Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hampir 30 pemimpin masyarakat dilantik sebagai anggota MESRA, lebih 20 belia sebagai jawatankuasa belia MESRA

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seramai 27 pemimpin masyarakat dilantik sebagai anggota Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (MESRA) buat penggal yang ke-16 hari ini (28 Mei).

Sekitar 23 belia juga turut dilantik dalam Jawatankuasa Kecil Belia MESRA buat penggal yang keempat. 

Bagi penggal yang baru ini, mereka yang dilantik akan berkhidmat selama tiga tahun, dari 1 April 2022 hingga 31 Mac 2025. 

Diadakan serentak dengan acara rangkaian Hari Raya PA MESRA dan ulang tahun ke-45 Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC), MESRA Lebaran 2022 dihadiri oleh sekitar 200 orang termasuk para pengerusi MAEC serta wakil-wakil akar umbi dan badan-badan masyarakat hadir untuk menyaksikan pelantikan baru ini. 

Antara yang dilantik hari ini (28 Mei) termasuk Zulayqha Zulkifli, 28 tahun, yang merupakan pengerusi wanita pertama dan yang paling muda pernah dilantik bagi mengisi jawatan tersebut bagi Jawatankuasa Kecil Belia MESRA. 

"Dengan pelantikan ini, saya harap untuk terus mempertingkatkan program yang sudahpun diadakan selama ini," kongsi Cik Zulayqha. 

"Dengan ini, para belia juga boleh mengambil peluang untuk mendekati sukarelawan yang lebih matang dan mahir dalam bidang ini. Kami juga boleh terus berkongsi idea yang baru dan bernas jadi kami boleh sentiasa kekal relevan untuk masyarakat kita," tambah beliau lagi.

Sebagai seorang belia, Cik Zulayqha yang mempunyai pengalaman tujuh tahun sebagai pemimpin akar umbi turut berharap golongan belia lain akan dapat terus meraih pengalaman dan kemahiran daripada para sukarelawan mampan yang lain dan satu hari nanti dapat "menjadi barisan pemimpin akan datang".

Selain itu, beliau juga berharap dapat bekerjasama dengan lebih ramai golongan tidak kira latar belakang, serta badan-badan masyarakat lain untuk memberikan "impak yang lebih menyeluruh".

"Mungkin salah satu contoh adalah berinteraksi dan bekerjasama dengan penduduk-penduduk di rumah sewa dengan juga meningkatkan ilmu dan juga kemahiran-kemahiran yang mereka memerlukan untuk meningkatkan pekerjaan mereka," ujar Cik Zulayqha. 

Seorang lagi yang dilantik sebagai anggota PA MESRA ialah Muhammad Syafiq Mohd Amin, 27 tahun. 

Pelantikan ini merupakan yang pertama bagi beliau. 

"Saya amat berbesar hati dapat diberikan peluang dan juga dilantik sebagai ahli jawatankuasa MESRA bagi penggal ini. Jadi banyak rancangan yang akan kami sediakan untuk mencapai peranan dalam masyarakat Melayu Singapura ini," kongsi Encik Syafiq.

"Saya harap untuk menyelaraskan misi saya dan juga misi bagi pihak mesra iaitu untuk menyatupadukan masyarakat Melayu dan juga mengukuhkan lagi dan mengeratkan lagi silaturahim antara satu sama lain. (Ini) mungkin dari segi memberikan bantuan dan sokongan kepada keluarga-keluarga yang kurang bernasib baik," tambah beliau. 

Selain itu, Pengerusi PA MESRA Amatul Jameel Suhani, BBM turut dilantik semula buat penggal kedua. 

"SHIOK SERIES" AKAN DIPERLUASKAN 

Dalam majlis yang sama, Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman turut mengumumkan bahawa PA MESRA bakal memperluaskan lagi program "Shiok Series" kepada para penghuni Rumah Peralihan Jamiyah dan Pertapis serta keluarga mereka.

Selain itu, dalam ucapan Dr Maliki, beliau juga sempat berkongsi lima bidang tumpuan MESRA dalam masa terdekat ini.

(Gambar: MESRA)

Antaranya termasuk para anggota MESRA, dan aktivis masyarakat di MAEC perlu membuka minda mereka dan memahami bahawa peranan mereka bukan setakat penganjur acara, tetapi juga sebagai "pemimpin masyarakat".

"Jadi perlu untuk mereka memahami apakah peranan tersebut, bagaimana mereka boleh menjadi suara masyarakat untuk mendekati masyarakat, menjadi suara masyarakat kepada masyarakat yang lain kerana tujuan utama MESRA adalah untuk mempereratkan hubungan masyarakat Melayu dengan masyarakat bukan Melayu," kongsi Dr Maliki. 

BELIA MERUPAKAN ASET MASYARAKAT 

Selain itu, Dr Maliki juga menganggap golongan belia sebagai satu aset bagi masyarakat termasuk mereka yang menuntut di Institut Pengajian Tinggi (IHL). 

"Kita harap akan dapat menggilap potensi mereka untuk menyumbang kepada masyarakat lebih-lebih lagi dalam kita mendekati keluarga-keluarga yang memerlukan," ujar Dr Maliki.

"Kita berharap lebih ramai lagi di antara anak muda kita yang menuntut di Institut Pengajian Tinggi dapat tampil ke hadapan untuk menyumbang kepada masyarakat," tambah beliau lagi.

Salah satu cara yang mereka boleh sumbang kepada masyarakat adalah dengan memberi bimbingan, motivasi serta menjadi contoh kepada para pelajar muda di bawah Projek Dian@M3.

Di sini, Dr Maliki menggesa agar golongan belia itu memberi respons yang menggalakkan bagi seruannya untuk membantu mereka yang memerlukan. 

(Gambar: MESRA)

"Sedang belia kita tampil ke hadapan untuk menyumbang dan bersukarela,  PA MESRA dan PA MESRA Belia perlu terus mencari cara memupuk, membimbing dan membentuk peluang untuk belia kita membina agensi mereka dan melibatkan diri dalam beberapa platform selain kumpulan-kumpulan Melayu/Islam," kata Dr Maliki.

Dr Maliki juga memuji MESRA dan MAEC dalam usaha mereka menyesuaikan kegiatan-kegiatan mereka sewaktu COVID-19 dan kekal relevan. 

Ini termasuk kerjasama mereka dengan MUIS dan Yayasan Rahmatan Lil Alamanin untuk mengagihkan hidangan berbuka puasa kepada keluarga-keluarga yang memerlukan dan pekerja barisan hadapan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan