Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hampir sepertiga pekerja jagaan kesihatan saksikan penderaan atau alaminya setiap minggu

Anggaran Waktu Membaca:
Hampir sepertiga pekerja jagaan kesihatan saksikan penderaan atau alaminya setiap minggu

Gambar fail jururawat di Singapura (Gambar: Raj Nadarajan/TODAY)

SINGAPURA: Hampir satu daripada setiap tiga petugas jagaan kesihatan menyaksikan penderaan atau mengalaminya sendiri sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu.

Demikian menurut dapatan kumpulan kerja perikatan tiga pihak yang ditubuhkan pada Mac tahun lalu. Ia bertujuan untuk menyiasat isu tersebut.

Semasa berkongsi dapatan itu di perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS), Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan, Rahayu Mahzam berkata "langkah-langkah tegas" diperlukan untuk memastikan keselamatan dan kebajikan pekerja jagaan kesihatan Singapura dijaga.

Ini termasuk meningkatkan perlindungan dengan memperbaiki dan menyeragamkan piawaian bagi institusi jagaan kesihatan awam dalam menangani penderaan dan gangguan, katanya.

"Kami perlu mempunyai definisi jelas dan serupa terhadap penderaan dalam kalangan petugas jagaan kesihatan dan orang awam," kata Cik Rahayu.

"Ini juga termasuk mengambil langkah untuk mencegah keadaan yang dapat menyebabkan penderaan serta menggalak rasa saling percaya dan hormat menghormati antara pesakit, penjaga dengan pekerja-pekerja jagaan kesihatan."

KES SEMAKIN MENINGKAT

Dalam jawapan bertulis pada tahun lalu, Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berkata angka kes penderaan dan gangguan di dalam institusi-institusi jagaan kesihatan meningkat sejak 2018.

Jumlah kes meningkat dari 1,080 kes pada 2018 kepada 1,200 pada 2019 dan 1,200 pada 2020, katanya.

Setakat hujung November 2021, terdapat 1,400 kes penderaan dan gangguan yang dilaporkan.

Dalam tempoh yang sama, jumlah kes penderaan atau gangguan terhadap pekerja-pekerja jagaan kesihatan sedang bertugas yang dilaporkan kepada polis meningkat daripada 40 pada 2018 kepada 68 pada 2021.

Tahun lalu, seorang lelaki 40 tahun dijatuhi hukuman penjara tujuh minggu kerana menumbuk seseorang yang tidak dikenali dan menendang seorang jururawat di Hospital Tan Tock Seng ketika mabuk.
Dalam kes berasingan, sepasang suami isteri didenda kerana menganggu jiran mereka. Salah seorang daripadanya ialah seorang jururawat yang bertugas di Hospital Besar Sengkang.

Mereka berteriak "penyebar COVID" dan menyembur pembasmi kuman ke arah mangsa.
MENGAMBIL LANGKAH LEBIH TEGAS

Semasa ucapannya, Encik Ong menarik perhatian bahawa sebahagian besar orang ramai menghormati pekerja jagaan kesihatan, namun terdapat "minoriti kecil" yang menganiaya atau menganggu mereka.

"Ini tidak boleh diterima, dan kami akan mengambil pendirian lebih tegas terhadap isu ini...Kami perlu memperkasa hospital-hospital untuk mengambil tindakan lebih tegas terhadap penderaan tersebut," katanya.

Maklumat lanjut mengenai dapatan kumpulan kerja dan kemas kini kemajuan rancangan MOH akan diumumkan hujung bulan ini, tambah Encik Ong.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan