasihat pegawai penguatkuasaan supaya memulangkan pinggan mangkuk dan dulang.
Tiada denda dikeluarkan sejauh ini.
Tindakan penguatkuasaan itu mula dilaksanakan selepas tempoh percubaan selama tiga bulan.
"Para pelanggan lazimnya memberi kerjasama di pusat-pusat penjaja kami, dengan ramai yang mengambil inisiatif untuk memulangkan pinggan mangkuk dan dulang yang kotor setelah makan atau berbuat demikian apabila dinasihati," kata Menteri Negara Kanan bagi Kemampanan dan Sekitaran Amy Khor di Parlimen hari ini (3 Nov).
"Alasan utama yang diberikan oleh para pelanggan jika mereka tidak membersihkan meja selepas makan adalah mereka terlupa."
Dr Khor berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Anggota Parlimen Joan Pereira (PAP-Tanjong Pagar) yang bertanya tentang jumlah amaran dan denda yang diberikan di bawah Kempen Meja Bersih.
Di bawah peraturan itu, para pelanggan yang tidak membersihkan dulang, sampah dan pinggan mangkuk yang kotor akan dinasihati dahulu supaya berbuat demikian oleh para pegawai penguatkuasaan, kata Dr Khor.
Jika mereka enggan mematuhi nasihat para pegawai, butiran peribadi mereka akan dicatit dan mereka akan diberikan amaran jika ia adalah kesalahan yang pertama. Hanya pesalah kali kedua atau seterusnya akan dikenakan denda atau diheret ke mahkamah.
Dr Khor menambah bahawa Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE) akan meneruskan "usaha pendampingan menyeluruh" itu untuk memastikan orang ramai sedar tentang perlunya untuk memulangkan dulang dan pinggan mangkuk yang kotor setelah selesai makan di kedai-kedai makan di luar.
"Ini termasuk memperkenalkan bahan-bahan pendampingan dalam berbilang bahasa di media massa dan wadah media sosial, peringatan di pusat-pusat penjaja, kedai kopi dan pusat makanan serta kerjasama dengan pertubuhan akar umbi, sekolah dan kumpulan belia," katanya.
Mulai 1 Januari, Agensi Makanan Singapura (SFA) juga akan mula melaksanakan tindakan penguatkuasaan terhadap pembuangan sampah di meja di kedai kopi dan pusat makanan.
Ini menyusuli tempoh percubaan selama dua bulan dari 1 November hingga 31 Disember.
"KONSEP LAYAN DIRI' PALING MAMPAN
Dalam responsnya kepada Dr Khor, Cik Pereira bertanya sama ada MSE akan menyokong penggunaan teknologi untuk mempertingkatkan kebersihan di tempat-tempat makan seperti menggunakan khidmat robot bagi pemulangan dulang atau pencerna sisa makanan secara automatik.
Meskipun beliau akur bahawa sektor pengurusan sisa dan khidmat pembersihan sedang berdepan kekangan tenaga kerja disebabkan oleh penduduk yang semakin menua dan tenaga kerja yang semakin berkurangan, Dr Khor berkata situasi itu "mungkin akan bertambah teruk".
"Usia purata para pekerja pembersihan kami hari ini adalah 60 tahun. Jadi konsep layan diri...benar-benar cara yang paling mampan dalam meneruskan usaha untuk mengekalkan kebersihan di tempat-tempat makan di luar termasuk kedai kopi dan pusat makanan," katanya.
"Hakikatnya, aliran kerja pembersihan meja yang disemak itu sebenarnya memberi jaminan kepada para pekerja pembersihan warga emas bahawa khidmat mereka masih diperlukan dan dihargai, dan ia juga membuat mereka lebih jelas tentang apa yang perlu mereka tumpukan (dan) sebuah sekitaran pekerjaan yang lebih baik dan selamat."
Dr Khor berkata ini akan membantu menangani isu kekangan tenaga manusia dengan "prestasi lebih baik dalam usaha mengekalkan pekerja" dan individu yang berhasrat untuk menyertai sektor itu mungkin akan berbuat demikian.
Sungguhpun demikian, syarikat-syarikat turut digalakkan supaya merujuk pada perancangan Perubahan Industri mengenai Khidmat Sekitaran di bawah Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) untuk mempertingkat daya penghasilan seperti mereka semula aliran kerja atau mengamalkan teknologi, katanya.
"Syarikat-syarikat pembersihan, pemilik premis, penyewa diluluskan NEA yang layak, sebenarnya boleh memohon bagi Geran Meningkatkan Daya Penghasilan bagi Khidmat Sekitaran, yang memberi sokongan pembiayaan untuk mereka....membeli peralatan, peralatan pembersihan dan pengurusan sisa, seperti robot pembersihan berautonomi dan pencerna sisa makanan."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.