Skip to main content

Singapura

Hampir 60% kambing SalamSG Korban sudah ditempah

Sebanyak 58 peratus kambing bagi ibadah korban yang ditawarkan SalamSG Korban oleh MUIS sudah ditempah.

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Sebanyak 58 peratus kambing bagi ibadah korban yang ditawarkan SalamSG Korban oleh MUIS sudah ditempah.

Menurut Pengerusi Bersama SalamSG Korban, Khalid Shukur Bakri, sebanyak 4,500 ekor kambing disediakan untuk ibadah korban tahun ini.

Sejumlah 1,890 lagi slot bagi kambing korban masih tersedia untuk tempahan.

Bilangan itu berdasarkan penjumlahan BERITAmediacorp daripada jumlah slot yang tertera di laman SalamSG Korban bagi kesemua 52 masjid yang menawarkan khidmat itu tahun ini, setakat 4.00 petang pada Jumaat (16 Jun).

Tempahan daging korban menerusi masjid-masjid serata negara akan ditutup pada Jumaat depan (23 Jun).

TEMPAHAN DI 14 MASJID SUDAH PENUH

Setakat ini, 38 masjid masih mempunyai slot bagi tempahan kambing korban.

Ada dalam kalangan mereka masih mempunyai lebih separuh jumlah kambing korban yang belum ditempah.

Antara masjid yang masih mempunyai lebih 100 slot tempahan adalah Masjid Alkaff Upper Serangoon, Masjid Al-Iman dan Masjid Kampung Siglap.

Masjid Kampung Siglap misalnya menawarkan 250 slot dan sehingga kini, masjid itu masih mempunyai lebih 160 slot yang belum ditempah.

10 masjid yang dihubungi BERITAmediacorp berkongsi, kadar tempahan masih kurang daripada 50 peratus.

Bagi Masjid Tentera Diraja dan Masjid Hajjah Rahimabi yang menawarkan 100 slot bagi tempahan, mereka masing-masing masih mempunyai sekitar 80 slot yang belum ditempah.

Meskipun kadar tempahan di masjid-masjid itu kurang memberangsangkan, berbeza pula keadaannya bagi kira-kira 20 masjid lain.

Ini termasuk Masjid Ahmad, Masjid An Nur dan Masjid Pusara Aman yang tinggal kurang 10 slot tempahan.

Bagi 14 masjid pula, tempahan sudahpun penuh.

Masjid-masjid itu menyaksikan sambutan baik bagi tempahan kambing korban dengan slot bagi sesetengah masjid seperti Masjid Darul Makmur sudah habis ditempah sejak Jumaat lalu.

Sudah habis:

1. Masjid Al-Ansar
2. Masjid Al-Islah
3. Masjid Al Mukminin
4. Masjid Al-Mawaddah
5. Masjid Alkaff Kampung Melayu
6. Masjid Assyafaah
7. Masjid Darul Ghufran
8. Masjid Darul Makmur
9. Masjid Darussalam
10. Masjid Haji Yusoff
11. Masjid Jamae Chulia
12. Masjid Maarof
13. Masjid Kassim
14. Masjid Yusof Ishak

SEHINGGA 800 INDIVIDU MEMERLUKAN AKAN DAPAT DAGING KORBAN

Menurut Pengerusi Bersama SalamSG Korban, Khalid Shukur Bakri, ibadah korban tahun ini juga diharap dapat menyebarkan rahmah kepada semua keluarga dan individu termasuk golongan yang memerlukan.

Justeru, daging korban tahun ini bukan sahaja akan diagihkan kepada para penerima bantuan Zakat MUIS, ia juga akan diberikan kepada keluarga para banduan dan pekerja hijrahan.

Encik Khalid menganggarkan antara 300 hingga 800 individu daripada golongan tersebut akan menerima daging korban daripada SalamSG Korban tahun ini.

Encik Khalid berkata, "Golongan tertentu akan dibantu oleh kerana keperluan kita untuk memberikan ihsan dan rahmah, adalah satu perkara penting dalam gerakan ini, sebarkan salam dan suburkan rahmah perlu menjangkau keperluan masyarakat-masyarakat golongan tersebut"

Daging korban yang akan diagihkan kepada golongan memerlukan itu adalah menerusi sumbangan para sohibul korban dan masjid-masjid serata negara.

Menurut Encik Khalid, sekiranya tempahan di masjid-masjid tidak dipenuhi, pihak masjid boleh menentukan bagaimana untuk menguruskan lebihan daging korban itu.

"Pihak masjid akan memutuskan berapa banyak yang mereka ingin tetapkan untuk para jemaah dan berapa banyak yang akan diagihkan ke dalam tempat pengumpulan pusat," jelas Encik Khalid.

Sumbangan daging korban itu kemudian akan diagihkan kepada para penerima bantuan zakat, para pekerja hijrahan dan kepada keluarga-keluarga para pesalah yang memerlukan bantuan.

Selain pengumpulan pusat itu, sumbangan daging korban daripada para sohibul korban juga akan diagihkan kepada golongan tersebut.

Encik Khalid berkata: "Tidak semua bahagian yang para sohibul korban tempah akan diambil oleh mereka. Ada yang mungkin meminta satu pertiga bahagian sahaja. Bakinya akan dikumpulkan untuk semua 52 masjid, disatukan dan akan diberikan kepada golongan yang memerlukan bantuan."

"Kita akan bekerjasama dengan sehingga 10 badan Melayu/Islam dan akan berikan tarikh di mana masjid akan menjadi pusat untuk menyediakan dan memberikan daging kepada golongan tersebut," tambah beliau lagi.

PROSES MENERIMA DAGING KORBAN

Para sohibul korban akan menerima daging korban yang dibekukan selepas hari-hari tasyrik, mulai 3 Julai depan.

Encik Khalid berkata, "Kita pastikan setiap tempahan akan dipantau di Australia, kita akan hantar para pegawai MUIS daripada unit halal, untuk pastikan segala prosesnya dijalankan dengan cara halal supaya daging-daging akan dibungkus dengan cara penilaian yang baik dan diterbangkan ke Singapura."

"Penyembelihan akan berlaku pada tanggal 29 Jun dan tiga hari berturut-turut pada hari-hari tasyrik. Bagi sohibul korban yang sudah membuat tempahan, daging akan dibekukan dan dibungkus dan dibawa ke Singapura menerusi penerbangan. Di Singapura, segala piawaian akan dipastikan oleh Agensi Makanan Singapura (SFA) bagi memastikan mutu daging," tambah beliau.

Orang ramai masih boleh membuat tempahan secara langsung di mana-mana masjid yang mengambil bahagian atau membuat pendaftaran dan bayaran secara online menerusi laman www.ourmasjid.sg/korban.
Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita