Hampir 60% dari 2,490 kematian semasa pandemik disebabkan COVID-19

Gambar: Facebook/ Tan Tock Seng Hospital
SINGAPURA: Hampir 60 peratus "kematian tambahan" di Singapura sewaktu pandemik COVID-19 disebabkan secara langsung oleh koronavirus dan bakinya adalah pesakit yang meninggal dunia akibat penyakit-penyakit lain dalam tempoh 90 hari setelah dijangkiti virus tersebut.
Dalam laporan yang dikeluarkan pada Ahad (18 Sep), Kementerian Kesihatan (MOH) menyatakan bahawa Singapura mencatatkan sekitar 2,490 kematian sedemikian sewaktu pandemik antara Januari 2020 hingga Jun 2022.
Daripada jumlah tersebut, 1,403 adalah penduduk Singapura yang meninggal dunia akibat COVID-19.
Istilah "kematian tambahan" merujuk kepada peningkatan kadar kematian semasa pandemik berbanding dengan kadar yang dijangkakan jika tiada pandemik.
Dua daripada empat kematian itu adalah mereka yang meninggal dunia akibat penyakit lain setelah dijangkiti koronavirus.
"Ini bermakna jangkitan COVID-19 memburukkan lagi penyakit-penyakit sedia ada, menyebabkan kematian," menurut MOH.
MOH turut menarik perhatian bahawa berbanding negara-negara lain, Singapura berjaya memastikan angka korban COVID-19 kekal pada paras yang rendah.
Laporan tersebut juga meninjau punca-punca yang mungkin menyebabkan kematian sedemikian, dengan MOH membayangkan pandemik mungkin mengubah "tingkah laku" orang ramai seperti menangguhkan pemeriksaan kesihatan dan rawatan bagi penyakit kronik.
Tetapi penjelasan yang lebih penting ialah kematian akibat keadaan perubatan sedia ada yang diburukkan lagi oleh COVID-19, menurut MOH.
"Jurang antara angka kematian secara rasmi dan anggaran kematian berlebihan boleh dijelaskan oleh para pesakit yang dijangkiti COVID-19 dalam tempoh 90 hari yang lalu.
"Setelah menolak para pesakit yang baru saja dijangkiti daripada analisis tersebut, tiada kematian berlebihan," menurut MOH.
MOH menyatakan daripada kematian COVID-19, golongan yang tidak lengkap divaksin "merangkumi bilangan yang besar", membentuk 28 peratus kematian yang berlaku pada separuh pertama tahun ini, meskipun hanya lima peratus penduduk yang layak belum lengkap divaksin setakat pertengahan Mac.
MOH turut mendedahkan bahawa sekalipun hospital-hospital awam di Singapura mengalami tekanan sewaktu pandemik, katil rawatan rapi "berupaya menyokong pesakit dengan keperluan perubatan yang mendesak".
Sungguhpun demikian, MOH menggesa orang ramai supaya "berhati-hati bahawa apabila kapasiti jagaan kesihatan terbeban sewaktu pandemik, ia akan memberi kesan yang sangat buruk kepada hasil rawatan penyakit-penyakit lain.
"Justeru, mengekalkan kapasiti jagaan kesihatan dan memastikan pekerja jagaan kesihatan kita dilengkapi dengan sumber yang mencukupi akan terus menjadi keutamaan kita."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.