Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hampir semua keluarga SG ada akses internet; pemilikan telefon bijak cecah 97%

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 04 Nov 2023 02:30PM Dikemas Kini : 04 Nov 2023 10:40PM
SINGAPURA: Hampir semua penduduk rakyat Singapura - atau 99 peratus - mempunyai akses kepada internet, manakala jumlah mereka yang memiliki telefon bijak mencecah rekod baharu, iaitu 97 peratus.

Perangkaan yang menunjukkan ketersambungan tinggi digital itu dikeluarkan oleh Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) pada Sabtu (4 Nov) dalam Laporan Masyarakat Digital Singapura yang dikeluarkan buat pertama kali.

Laporan itu mengukur akses digital, kemahiran asas digital bagi kehidupan seharian dan sikap terhadap teknologi digital di Singapura.

Dalam kalangan keluarga warga senja sahaja, peratusan yang ada akses kepada internet sudah meningkat dari 55 peratus pada 2017 kepada 93 peratus pada 2022.

Menurut IMDA, kurangnya keperluan, kemahiran, pengetahuan dan keyakinan warga senja untuk menggunakan internet merupakan sebab utama mengapa masih ada jurang.

Semua keluarga dengan anak-anak yang bersekolah sepenuh masa mempunyai akses kepada internet sejak 2018. Sekalipun demikian, dua peratus masih kurang akses kepada komputer disebabkan isu kemampuan.

Menurut IMDA pihaknya akan terus memberikan subsidi bagi akses digital kepada keluarga-keluarga berpendapatan rendah menerusi Skim Akses Digital @ Rumah, yang melengkapi usaha Kementerian Pendidikan untuk menyokong pembelajaran dari rumah.

IMDA juga menyokong warga senja berpendapatan rendah menerusi skim Guna Alat Mudah Alih bagi Warga Emas.

Semua penduduk berusia 18 hingga 59 tahun memiliki telefon bijak. Pemilikan telefon bijak juga sudah meluas dalam kalangan warga senja, naik dari 74 peratus pada 2017 kepada 89 peratus pada 2022.

KEMAHIRAN DIGITAL, SIKAP TERHADAP TEKNOLOGI

Laporan itu mengenal pasti lima bidang kemahiran asas digital: Memasang dan menyenggara perkakasan dan perisian, mencari maklumat online, berkomunikasi online, melakukan urus niaga online dengan pemerintah dan penyedia khidmat lain serta menguruskan risiko dan bahaya online.

Kemahiran-kemahiran digital secara amnya meningkat dalam kalangan penduduk dan terutama sekali dalam kalangan warga tua.

Penggunaan pembayaran online dalam kalangan warga tua melonjak kepada 66 peratus berbanding 17 peratus pada 2018. Peratusan mereka yang menggunakan internet untuk mencari maklumat melonjak kepada 86 peratus daripada 61 peratus pada 2017.

Peratusan warga senja yang memeriksa sama ada maklumat yang diperolehi online daripada rencana-rencana berita adalah betul mencecah 81 peratus. IMDA menyatakan perkembangan ini "memberangsangkan" bahawa lebih ramai penduduk dalam semua lapisan usia melakukan demikian.

IMDA menekankan bahawa pemerintah mempunyai strategi "digital terlebih dahulu" dan bukan "hanya digital", di mana khidmat-khidmat asas pemerintah kekal boleh diakses menerusi wadah-wadah bukan digital bagi mereka yang tidak berupaya menggunakan saluran digital.

Ia mendapati lebih lapan daripada 10 rakyat Singapura bersetuju bahawa teknologi digital memudahkan kehidupan mereka dan hampir dua pertiga berminat mencuba teknologi baharu.

Sekalipun demikian rakyat Singapura berwaspada terhadap risiko yang datang dengan pendigitalan. Ini seperti maklumat salah dan penipuan online, dengan hanya sekitar satu daripada dua menzahirkan kesanggupan untuk menerima risiko yang berkait penggunaan teknologi.

Pada masa akan datag, IMDA menyatakan lebih banyak usaha boleh dilakukan untuk membantu ibu bapa memberikan sokongan lebih baik kepada anak-anak mereka untuk menggunakan ruang online secara selamat, bertanggungjawab dan boleh membuat penilaian yang bijak.

Bidang-bidang peningkatan lain termasuk membina kepercayaan dan keyakinan terhadap keselamatan platform-platform digital. Ini selain membangkitkan rasa ghairah untuk menggunakan teknologi-teknologi digital dan meneroka potensinya.
 
Sumber : CNA/NK/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan