Hampir 2,000 mangsa terpedaya penipuan perisian hasad Android; sekurang-kurangnya S$34.1 juta lesap pada 2023
Skim penipuan yang didayakan oleh perisian hasad melibatkan peranti mudah alih Android menyebabkan kerugian sekurang-kurangnya S$34.1 juta tahun lalu, walaupun jumlah itu merosot menjelang hujung tahun lalu disebabkan langkah-langkah yang diperkenalkan oleh pihak berkuasa dan bank.

Pada 2023, sekitar 1,899 kes penipuan perisian hasad Android dilaporkan di Singapura. Purata jumlah yang hilang adalah sekitar S$17,960.
Pasukan Polis Singapura (SPF) menerbitkan perangkaan terkini mengenai data tahunan kes skim penipuan dan jenayah siber pada Ahad (18 Feb), di mana jumlah kes penipuan secara keseluruhan terus menunjukkan kenaikan.
Skim penipuan perisian hasad melibatkan Android menjadi keprihatinan khusus tahun lalu apabila jumlah kes melonjak, justeru mendorong agensi pemerintah mengeluarkan makluman awam.
Apabila SPF menerbitkan statistik pada separuh pertama 2023, terdapat lebih daripada 750 kes semasa tempoh itu dengan mangsa kerugian sekurang-kurangnya S$10 juta.
Ini termasuk 11 kes membabitkan pengeluaran sekurang-kurangnya S$218,000 daripada akaun Tabung Simpanan Pekerja (CPF).
Jumlah kes pada suku ketiga tahun lalu kemudian melonjak kepada 933, sebelum merosot secara mendadak kepada 279 pada suku keempat.
Sebahagian besar mangsa kes penipuan didayakan perisian hasad pada tahun lalu berusia 30 hingga 49 tahun, membentuk 43.7 peratus daripada mangsa.
Para penipu cenderung menggunakan Facebook dan Instagram - kedua-duanya milik Meta - untuk menghubungi para mangsa.
Para penipu akan memperdaya para pengguna Android untuk memuat turun aplikasi berbahaya.
Mereka kemudian akan mendapat akses kepada peranti mangsa untuk mencuri maklumat sulit bagi melakukan urus niaga kewangan penipuan, mencuri wang seperti wang simpanan CPF.
Dalam satu kenyataan media hari ini, SPF menyatakan para mangsa lazimnya memberi respons kepada iklan untuk khidmat-khidmat seperti pembersihan rumah, pembelian makanan dan khidmat dandanan haiwan peliharaan - dari wadah media sosial.
Para mangsa akan menerima pautan web melalui WhatsApp daripada para penipu yang memuat naik iklan - di bawah helah memohon bayaran daripada mangsa.
Pautan itu memerlukan mangsa memuat naik sebuah fail Kit Pakej Android, iaitu sebuah aplikasi yang direka untuk sistem operasi Android, yang turut mengandungi perisian hasad.
Selepas itu, para penipu dapat memperolehi butiran perbankan internet mangsa atau butiran kad mereka. Mangsa kemudian mendapati bahawa urus niaga telah dibuat pada akaun atau kad bank tanpa izin mereka.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.