Skip to main content

Singapura

Hampir 17 tahun diburu, bekas pegawai polis dipenjara kerana terima rasuah

Anggaran Waktu Membaca:
Hampir 17 tahun diburu, bekas pegawai polis dipenjara kerana terima rasuah

Koh Kian Tiong ialah seorang Penolong Superintendan Polis ketika kesalahan itu dilakukan pada 2006 dan 2007. (Gambar: Interpol)

Diterbitkan : 26 May 2025 10:49PM Dikemas Kini : 27 May 2025 01:03AM
SINGAPURA: Seorang pegawai polis yang menerima rasuah, kemudian melarikan diri dari Singapura selama hampir 17 tahun sebelum dia ditangkap di China, dihukum penjara sembilan tahun pada Isnin (26 Mei).

Selain hukuman penjara, Koh Kian Tiong, yang juga dikenali sebagai Mark Koh, turut didenda S$1,000 dan diarahkan membayar denda S$47,700 oleh Hakim Daerah Shaiffudin Saruwan.

Koh, 52 tahun, ialah seorang Penolong Superintendan Pasukan Polis Singapura (SPF) apabila dia menerima rasuah daripada pengendali sarang perjudian haram antara 2006 dan 2007.

Sebelum dia dapat ditangkap, Koh pergi ke China dan hanya diekstradisi ke Singapura tahun lalu selepas dia melakukan kesalahan undang-undang di sana.

Rakyat Singapura itu mengaku bersalah atas lima daripada 15 tuduhan di bawah Akta Pencegahan Rasuah, dan satu tuduhan melarikan diri.

Dia mengaku bersalah atas baki tuduhan, yang turut diambil kira semasa hukuman ditentukan.

KESALAHAN RASUAH

Koh menyertai SPF pada tahun 1998. Semasa dia melakukan kesalahan itu, dia berkhidmat bersama Pasukan Bertindak bagi memerangi Pinjaman Wang Tidak Berlesen Jabatan Siasatan Jenayah (CID).

Pada 2005, dia diperkenalkan kepada Encik Chua Chin Hoe, yang dikenali sebagai "Ah Hoe". Encik Chua turut mengendalikan beberapa sarang perjudian haram di merata Singapura.

Disebabkan masalah kewangan akibat prosiding perceraian dan bil kad kredit, Koh mendekati rakan sekerjanya untuk meminta wang daripada Encik Chua.

Encik Chua bersetuju untuk memberi wang kepada Koh dengan harapan dapat memanfaatkan Koh, yang merupakan pegawai kanan polis.

Encik Chua memberi wang kepada Koh beberapa kali dari 2006.

Pihak pendakwa berkata Koh membenarkan dirinya dipergunakan kerana dia memerlukan wang untuk membayar perbelanjaan di luar kemampuannya.

Pada tahun itu, Encik Chua dan Koh sering mengunjungi bar dan tempat hiburan KTV di mana mereka akan sentiasa membayar untuk minuman dan sekali-sekala, memberi tip kepada pelayan dan penyanyi.

Encik Chua juga membayar S$1,200 untuk tambang penerbangan dan hotel Koh untuk perjalanan ke Shanghai.

Koh turut mempelawa pegawai-pegawai CID yang lain untuk menyertai sesi ini, dan Encik Chua tetap akan bayar untuk minuman-minuman itu.

Koh memperkenalkan Encik Chua kepada sekurang-kurangnya lima pegawai CID lain, yang menerima hiburan dan alkohol percuma.

Secara keseluruhan, Koh terima perbelanjaan bernilai S$47,700.

Sebagai ganti, Encik Chua menerima maklumat daripada Koh tentang sarang perjudian yang mungkin dikenakan tindakan polis, antara bantuan lain.

Koh melakukan penerbangan ke Shanghai pada 9 Julai 2007, semasa cuti kerja.

Semasa di sana, dia mendapat tahu tentang siasatan terhadapnya dan memutuskan untuk tidak kembali, mengabaikan tugasnya sebagai pegawai polis.

Menurut kenyataan bersama Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) dan SPF, Koh tidak pulang ke Singapura selepas tamat tempoh cuti kerjanya, walaupun berulang kali diminta oleh CPIB untuk berbuat demikian.

"CPIB kemudian membuat permohonan untuk notis merah Interpol dikenakan terhadap Koh pada Mac 2008 dan masih meneruskan usaha memburu Koh di luar negara," menurut kenyataan media itu.

Pada Ogos 2019, dengan bantuan SPF, CPIB mendapat tahu bahawa Koh ditangkap di China.

"Dia kemudian disiasat dan disabit atas kesalahan jenayah yang dilakukan di (China)," menurut CPIB dan SPF.

Koh diekstradisi ke Singapura pada 28 April 2024, selepas menjalani hukuman di China, dan CPIB meneruskan siasatannya.

Kesalahan yang dilakukan Koh di China tidak didedahkan.

Encik Chua sebelum ini dijatuhi hukuman penjara empat setengah tahun pada 2012, dan didenda S$20,000 bagi kesalahan di bawah Akta Pencegahan Rasuah dan Akta Rumah Judi Terbuka, berdasarkan CPIB dan SPF.

Atas kesalahan rasuah, pesalah boleh didenda sehingga S$100,000 atau dipenjarakan sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

Pesalah yang sabit kesalahan mengabaikan tugas di bawah Akta Pasukan Polis boleh didenda sehingga S$5,000 dan dihukum penjara selama 10 tahun.
 
Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita