Skip to main content

Singapura

Hampir 350 siswazah baharu dapat tempat dalam program pelatih dibiayai pemerintah

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 06 Feb 2026 02:50PM Dikemas Kini : 03 Mar 2026 06:17PM
SINGAPURA: Hampir 350 siswazah yang baru menamatkan pengajian sudah mendapat tempat sebagai pelatih di bawah skim program pelatih baharu yang dibiayai pemerintah, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) pada Jumaat (6 Feb).

Dilancarkan pada Oktober 2025, skim Program Pelatih Industri Siswazah (GRIT) pada mulanya menawarkan sehingga 800 program pelatih merentasi sektor swasta dan awam.

Tempoh program pelatih itu adalah antara tiga hingga enam bulan dan termasuk elaun bulanan sebanyak S$1,800 hingga S$2,400, dengan 70 peratus kos dibiayai bersama oleh pemerintah.

Semasa lawatan ke syarikat aeroangkasa dan keselamatan Perancis, Thales Solutions Asia, yang mengambil lima pelatih, Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng, memberi jaminan kepada siswazah muda.

“Kami bersimpati dengan kebimbangan golongan muda tentang pekerjaan pertama mereka.

"Petanda yang menggalakkan ialah banyak peluang disediakan untuk mereka yang bersedia untuk mengambil langkah seterusnya,” katanya.

Beliau merujuk kepada bilangan jawatan di tahap permulaan untuk golongan karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET), yang meningkat daripada 31,000 pada Jun 2025 kepada 39,000 pada September 2025.

“Pasaran buruh Singapura berdaya tahan pada 2025 meskipun dengan ketidakpastian ekonomi global, dan kami menjangkakan pekerjaan akan terus berkembang pada 2026,” katanya.

Hampir tujuh daripada 10 kohort universiti tahun lalu sudah pun mendapat pekerjaan menjelang September 2025, dan Dr Tan berkata ini akan meningkat dari semasa ke semasa apabila lebih ramai siswazah meneroka dan memanfaatkan peluang tersebut.

Bagi lulusan politeknik, sembilan daripada 10 yang sedang mencari pekerjaan mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian atau menamatkan Perkhidmatan Negara pada 2025.

“Kami akan terus menyokong semua siswazah kami dalam pencarian pekerjaan mereka, dan kami akan mengutamakan usaha untuk membantu mereka mendapatkan pekerjaan tetap,” kata Dr Tan.

Sumber yang disediakan termasuk acara kerjaya, termasuk sekurang-kurangnya 14 pameran kerjaya yang dianjurkan oleh institut pengajian tinggi, dan akses kepada penasihat kerjaya.

“Kepada siswazah baharu kami, ini jaminan kami kepada anda. Kami kekal komited dalam memberikan sokongan yang anda perlukan untuk permulaan kerjaya anda yang kukuh,” kata menteri itu.

PROGRAM PELATIH

Skim GRIT disediakan khusus bagi siswazah baharu dari universiti, lulusan politeknik, lulusan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dan institusi pendidikan lain yang tidak mempunyai pengalaman kerja sebelum ini.

Ia terbuka kepada siswazah yang mempunyai ijazah sarjana atau doktor falsafah.

Rakyat dan penduduk tetap Singapura yang sudah tamat atau bakal tamat Perkhidmatan Negara pada 2024 atau 2025 boleh memohon.

Siswazah kejuruteraan, Skyler Teo, 25 tahun, menyertai Thales bagi program pelatih selama enam bulan pada Januari. Ini menyusuli pencarian kerja yang "sukar" di mana beliau menghantar hampir 200 permohonan dalam tempoh enam bulan.

Beliau menghantar kira-kira 60 permohonan melalui skim GRIT, dan menerima maklum balas daripada tiga atau empat syarikat.

Encik Teo berkata program pelatih itu merupakan peluang yang baik untuk menimba pengalaman sebenar di tempat kerja.

Beliau berkata dalam bidangnya, pemegang diploma diutamakan bagi pekerjaan peringkat teknikal kerana mereka mempunyai lebih banyak latihan teknikal dan lebih murah untuk diambil bekerja, manakala pengalaman kerja diperlukan untuk pekerjaan peringkat lebih tinggi.

"Program pelatih lebih mudah untuk siswazah baharu masuk," katanya.

Encik Teo berkata beliau berharap dapat kekal di Thales jika ditawarkan jawatan sepenuh masa.

Thales Solutions Asia menggajikan kira-kira 2,100 orang di Singapura dan sentiasa berminat untuk menyokong bakat muda, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Emily Tan.

GRIT merupakan proses yang "berdaya saing" bagi calon pelatih dan syarikat memandangkan slotnya yang terhad, tambahnya.

Mengenai penukaran pelatih kepada pekerja sepenuh masa, Cik Tan berkata akan ada perbincangan dengan pelatih untuk "keputusan bersama" tentang sama ada peranan yang ada sesuai dengan minat dan aspirasi mereka.

Dalam kemas kini pada Jumaat - yang pertama sejak skim itu bermula - MOM dan WSG menyatakan lebih 50 syarikat sudah menyertai untuk menganjurkan program pelatih tersebut.

Firma-firma tersebut merangkumi sektor termasuk pengilangan, perkhidmatan kewangan, teknologi maklumat dan penerangan serta perkhidmatan profesional.

Firma yang mengambil pelatih termasuk DBS, GrabTaxi, LinkedIn, Nestle, OCBC, Razer, SATS, ST Engineering dan UOB.

Latihan tersebut merangkumi peranan teknikal khusus serta peranan rentas fungsi yang lebih luas, mencerminkan spektrum kemahiran yang luas dalam permintaan, kata MOM dan WSG.

Peluang-peluang itu dikenal pasti oleh WSG dengan kerjasama Enterprise Singapore, Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) dan Penguasa Kewangan Singapura (MAS).

Sebanyak 60 agensi sektor awam juga menawarkan latihan yang diselaraskan oleh Divisyen Perkhidmatan Awam, kata MOM dan WSG.

Pelatih menyertai MOM, Kementerian Pertahanan (MINDEF), Kementerian Pendidikan (MOE), Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS), Agensi Teknologi Pemerintah, Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB), Lembaga Perpustakaan Negara (NLB), Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) dan Politeknik Singapura (SP).

GRIT ialah inisiatif Pasukan Bertindak Daya Tahan Ekonomi Singapura yang bertujuan untuk menyokong siswazah baharu dalam memperoleh pengalaman kerja berkaitan industri supaya mereka boleh beralih kepada pekerjaan sepenuh masa.

Apabila skim tersebut pertama kali diumumkan semasa Rapat Umum Hari Kebangsaan pada Ogos 2025, Perdana Menteri Lawrence Wong berkata ia akan bermula dengan pelancaran yang lebih tertumpu dan akan diperluas jika keadaan ekonomi bertambah buruk.

Ekonomi Singapura mengatasi jangkaan untuk berkembang 4.8 peratus pada 2025, meskipun perdana menteri berkata usaha mengekalkan kadar ini akan menjadi sesuatu yang mencabar.

Pemerintah mengunjurkan ekonomi akan berkembang antara 1 peratus hingga 3 peratus pada 2026.

Terdapat laporan mengenai kebimbangan tentang pekerjaan dalam kalangan siswazah baharu.

Kadar pengangguran penduduk bagi pekerja bawah usia 30 tahun menurun sedikit kepada 5.5 peratus pada suku ketiga 2025.

Anggaran awal meletakkan pengangguran keseluruhan pada 2025 pada 2 peratus, sama seperti dua tahun sebelumnya.
Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita