Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hampir 1,000 kes serangan libatkan pekerja hijrahan di dormitori antara 2020 hingga 2022

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sebanyak 990 kes serangan melibatkan pekerja hijrahan di dormitori dilaporkan kepada polis antara 2020 hingga 2022.

Ia termasuk kes pergaduhan dan rusuhan, kata Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri Sun Xueling di Parlimen pada Selasa (7 Feb).

Berdasarkan perangkaan yang dicatatkan sebelum ini, jumlah insiden yang dilaporkan itu lebih tinggi berbanding 2020 dan 2021.

Dari 2020 hingga 2021, terdapat sekitar 550 kes menyebabkan kecederaan kepada individu di dormitori pekerja hijrahan. Jumlah itu berdasarkan data yang didedahkan Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam di Parlimen Februari lalu, termasuk insiden pergaduhan dan rusuhan melibatkan pekerja hijrahan.

Ia bermakna pada 2022, terdapat sekitar 440 kes serupa.

Cik Sun, yang turut Menteri Negara Pembangunan Sosial dan Keluarga memberikan angka terbaru itu semasa menjawab soalan yang diajukan Encik Murali Pillai, Anggota Parlimen (AP) Bukit Batok.

Encik Murali bertanya tentang jumlah kejadian serangan melibatkan pekerja hijrahan di dormitori yang dilaporkan kepada polis dan jumlah insiden yang berbaur perkauman.

Cik Sun berkata, "hanya segelintir kes" melibatkan individu berbeza kaum dan tiada kes yang dilaporkan berbaur perkauman.

Menjelaskan tentang langkah-langkah yang diambil untuk mengurangkan risiko kes serangan sedemikian, Cik Sun berkata, polis bekerjasama dengan pengendali dormitori mengenai isu keselamatan.

"Sebagai sebahagian syarat pelesenan di bawah Kementerian Tenaga Manusia (MOM), para pengendali dikehendaki menetapkan aturan keselamatan, termasuk sistem televisyen litar tertutup (CCTV) dan pegawai keselamatan," tambahnya.

"Polis turut bekerjasama dengan pengendali untuk berkongsi dengan penghuni dormitori mengenai pencegahan jenayah dan isu berkaitan keselamatan."

Bulan lalu, polis memberitahu Mediacorp bahawa sembilan lelaki berusia antara 24 dengan 54 tahun sedang membantu siasatan berhubung kes rusuhan yang berlaku di dormitori pekerja hijrahan di Changi.

Dalam rakaman video pergaduhan yang berlaku pada 17 Januari, lapan lelaki dilihat menumbuk dan memekik antara satu sama lain di tangga.
Sumber : Today/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan