Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hampir separuh majikan S'pura mahu kembali ke aturan kerja sebelum COVID-19; ramai pekerja tidak kongsi pandangan sama

Sedang rakyat Singapura kembali bertugas di pejabat, hampir separuh pekerja berkata mereka akan 'angkat kaki' jika mereka tidak diberikan waktu kerja fleksibel dan sedikit jaminan mereka dapat bekerja dari rumah. 

Anggaran Waktu Membaca:
Hampir separuh majikan S'pura mahu kembali ke aturan kerja sebelum COVID-19; ramai pekerja tidak kongsi pandangan sama

(Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 14 Oct 2020 11:40PM Dikemas Kini : 14 Oct 2020 11:43PM

SINGAPURA: Sedang rakyat Singapura kembali bertugas di pejabat, hampir separuh pekerja berkata mereka akan 'angkat kaki' jika mereka tidak diberikan waktu kerja fleksibel dan sedikit jaminan mereka dapat bekerja dari rumah.

Pada masa yang sama, jumlah serupa dalam kalangan majikan berharap mereka dapat kembali kepada aturan kerja sebelum berlaku COVID-19, menurut dapatan satu tinjauan yang dijalankan.

Demikian menurut pandangan 100 pegawai pengurusan kanan yang berpangkalan di Singapura dan 1,000 pekerja yang bekerja dengan syarikat-syarikat yang menggajikan 500 atau lebih pekerja.

Mereka ditinjau bulan lalu sebagai sebahagian daripada tinjauan yang ditugaskan oleh firma aliran kerja digital ServiceNow dan dijalankan oleh firma penyelidikan pasaran Wakefield Research di 11 negara.

Tinjauan itu juga mendapati bahawa jumlah pekerja rakyat tempatan yang
lebih tinggi daripada purata bimbang para majikan mereka tidak akan dapat menjaga kepentingan mereka dan sebaliknya akan mengutamakan keuntungan dan prestasi syarikat dan bukan keselamatan mereka.

Hampir tiga suku (72 peratus) pekerja percaya bahawa syarikat mereka akan mengutamakan ketersambungan perniagaan dan bukan keselamatan di tempat kerja, sedang semakin ramai pekerja kembali bertugas di pejabat masing-masing.

Hasil tinjauan itu juga jauh lebih tinggi berbanding purata global yang mencatatkan 60 peratus, dengan hanya New Zealand (87 peratus) dan India (76 peratus) mencatat perangkaan yang lebih tinggi.

Bagaimanapun hampir tiga daripada setiap lima (57 peratus) pembuat keputusan perniagaan yang ditinjau mengongsi sentimen ini, jauh lebih tinggi berbanding purata global sebanyak 44 peratus.

Berikut adalah dapatan terperinci daripada kajian itu:

PANDANGAN PEKERJA

  • 91 peratus suka dengan perubahan digital seperti bekerja dari rumah
  • 87 peratus berkata teknologi membolehkan mereka memanfaatkan kaedah baru yang membuat mereka bekerja lebih pantas daripada yang dijangkakan sebelum ini
  • 52 peratus berkata adalah penting untuk majikan mereka menawarkan waktu kerja yang fleksibel
  • 45 peratus berkata penting untuk syarikat mereka memberi jaminan supaya mereka dapat bekerja dari rumah

Manfaat utama bekerja dari rumah:

  • Jimat masa kerana tidak perlu berulang-alik atau melakukan perjalanan (52 peratus)
  • Lebih kelonggaran untuk menguruskan tanggungjawab peribadi (47 peratus)
  • Penggunaan teknologi yang lebih baik untuk meningkatkan kecekapan kerja (45 peratus)

PANDANGAN EKSEKUTIF, MAJIKAN

  • 46 peratus berkata keutamaan mereka adalah kembali kepada bagaimana mereka bekerja sebelum COVID-19 dan mahu keadaan kembali seperti dahulu
  • 47 peratus percaya bahawa beralih kepada norma baru lebih sukar berbanding kejutan awal COVID-19, sekali gus membayangkan banyak lagi yang perlu dilakukan pada masa akan datang

Antara cabaran bekerja dari rumah dari sudut majikan:

  • 91 peratus berkata bahawa banyak fungsi rutin, seperti meluluskan dokumen, semakan prestasi, permintaan dan kelulusan aset teknologi maklumat (IT) dan urus niaga cek atau tunai masih dilakukan di luar talian
  • 80 peratus bersetuju bahawa syarikat mereka akan dapat menjimatkan kos ekoran perubahan pada operasi syarikat yang berkaitan dengan COVID-19, namun hanya 68 peratus bersetuju bahawa penjimatan itu seharusnya dimanfaatkan untuk transformasi digital
  • 60 peratus berkata mereka tidak mempunyai sistem bersepadu sepenuhnya untuk menguruskan aliran kerja digital bagi semua fungsi perniagaan

Di kesemua negara yang ditinjau, khidmat pelanggan, sumber manusia, kewangan serta penjualan dan pemasaran dikenal pasti sebagai yang paling sangat terdedah. Hanya jabatan IT yang kebanyakannya berkata mereka dapat membuat penyesuaian dengan pantas. 

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan