Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hampir 4,000 flat BTO dilancar pada Feb termasuk di Kallang Whampoa

Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada Khamis (17 Feb) melancarkan 3,953 flat Bina-Ikut-Tempahan (BTO) bagi Februari 2022, termasuk unit di Kallang Whampoa, projek kedua di bawah model perumahan awam lokasi utama (PLH).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 17 Feb 2022 01:39PM Dikemas Kini : 17 Feb 2022 11:06PM

SINGAPURA: Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada Khamis (17 Feb) melancarkan 3,953 flat Bina-Ikut-Tempahan (BTO) bagi Februari 2022, termasuk unit di Kallang Whampoa, projek kedua di bawah model perumahan awam lokasi utama (PLH).

Flat yang ditawarkan meliputi enam projek di estet matang dan baru di Geylang, Kallang Whampoa, Tengah dan Yishun.

Flat tersebut termasuk unit dua bilik Fleksi hingga lima bilik bagi "memenuhi pelbagai keperluan pembeli rumah kali pertama, pembeli kali kedua, warga tua dan orang bujang".

"Flat-flat baru itu dijual dengan subsidi lumayan, mengambil kira faktor seperti lokasi, ciri flat dan keadaan pasaran pada ketika ini," menurut HDB dalam satu kenyataan media.

"Justeru, harganya lebih rendah berbanding harga urus niaga flat jualan semula yang terletak berdekatan."

Mereka yang ingin berpindah ke flat baru lebih awal boleh memilih dua projek di Yishun iaitu Yishun Boardwalk dan Grove Spring @ Yishun, yang mempunyai masa menunggu lebih singkat iaitu dua setengah tahun atau lebih cepat lagi, menurut HDB.

"Dengan sekurang-kurangnya 95 peratus flat 4 bilik dan flat lebih besar diperuntukkan bagi mereka, pemohon kali pertama boleh menjangkakan peluang lebih tinggi mendapatkan flat di projek-projek itu," tambahnya.

"Pemohon kali pertama yang layak boleh memanfaatkan Geran Perumahan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) sehingga S$80,000, menjadikan flat-flat itu lebih dimampui."

Mereka yang layak mendapatkan geran tersebut boleh membeli flat empat bilik di Yishun Boardwalk dan Grove Spring @ Yishun pada harga S$210,000 - iaitu hampir separuh daripada harga urus niaga flat jualan semula di sekitar kawasan itu, menurut HDB.

Pembeli juga "lazimnya tidak perlu atau hanya perlu menokok wang tunai yang rendah untuk membuat bayaran ansuran flat mereka", kerana pinjaman gadai janji boleh dibayar menerusi CPF.

PROJEK KEDUA DI BAWAH MODEL PLH

Sementara itu, flat di Kallang Whampoa dilancarkan di bawah Model Perumahan Awam Lokasi Utama (PLH) "bagi memastikan perumahan awam baru yang dibina di lokasi utama dan tengah boleh dimampui dan diakses oleh rakyat Singapura".

Hampir 400 unit ditawarkan di King George's Heights dengan anggaran masa menunggu lebih kurang lima tahun.

Harga flat bermula dari S$353,000 bagi flat 3 bilik dan S$488,00 bagi flat 4 bilik,
tidak termasuk geran pemerintah.

Projek perumahan di King George's Heights merupakan projek perumahan kedua di bawah model itu. Ini menyusuli projek pertama di Rochor, yang dilancarkan semasa BTO pada November lalu.

Sehingga 20 peratus daripada unit berkenaan akan diperuntukkan bagi pemohon kali pertama, sementara sehingga 2 peratus diperuntukkan bagi pembeli kali kedua di bawah Skim Keutamaan bagi Anak Sudah Berumah Tangga (MCPS).

Jumlah itu adalah dua pertiga daripada kuota biasa, menurut HDB, sambil menambah bahawa kuota yang dikurangkan itu akan memberikan lebih peluang kepada rakyat Singapura yang tidak mempunyai anggota keluarga yang tinggal berhampiran kawasan itu untuk turut mempunyai peluang tinggal di sana.

Namun, pemilik flat-flat itu perlu membayar semula subsidi diberi HDB sebanyak 6 peratus apabila flat dijual semula.

Permohonan dibuka online mulai Khamis hingga 23 Februari. Mereka hanya boleh membuat permohonan bagi satu jenis flat atau kategori di bawah satu estet kejiranan di bawah skim BTO.

Pelancaran BTO seterusnya adalah pada Mei, dengan sekitar 5,300 flat dilancarkan di estet-estet seperti Bukit Merah, Jurong West, Ghim Moh, Toa Payoh dan Yishun.

Sekitar 6,300 hingga 6,800 flat akan dilancarkan pada Ogos, di estet-estet seperti Ang Mo Kio, Bukit Merah, Choa Chua Kang, Jurong East, Queenstown dan Woodlands.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan