Skip to main content

Singapura

Hampir 30,000 produk vape dirampas dari lori ayam beku di Pusat Pemeriksaan Tuas

Anggaran Waktu Membaca:
Hampir 30,000 produk vape dirampas dari lori ayam beku di Pusat Pemeriksaan Tuas

Gambar: HSA

Diterbitkan : 22 Dec 2022 10:52PM
SINGAPURA: Hampir 30,000 produk pengewap (vape) dirampas selepas para pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) berjaya mematahkan percubaan untuk menyeludupnya ke sini melalui Pusat Pemeriksaan Tuas.

Sebanyak 2,600 pengewap elektronik dan 27,006 komponen berkaitan dirampas daripada sebuah lori yang membawa ayam beku, menurut ICA dalam hantaran Facebooknya pada Khamis (22 Dis).

Kenderaan berdaftar di Malaysia diarah berhenti untuk menjalani pemeriksaan yang dipertingkatkan sekitar pukul 3.00 pagi pada 17 Nov lalu.

Ketika memeriksa ruang rehat pemandu, para pegawai ICA menemui kotak-kotak yang dibalut dengan beg sampah berwarna hitam yang mengandungi barangan terlarang.

Lebih banyak produk e-pengewap ditemui di bawah papan lantai lori tersebut.

"Semua produk berkenaan dirampas oleh Penguasa Sains Kesihatan (HSA) dan siasatan sedang dijalankan," menurut ICA.

"Sebagai penjaga sempadan, ICA komited untuk memudahkan perdagangan dan perjalanan sambil memastikan sempadan Singapura sentiasa selamat."

Meskipun penggunaan, pembelian dan pemilikan e-pengewap (vape) diharamkan di Singapura sejak Februari 2018, produk berkenaan masih dijual secara online dan diseludup masuk ke negara ini.

Perampasan produk tersebut dijalankan oleh ICA menyusuli insiden penyeludupan yang serupa.

Beribu-ribu produk e-pengewap dan komponen berkaitan bernilai lebih S$130,000 dirampas selepas para pegawai ICA mematahkan tiga percubaan untuk menyeludupnya di Pusat Pemeriksaan Tuas dan Woodlands pada Mei tahun ini.

Pada bulan yang sama, produk e-pengewap haram yang dianggarkan bernilai lebih S$1 juta dilupuskan di Loji Pembakaran Sampah Tuas South sebagai sebahagian daripada operasi penguatkuasaan HSA.

Ini termasuk sekitar 6,500 e-pengewap, 83,500 pod dan 8,000 cecair.
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita