Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hampir 4,000 jururawat baru ditambah dalam tenaga kerja SG jelang hujung 2023, kata Ong Ye Kung

Anggaran Waktu Membaca:
Hampir 4,000 jururawat baru ditambah dalam tenaga kerja SG jelang hujung 2023, kata Ong Ye Kung

Gambar fail jururawat di Singapura (Gambar: Raj Nadarajan/TODAY)

SINGAPURA: Hampir 4,000 jururawat baru akan diambil bekerja secara berperingkat menjelang hujung 2023 sebagai sebahagian daripada usaha Kementerian Kesihatan (MOH) untuk menggantikan jururawat yang berhijrah ke negara lain serta untuk mengembangkan tenaga kerja Singapura.

Demikian menurut Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada Isnin (21 Nov).

Encik Ong berkata ia adalah jumlah yang "besar" dan membentuk kira-kira 10 peratus daripada tenaga kerja jururawat semasa. Jumlah itu juga lebih 700 daripada jumlah jururawat yang dilantik tahun lalu.

Encik Ong berucap di majlis Anugerah Kejururawatan Tan Chin Tuan bagi jururawat yang berdaftar. Ia diadakan di Sekolah Perubatan Lee Kong Chian pada Isnin.

Awal tahun ini, Parlimen mendapati kadar tirisan jururawat tempatan dan hijrahan dalam sektor awam yang berhenti kerja meningkat tahun lalu berbanding 2020.

Dalam kalangan penduduk tempatan, kadar mereka yang berhenti kerja adalah 7.4 peratus pada 2021, meningkat 5.4 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Manakala bagi jururawat hijrahan, kadar mereka yang berhenti kerja meningkat dua kali ganda tahun ke tahun kepada 14.8 peratus pada 2021.

Demikian menurut Setiausaha Parlimen Kesihatan, Rahayu Mahzam, di Parlimen pada 2 Ogos.

Pada Isnin, Encik Ong berkata pihak berkuasa sedang berusaha mencari cara untuk meringankan beban jururawat dengan menangani masalah kekurangan tenaga kerja.

"Semasa pandemik, persaingan untuk mendapatkan jururawat dari pelbagai negara sangat sengit. Kami kehilangan ramai jururawat hijrahan yang baik dan berpengalaman," kata beliau.

"Kami harus menggantikan jururawat yang sudah berhenti dan mengembangkan lagi tenaga kerja jururawat kami dengan menambah kedua-dua tenaga kerja jururawat tempatan dan hijrahan."

Daripada 4,000 jururawat baru yang akan diambil bekerja tahun depan, akan terdapat nisbah lebih tinggi daripada jururawat hijrahan berbanding tempatan untuk mengimbangi kelembapan dalam pengambilan jururawat hijrahan dek sekatan sempadan COVID-19 sejak dua tahun lalu, kata Encik Ong.

Meskipun Singapura mempergiat proses merekrut jururawat hijrahan, majoriti tenaga kerja Singapura akan terdiri daripada warga tempatan dari sekolah kejururawatan dan program latihan pertengahan kerjaya, tambahnya.

MASA MENUNGGU KATIL HOSPITAL BERKURANGAN

Dalam ucapan beliau, Encik Ong juga memberikan kemas kini mengenai "keadaan sesak" di hospital terutamanya di jabatan kecemasan yang disifatkannya sebagai "beban besar" kepada pekerja jagaan kesihatan sepanjang tahun lalu.

Penggunaan katil, pekerja di jabatan kecemasan dan masa menunggu bagi mendapatkan katil sudah bertambah baik sedang kes COVID-19 yang disebabkan oleh subvarian Omicron XBB semakin berkurangan, kata Encik Ong.

Beliau berkata hospital-hospital sudah memaklumkan kepada beliau bahawa jumlah pesakit bukan kecemasan yang menunggu katil kini berkurangan hampir separuh daripada jumlah semasa kemuncak gelombang XBB.

"Anggaran masa menunggu di jabatan kecemasan merosot daripada hampir tujuh jam kira-kira dua minggu lalu, kepada kini sekitar empat jam," kata Encik Ong sambil menambah bahawa pesakit yang memerlukan lawatan segera lazimnya akan dimasukkan dengan segera.

MOH masih berusaha untuk mengurangkan penggunaan katil dengan Kemudahan Jagaan Peralihan (TCF) dan tidak memperuntukkan katil untuk pesakit COVID-19.
Mengulas mengenai hal berkenaan, Encik Ong berkata konsep merawat COVID-19 sebagai penyakit endemik wajar diperluaskan ke hospital, kerana ia sudah diterapkan dalam masyarakat.
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan