Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hampir 10,000 kanak-kanak 5-6 tahun sudah terima dos pertama vaksin COVID-19

Hampir 10,000 kanak-kanak berusia lima dan enam tahun sudah menerima dos pertama vaksin COVID-19, menurut Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA) hari ini (29 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 29 Jan 2022 06:29PM Dikemas Kini : 29 Jan 2022 09:48PM

SINGAPURA: Hampir 10,000 kanak-kanak berusia lima dan enam tahun sudah menerima dos pertama vaksin COVID-19, menurut Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA) hari ini (29 Jan).

Secara keseluruhan, lebih 16,000 kanak-kanak dari kumpulan usia itu sudah didaftarkan oleh ibu bapa atau waris mereka untuk mendapatkan vaksin.

ECDA memberi kemas kini tersebut kepada pihak media di luar lawatan dua pemimpin pemerintah ke sebuah pusat vaksinasi kanak-kanak di Hab Tampines Kita.

Dalam satu kemas kini yang dikeluarkan pada 12 Januari lalu, ECDA menyatakan lebih 5,000 kanak-kanak berusia lima dan enam tahun sudah berdaftar untuk mendapatkan vaksin.

Mediacorp bertanya kepada Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) bagi jumlah saiz kohort kanak-kanak berusia lima dan enam tahun di Singapura.

Dalam satu lawatan ke pusat vaksinasi Tampines pada Sabtu, Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Masagos Zulkifli memberitahu wartawan bahawa Pemerintah Singapura berterima kasih kepada para ibu bapa kerana membawa anak-anak mereka - terutama sekali kanak-kanak prasekolah - untuk mendapatkan vaksin.

Apabila ditanya jika Pemerintah berpuas hati dengan kadar vaksinasi dalam kalangan kanak-kanak, Encik Masagos berkata: "Saya yakin ibu bapa memahami ciri-ciri COVID-19, terutama sekali sekarang apabila kita mempunyai varian Omicron, seperti yang kita ketahui sebelum ini bahawa jumlah kanak-kanak yang dijangkiti semakin bertambah."

Sekalipun kanak-kanak kurang kemungkinan mengalami jangkitan serius COVID-19, memastikan mereka divaksin dapat membantu golongan warga emas lebih mudah terjejas daripada dijangkiti, katanya.

Encik Masagos yang juga merupakan Menteri Kedua Kesihatan, menambah bahawa Pemerintah akan mengekalkan pendekatan menawarkan sistem janji temu dan juga tanpa janji temu untuk mendapatkan vaksin bagi mencapai keseimbangan antara mengelakkan pembaziran dos-dos vaksin yang disediakan terlebih dahulu dan memudahkan vaksinasi untuk kanak-kanak.

Beliau sekali lagi menggalakkan para ibu bapa supaya mendaftarkan anak-anak mereka untuk mendapatkan vaksin jika mereka layak dari segi perubatan.

Dalam satu kenyataan, Menteri Negara bagi Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Pendidikan Sun Xueling berkata bahawa pusat-pusat vaksinasi kanak-kanak direka untuk mengurangkan rasa bimbang.

Misalnya, Families for Life, yang sebelum ini dikenali sebagai Majlis Keluarga Kebangsaan, mengagihkan barang-barangan seperti kit-kit mewarna dan penanda buku di pusat-pusat vaksinasi di Sekolah Menengah Yusof Ishak dan Hab Tampines Kita. Ini akan diperluaskan secara bertahap-tahap ke pusat-pusat vaksinasi yang lain, kata Cik Sun yang juga berada di pusat vaksinasi di Tampines hari ini.

Antara kanak-kanak yang mendapatkan suntikan vaksin di sana merupakan murid Darjah 1, Khalifah Khalil.

"Ia sakit sedikit, tetapi ia agak cepat," kata kanak-kanak lelaki berusia 6 tahun itu.

Di pusat itu, yang dibuka kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun, belon, pelekat dan 'lanyard' diberikan kepada mereka yang sudah mendapatkan suntikan.

Para petugas kesihatan turut ditempatkan di sekitar tempat-tempat mendapat vaksin untuk memujuk kanak-kanak yang menangis.

Mulai minggu ini, kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun boleh pergi ke mana-mana pusat vaksinasi kanak-kanak bersama ibu bapa atau waris dari Isnin hingga Khamis untuk mendapatkan dos vaksin yang pertama tanpa sebarang janji temu.

Mereka dinasihati supaya tiba ke pusat-pusat vaksinasi itu sebelum pukul 7.00 malam.

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan