Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hampir 90 blok HDB di Yishun, Jurong bakal dilengkapi sistem kumpul air hujan

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 28 Mar 2022 12:28PM Dikemas Kini : 28 Mar 2022 09:01PM

SINGAPURA: Hampir 90 blok HDB di Yishun dan Jurong akan dilengkapi dengan sebuah sistem yang boleh mengumpul air hujan untuk digunakan selain untuk diminum, di tempat-tempat awam pada masa akan datang. 

Ini adalah kali pertama Sistem Penjanaan Air Bandar (UWHS) akan dipasang di estet-estet perumahan sedia ada. 

Demikian menurut Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) hari ini (28 Mac). 

Sebelum ini, ia dilancarkan di projek-projek flat Bina Ikut Tempahan (BTO) yang tertentu sebagai sebahagian daripada Program Bandar Hijau HDB. 

"Tidak seperti projek-projek baru BTO di mana prasarana UWHS boleh dirancang dan direka terlebih dahulu untuk memastikan ia ditempatkan di lokasi di mana jumlah paling banyak air hujan boleh dikumpulkan menerusi rangkaian saliran, pemasangan UWHS di estet-estet sedia ada lebih mencabar," menurut HDB. 

Ini kerana proses tersebut melibatkan proses menganalisis aliran air hujan di tempat takungan dan mengenal pasti tempat-tempat sesuai untuk memasang sistem itu selain prasarana khidmat asas yang lain. 

Projek perintis di Yishun dan Jurong akan meliputi 89 blok. 

HDB menyatakan sistem-sistem itu berpotensi menjana penjimatan air sebanyak 17,500 meter padu setiap tahun, atau purata penggunaan tahunan air untuk diminum bagi lebih 85 unit flat HDB empat bilik. 

Tender bagi projek tersebut dibuka hari ini (28 Mac) dan akan ditutup pada 20 Mei. Kerja-kerja binaan dijangka  dijalankan antara 2023 dengan 2027. 

"HDB akan meneliti keberkesanan kos sistem itu dalam mengurangkan penggunaan air untuk diminum dan mengurangkan risiko banjir di estet-estet perumahan HDB yang sedia ada sebelum membuat keputusan setakat mana projek itu akan dilaksanakan di estet-estet lain yang sesuai," menurut HDB. 

Sistem Penjanaan Air Bandar yang dilancarkan buat pertama kali pada 2018 direka untuk memaksimumkan jumlah air hujan yang dikumpul dengan mengumpulkan air hujan pada aliran permukaan kawasan tingkat bawah di sekitar blok-blok prumahan, menurut HDB. 

Air hujan disalurkan ke tangki penjanaan sebelum ia dipam ke bilik pemprosesan. 

Satu sistem UWHS boleh menjana dan menyalurkan air ke sebanyak 12 blok perumahan bagi penggunaan selain untuk diminum seperti mencuci tempat awam dan menyiram pokok-pokok di estet HDB, menurut agensi itu.

"Selain itu, penyaluran air hujan ke dalam tangki penjanaan dan penampungan UWHS boleh mengurangkan risiko potensi banjir di sesebuah estet sewaktu hujan lebat, dengan mengurangkan kadar aliran air hujan ke sistem longkang," tambah HDB.  

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan