Hampir 12,000 karton rokok dirampas dalam serbuan di Tuas
Para pegawai kastam berjaya merampas hampir 12,000 kotak rokok tanpa cukai di kawasan perindustrian Tuas dalam beberapa serbuan bulan ini, menurut Kastam Singapura dalam satu kenyataan media pada Rabu (28 Nov).
Rokok-rokok yang disembunyikan dalam bongkah konkrit (Gambar: Kastam Singapura)
SINGAPURA: Para pegawai kastam berjaya merampas hampir 12,000 kotak rokok tanpa cukai di kawasan perindustrian Tuas dalam beberapa serbuan bulan ini, menurut Kastam Singapura dalam satu kenyataan media pada Rabu (28 Nov).
Dalam serbuan pertama pada 2 November, para pegawai Kastam Singapura memberkas tiga lelaki rakyat Singapura di sebuah unit perindustrian di Tuas South Avenue 3. Ketika diserbu, suspek-suspek berkenaan sedang mengeluarkan rokok yang tidak dibayar cukai yang disembunyikan dalam bongkah konkrit.
Sebanyak 2,400 karton rokok yang tidak dibayar cukai ditemui.
Pada 7 November, para pegawai kastam menyerbu sebuah unit perindustrian di Tuas South Street 1 dan menemui 5,431 karton dan 29 kotak rokok tidak dibayar cukai yang disembunyikan dalam enam mesin pengorek. Lima lelaki rakyat Malaysia dicekup.
Serbuan ketiga dilakukan pada 24 November di tanah lapang Tuas Avenue 14. Para pegawai Kastam Singapura melihat empat lelaki mengeluarkan rokok tidak dibayar cukai dari bongkah konkrit dan mengalihkannya ke dalam sebuah lori.
Keempat-empat lelaki - seorang warga Indonesia, warga Malaysia dan dua warga Singapura - ditahan dan sebanyak 4,148 karton rokok tanpa dibayar cukai dirampas.
Jumlah cukai dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang tidak dilunaskan masing-masing bernilai S$1,074,390 dan S$78,520, menurut Kastam Singapura.
"Kami menasihatkan agar pemilik dan ejen pengurus kawasan perindustrian supaya berwaspada demi mengelakkan premis mereka daripada digunakan sindiket bagi kegiatan berhubungan dengan rokok tidak dibayar cukai," menurut Penolong Ketua Pengarah risikan dan siasatan Kastam Singapura, Yeo Sew Meng.
"Mereka patut mengetatkan kawalan akses di premis mereka dan memantau tanda-tanda seperti para individu yang ingin menyewa buat jangka masa pendek, membayar dengan tunai dan tidak dapat menunjukkan sebab perniagaan yang munasabah bagi menyewa tempat itu."
Mereka yang didapati bersalah membeli, menjual, mengangkut, menghantar, menyimpan, memiliki atau mengendali barangan tidak dibayar cukai boleh didenda sehingga 40 kali ganda jumlah cukai dan GST yang dielakkan, penjara enam tahun, atau kedua-duanya sekali. Kenderaan yang terlibat dalam kesalahan itu juga boleh dirampas.
Orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan aktiviti demikian boleh menghubungi hotline Kastam Singapura di 1800-233 0000 atau hantarkan emel ke customs_intelligence [at] customs.gov.sg.
Mereka juga boleh menggunakan aplikasi mudah alih Customs@SG mobile app yang boleh dimuat turun dari Apple Store atau Google Play.Â
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.