Skip to main content

Singapura

Hampir 200 peserta hadiri Seminar Wakaf Masyarakat SG; lebih banyak acara sedemikan akan dianjur

Anggaran Waktu Membaca:
Hampir 200 peserta hadiri Seminar Wakaf Masyarakat SG; lebih banyak acara sedemikan akan dianjur

Hampir 200 peserta hadiri Seminar Wakaf Masyarakat SG; lebih banyak acara sedemikan akan dianjur. (Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri)

Diterbitkan : 04 Feb 2023 10:12PM


SINGAPURA: Perancangan awal harta dan kewangan menjadi lebih penting dalam masyarakat Melayu/Islam hari ini supaya mereka tidak ketinggalan dan bagi mengelak perkara yang tidak diingini selepas pemergian mereka kelak.

Itu merupakan antara isu-isu yang dikupas barisan panel dalam sesi seminar anjuran Wakaf Masyarakat Singapura (WMS) pada Sabtu (4 Feb).

Mereka terdiri daripada asatizah dan para pakar dalam sektor kewangan iaitu Pengarah (Pengurusan Harta) Financial Alliance, Encik Sani Hamid, Peguam dan Pengarah Urusan Deansgate Barakah Law Corporation, Encik Ezra Bunyamin dan Pengasas IlmHub, Ustazah Shameem Sultanah.



Bertajuk 'Rancangkan Akhirat, Manfaatkan Masyarakat', seminar itu menyaksikan hampir 200 peserta, yang hadir untuk meraih ilmu dan pengetahuan.

Sesi yang berlangsung sekitar satu setengah jam itu menyaksikan para ahli panel bergilir-gilir membuat perkongsian sebelum berkumpul untuk menjawab soalan-soalan yang diajukan oleh para peserta.

PERANCANGAN WANG PENTING SUPAYA MASYARAKAT TIDAK KETINGGALAN



Encik Sani misalnya berkongsi tentang perancangan kewangan sebagai seorang Muslim Singapura.

"Seperti mana yang kita tahu, masyarakat sekarang menjadi lebih 'sophisticated' atau canggih jadi dari hal pelaburan, hal perlindungan, hal pengurusan harta, memang selalunya ada keperluan untuk menguruskan dengan lebih baik," kongsi Encik Sani.

"Oleh kerana itu, perancangan kewangan menjadi benda yang begitu penting sekali untuk masyarakat supaya mereka tidak ketinggalan (dan) supaya tidak terjadi perkara-perkara yang tidak diingini selepas seseorang itu meninggal (dunia) dan sebagainya," tambah beliau.



Ditanya pula respons masyarakat Melayu/Islam buat masa ini terhadap perancangan kewangan, ini jawapannya:

"Alhamdulillah dalam tahun-tahun kebelakangan ini, memang kami dapat melihat lebih ramai yang datang jumpa kami, sama ada datang terus atau menghadiri kursus-kursus dan bengkel-bengkel yang kami adakan, untuk mengetahui lebih (lanjut) tentang cara-cara untuk merancang bukan sahaja harta pusaka tetapi perlindungan insurans dan juga pelaburannya. Jadi Alhamdulillah, kita ada nampak peningkatan kesedaran dalam kalangan masyarakat."

ADAKAH FARAID MENCUKUPI?

Selain itu, antara topik-topik yang menjadi perbincangan hangat termasuk perancangan harta pusaka dan faraid.

Antara pertanyaan-pertanyaan yang dibangkitkan termasuk sama ada Faraid sudah memadai.



"Secara amnya, memang tidak salah anggapan tersebut bahawa Faraid itu sudah mencukupi tetapi tanpa wasiat, seseorang itu tidak akan ada wasi ataupun pentadbir yang telah ditetapkan di dalam wasiat. Dari itu, permohonan geran probet di mahkamah akan makan jangka masa yang lebih panjang lagi. Jadi lagi lama pembahagian harta-harta tersebut kepada penerima itu," ujar Encik Ezra, yang juga merupakan antara ahli Rangkaian Peguam M³.

"Dengan adanya pentadbir harta pusaka anda itu, ia akan dapat mengelakkan daripada pertelingkahan antara adik- beradik," tambahnya.

ALAT-ALAT PERANCANGAN LEGASI UNTUK BUAT PERANCANGAN YANG LEBIH BAIK

Pada masa yang sama, alat-alat perancangan legasi Islam turut dikongsi beliau semasa sesi tersebut.

Ia termasuk Faraidh, Wasiat, nominasi insurans dan CPF, serta pemilikan rumah.

"Seminar sebegini dapat meningkatkan lagi pemahaman masyarakat Melayu/Islam mengenai pembahagian harta pusaka apabila kita tiada lagi," kongsi Encik Ezra.

"Dengan peningkatan pemahaman mengenai alat-alat perancangan legasi yang ada untuk umat Islam, masyarakat Melayu/Islam kita dapat menggunakan alat-alat tersebut dan membuat perancangan yang lebih baik mengenai harta mereka, Insya-Allah," tambahnya lagi.



Perkongsian sedemikian diharap akan memanfaatkan hampir 200 hadirin.

Inisiatif oleh Wakaf Masyarakat Singapura itu bertujuan untuk meningkatkan lagi kesedaran terhadap perancangan harta dan pengurusan harta pusaka.

Masyarakat juga boleh menjangkakan lebih banyak acara sedemikian dianjurkan pada masa akan datang dan mereka boleh melungsuri laman www.ourwakaf.sg untuk mendapatkan lebih banyak maklumat.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita