Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hampir 70% permohonan surat kelayakan flat HDB ambil masa lebih 21 hari untuk diproses

Anggaran Waktu Membaca:
Hampir 70% permohonan surat kelayakan flat HDB ambil masa lebih 21 hari untuk diproses

Gambar fail flat BTO sedang dibina di Singapura. (Gambar: TODAY/ Ili Nadhirah Mansor)

SINGAPURA: Sekitar 31 peratus permohonan bagi surat kelayakan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) yang diterima sehingga 25 September, diproses dalam tempoh 21 hari, sesuai dengan "standard perkhidmatan yang perlu dipenuhi".

Demikian menurut Menteri Negara Kanan Pembangunan Negara Sim Ann di parlimen pada Rabu (4 Okt).

HDB mempercepatkan proses bagi para pembeli flat yang menunggu lebih lama, tambah Cik Sim. Golongan ini membentuk sebahagian daripada baki 69 peratus - atau lebih 34,500 - permohonan yang mengambil masa lebih daripada 21 hari untuk diproses.

Permohonan bagi Flat Bina Ikut Tempahan (BTO) yang dilancarkan pada Mei tetap diproses walaupun surat kelayakan hanya diterima selepas 21 hari, jelas Cik Sim lagi kepada Dewan.

Beliau membutirkan perkara itu semasa menjawab pertanyaan Ketua Pembangkang Pritam Singh, yang menukil rencana Mediacorp tentang isu-isu teknikal yang menjejas pengeluaran surat kelayakan flat HDB (HFE) beberapa bulan lalu.

Surat HFE ditetapkan sebagai syarat baharu sejak 9 Mei bagi para pembeli flat baharu dan jualan semula.

HDB sebelum ini menjelaskan bahawa surat itu akan mempermudahkan proses pembelian rumah dengan menggabungkan semua penilaian kelayakan bagi pembelian flat, hutang dan geran perumahan.

Mediacorp melaporkan pada Julai bahawa gangguan sistem menyebabkan proses mendapatkan surat HFE memakan masa sehingga 31 hari.

Masalah teknikal di portal HDB turut menjejas "segelintir" pembeli yang tidak dapat melihat permohonan mereka, menurut HDB. Isu ini bagaimanapun dapat dihuraikan pada bulan yang sama.

HDB turut memberi jaminan kepada para pemohon projek yang dilancarkan pada Mei lalu, bahawa surat pertimbangan HFE, yang mana perlu, akan diberikan sebelum janji temu menempah flat. Permohonan mereka juga tidak akan terjejas.

Pada Rabu (4 Okt), Encik Singh bertanya berapa ramai pemohon terjejas oleh isu-isu teknikal yang melengahkan pengeluaran surat-surat HFE, sejak ia ditetapkan sebagai satu syarat.

Ketua Parti Pekerja itu turut bertanya tentang punca isu sebegini berlaku dan sama ada masalah tersebut sudah dapat dihuraikan sepenuhnya.

Menjawab, Cik Sim berkata bahawa HDB sudah memproses lebih 50,000 permohonan bagi surat HFE sejak ia diperkenalkan.

Apabila "jumlah permohonan sangat tinggi dan kesilapan sistem" berlaku semasa pelancaran BTO pada Mei lalu, HDB mengerahkan semula lebih ramai pegawai untuk membantu para pembeli yang tidak dapat menyerahkan permohonan secara online, tambah beliau.

"Pada masa yang sama, sistem HFE belum dapat menangani beberapa kerumitan untuk menyepadukan penilaian kelayakan dengan data dari pelbagai agensi, sehingga peratusan kes yang memerlukan intervensi melebihi jangkaan."

Ini bermakna masa permohonan diproses lebih panjang buat sebilangan pembeli, tambah beliau.

"HDB sedang bekerja keras untuk memproses permohonan yang tertunggak dengan secepat mungkin dan kami memohon pengertian para pembeli," kata Cik Sim lagi kepada Dewan.
Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan