Hampir 27kg kokain dirampas di Lapangan Terbang Changi, 5 wanita diberkas
Lima wanita warga asing ditangkap kerana disyaki terlibat dalam kesalahan mengedar dadah membabitkan hampir 27 kilogram (kg) kokain di kawasan transit Terminal 4 Lapangan Terbang Changi, menurut Biro Narkotik Pusat (CNB) pada Khamis (31 Jul).
Mereka ditangkap pada Selasa petang menyusuli pertukaran maklumat risikan antara CNB dan Biro Narkotik Pasukan Polis Hong Kong (HKNB).
Pegawai CNB mengesan dua daripada lima suspek ketika mereka sedang bertukar bagasi dan bertindak pantas untuk memberkas kesemua daripada mereka, yang berusia antara 21 hingga 48 tahun.
Hasil pemeriksaan ke atas barangan mereka, sebanyak 26.9kg kokain dan 10 gram (g) ganja berjaya dirampas. Kokain yang dirampas itu ditemui disembunyikan di dalam anak patung mainan.
Penolong Pesuruhjaya Kanan dan Pemangku Pengarah CNB, Sng Chern Hong, mengucapkan terima kasih kepada HKNB atas perkongsian maklumat risikan.
“Kami bersedia untuk bekerjasama dengan rakan-rakan rapat kami bagi mematahkan sindiket dadah dan operasi mereka. Sesiapa yang cuba menyeludup dadah melalui Singapura akan dihentikan dan dikenakan tindakan mengikut undang-undang,” kata beliau.
“Singapura bukan tempat persinggahan bagi penyeludup dadah dan kami tidak akan membenarkan hab perjalanan kami disalahgunakan untuk kegiatan jenayah. Operasi ini menunjukkan pendirian tegas dan dasar sifat toleransi kami terhadap dadah.”
Mereka yang didapati bersalah mengedar lebih 30g kokain boleh berdepan dengan hukuman mati.
CNB menambah bahawa siasatan ke atas kegiatan dadah yang melibatkan suspek-suspek tersebut masih dijalankan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.