Skip to main content

Singapura

Hampir 1,500 kilogram baju raya terkumpul, diberikan kepada 250 keluarga memerlukan

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sambutan Syawal untuk 250 keluarga memerlukan lebih ceria lagi tahun ini dengan baju raya percuma.

Ini hasil kerjasama Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) dengan syarikat kitar tinggi Commonhers.

"Ini amat selari dengan misi PPIS yang ingin perkasa kaum wanita. Menerusi kerjasama ini, ia telah membolehkan kami di PPIS untuk menggandakan kesan positif kepada masyarakat kita. Inisiatif ini telah dapat menghubungkan masyarakat di luar sana yang telah menyumbang pakaian raya dan terus beri kepada penerima bantuan," kata Ketua Pegawai Eksekutif PPIS, Aidaroyani Adam.
Related article image
CEO PPIS, Cik Aidaroyani Adam (kanan) berbual bersama seorang penerima bantuan (Gambar: PPIS)
Usaha itu juga mendapat sokongan daripada Hospital Kanak-kanak dan Wanita (KKH), Daughters of Tomorrow, Free Food For All (FFFA) dan Masjid Al-Mukminin untuk mengumpulkan baju raya yang didermakan orang awam.

Sebahagian besar baju-baju yang didermakan juga adalah baharu dan belum pernah dipakai.

Menurut Pengasas bersama Commonhers, Nuryanee Anisah Mohamed Noor, hampir 1,500 kilogram baju raya berjaya dikumpul.

Para penerima bantuan juga boleh membawa pulang seberapa banyak baju raya yang mereka inginkan.
Related article image
Pengasas Bersama Commonhers, Cik Nuryanee Anisah Mohamed Noor (tengah) bersama Cik Aidaroyani Adam (kanan) (Gambar: PPIS)
Cik Nuryanee berkata: "Inisiatif ini sama seperti untuk mengitar semula tekstil tetapi bukan dari segi mengitar tinggi tetapi dalam segi memanjangkan tempoh tekstil baju kurung."

"Inisiatif ini bukan sekadar satu usaha amal kerana kami mahu memberi impak dan menolong mereka dan memberikan Hari Raya yang lebih meriah untuk mereka. Kami juga membawa masyarakat ke dalam inisiatif ini. Kolaborasi dengan PPIS juga dengan relawan muda dan juga beberapa organisasi untuk menjayakan projek ini," tambah Cik Nuryanee.

Antara yang dipelawa memilih baju-baju raya baharu ialah Cik Faradilla yang juga merupakan alumni Rumah Peralihan Rise Above PPIS.

"Saya rasa amat bersyukur kerana menerima bantuan ini. Saya rasa masyarakat masih prihatin kepada kami semua. Ini juga kali pertama keluarga saya dapat bantuan sebegini jadi Hari Raya tahun ini lebih bermakna. Saya juga mendapat semangat baharu untuk membina kehidupan kami semula," ujar beliau.
Related article image
Acara pengagihan baju Hari Raya anjuran PPIS dan Commonhers (Gambar: PPIS)
Selain baju-baju raya, sebanyak 30 keluarga juga menerima hamper makanan bagi menyambut Lebaran hasil tajaan syarikat Agilent Technologies.
Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita