Hampir 2,000 kes memandu laju dikesan di zon sekolah dalam 3 bulan pertama 2026 sejak peraturan baharu dikuatkuasakan
Sebanyak 1,918 kesalahan memandu laju dikesan di zon sekolah dalam tempoh tiga bulan pertama 2026, selepas pelaksanaan had laju sepanjang hari diperkenalkan pada awal tahun.
Papan tanda bagi zon sekolah. (Gambar fail: iStock)
Perangkaan tersebut, yang meliputi tempoh dari 1 Januari hingga 31 Mac, diumumkan sedang pihak berkuasa mempertingkat usaha untuk meningkatkan keselamatan jalan raya di kawasan-kawasan yang sering dikunjungi kanak-kanak.
Had laju 40 kilometer sejam di zon sekolah berhampiran sekolah rendah sebelum ini hanya berkuat kuasa pada waktu-waktu tertentu, seperti semasa murid-murid datang dan pulang dari sekolah.
Namun sejak Januari, tempoh pelaksanaan had laju tersebut dilanjutkan kepada sepanjang hari.
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) mengumumkan peraturan yang dipertingkatkan itu pada 2025, sambil menarik perhatian, dengan jadual sekolah yang semakin pelbagai, langkah tersebut akan mewujudkan persekitaran yang lebih selamat bagi para pelajar tanpa mengira waktu.
Pasukan Polis Singapura (SPF), sebagai jawapan kepada pertanyaan Mediacorp, menyatakan penguatkuasaan di luar waktu persekolahan tradisional adalah sebahagian daripada usaha lebih meluas untuk membentuk tingkah laku pemandu dan memperkukuh pematuhan terhadap langkah keselamatan yang dipertingkat.
“Zon-zon sekolah merupakan kawasan yang sering dikunjungi kanak-kanak yang terdedah kepada bahaya dan ia penting untuk membentuk tingkah laku positif dalam kalangan pemandu serta memperkukuh Zon Sekolah yang Dipertingkatkan bagi mengurangkan risiko kemalangan,” kata pihak polis.
Di bawah peraturan lebih ketat itu, denda yang dipertingkat turut dikenakan terhadap para pemandu yang didapati memandu melebihi had laju di zon perak, iaitu kawasan jalan raya yang dikenal pasti sebagai mesra warga emas.
Para pesalah akan dikenakan tambahan dua mata demerit di samping hukuman yang dipertingkat bagi kesalahan memandu laju, selain denda tambahan S$100.
“Pihak polis menggesa semua pemandu supaya mematuhi had laju jalan raya dan kenderaan demi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya,” kata SPF.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.