Hampir 140 kanak-kanak prasekolah pelbagai kaum raikan bahasa Melayu dalam peraduan Gema Si Cilik
(Gambar: Kelab Masyarakat Tampines West)
SINGAPURA: Tak kenal, maka tak cinta.
Bukan sahaja kanak-kanak prasekolah berbangsa Melayu, tetapi mereka yang bukan juga menyelami keindahan bahasa Melayu dalam peraduan 'Gema Si Cilik' petang tadi (7 Okt).
Lagu-lagu rakyat seperti Chan Mali Chan, Dayung Sampan dan Lagu Tiga Kupang rancak didendangkan oleh hampir 140 kanak-kanak prasekolah pelbagai kaum.
Acara anjuran Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Tampines West itu antara lain ingin melestarikan bahasa Melayu menerusi nyanyian dan tarian selain meningkatkan kesedaran tentang warisan budaya dalam kalangan masyarakat Melayu.
Peraduan itu turut disambut baik Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli yang juga merupakan Anggota Parlimen GRC kawasan itu.
TANAM MINAT MENERUSI TARIAN DAN NYANYIAN
Antara yang mula jatuh cinta terhadap keindahan bahasa Melayu ialah murid prasekolah PCF Sparkletots @ 725 Tampines Central, Vihaan Ray Karthigesu.
"Saya sangat gembira dapat menyertai pertandingan ini. Saya dapat pelajari banyak perkara mengenai lagu dan tarian Melayu. Saya dapat pelajari beberapa perkataan dan frasa bahasa Melayu," kata Vihaan.
Dalam persembahan bagi peraduan itu, Vihaan dan rakan-rakannya menyanyikan lagu Suriram dan Rasa Sayang.
Guru Vihaan, Cikgu Yati juga juga gembira melihat anak muridnya itu menunjukkan minat dalam peraduan Gema Si Cilik.

"Vihaan seorang kanak-kanak yang belajar dengan cepat. Dia juga menunjukkan minat dalam bahasa Melayu meskipun bahasa ibundanya adalah bahasa Tamil," kata beliau.
Antara peserta dari Prasekolah Picket Fence @ Tampines adalah Elijah Foo Jing Hong, Keyne New Hong Wei dan Hansel Chiam Han Ze.

Mereka berkata, "Kami rasa ghairah tetapi gementar kerana ini persembahan pertama kami."
"Lagu Orang Singapura yang kita nyanyikan agak sukar sebab ia laju tetapi kita berlatih dengan baik dan cuba untuk menyanyi," kata mereka lagi.
Cikgu Irna Farhana pula berkata: "Proses mempersiapkan mereka untuk pertandingan ini, agak sukar kerana ada banyak perkataan yang sukar untuk mereka sebut. Kita perlu membahagikan kata-kata itu dan suarakan setiap suku kata untuk mereka."
"Acara ini dapat memperkenalkan bahasa Melayu kepada murid-murid berbangsa lain. Ia penting untuk mereka untuk sekurang-kurangnya mengenali kata-kata mudah untuk berkomunikasi dengan orang dari latar belakang berbeza," tambah beliau lagi.
Peraduan edisi 2023 dimenangi kanak-kanak dari PCF Sparkletots @ Tampines Changkat 385.
Acara tahunan Gema Si Cilik yang disertai kanak-kanak dari lebih 10 prasekolah itu diadakan bersempena sambutan Bulan Bahasa 2023 dan Hari Kanak-kanak.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.