Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hampir 7 daripada 10 pekerja rakyat SG 65 tahun dan ke atas peroleh gaji bawah S$2,500

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Hampir 7 daripada 10 warga emas yang bekerja di Singapura memperoleh gaji bawah S$2,500.

Demikian menurut perangkaan dikeluarkan oleh Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng pada Selasa (7 Feb).

Beliau mendedahkan demikian sebagai menjawab soalan-soalan di parlimen oleh Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) Leong Mun Wai mengenai jumlah rakyat Singapura berusia 65 tahun ke atas yang masih bekerja serta gaji dan industri mereka.

Seramai 207,300 rakyat Singapura berusia 65 dan ke atas diambil bekerja pada 2022, iaitu 31 peratus kadar pengambilan pekerja, kata Dr Tan.

"Ia kadar yang tinggi jika dibandingkan dengan negara-negara OECD (Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi), dan ia mungkin disebabkan oleh jangka hayat rakyat Singapura yang panjang," tambahnya.

Daripada 142,400 rakyat Singapura atau 68.7 peratus memperoleh gaji kasar bulanan kurang dari S$2,500, tidak termasuk caruman Tabung Simpanan Pekerja (CPF) oleh majikan.

Dalam kalangan kumpulan itu, 81,900 atau 57.5 peratus daripada mereka bekerja sepenuh masa.

Sekitar 27,000 rakyat golongan warga emas memperoleh gaji antara S$2,500 dengan S$3,000 manakala 37,800 daripada mereka dibayar gaji sekurang-kurangnya S$4,000.

Dr Tan menarik perhatian bahawa satu pertiga pekerja berusia 65 tahun dan ke atas bekerja secara sambilan.

"Pekerja sambilan lebih cenderung untuk memperoleh gaji rendah, memandangkan tempoh kerja yang singkat dan jenis pekerjaan yang ditawarkan," katanya.

Angka tersebut diperoleh daripada tinjauan tenaga kerja kementerian tenaga manusia.

Dr Tan juga berkata lima industri teratas yang menggajikan rakyat Singapura berusia 65 tahun dan ke atas pada 2022 adalah industri perdagangan runcit dan borong, khidmat pentadbiran dan sokongan, pengangkutan dan penyimpanan, penginapan dan khidmat makanan serta perkilangan.

Pada 30 Januari, dalam kemas kini pada rangka tindakan penduduk menua Singapura, Dr Tan berkata bahawa kadar pengambilan pekerja dalam kalangan warga emas bertambah baik.

Beliau juga mengumumkan lanjutan bagi skim yang menawarkan imbangan gaji kepada majikan yang mengambil pekerja Singapura berusia 60 tahun dan ke atas dan menerima pendapatan sehingga S$4,000 sebulan, dari 2023 hingga 2025.

Geran untuk mendorong majikan menawarkan aturan kerja lebih fleksibel dan perancangan kerjaya berstruktur juga akan dilanjutkan pada tempoh yang sama, dengan kriteria kelayakan yang akan disemak semula.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan