Skip to main content

Singapura

Hamidah Aidillah, Amalina Abdul Nasir disenarai antara 100 wanita cemerlang dalam teknologi SG

Anggaran Waktu Membaca:
Hamidah Aidillah, Amalina Abdul Nasir disenarai antara 100 wanita cemerlang dalam teknologi SG

Pengasas Parrot Social, Cik Hamidah Aidillah Mustafa, disenarai antara 100 wanita cemerlang dalam teknologi SG. (Gambar: Hamidah Aidillah)

SINGAPURA: Bukan mudah untuk memulakan sebuah syarikat teknologi dalam industri yang dikuasai lelaki.

Namun, pengasas Parrot Social, Cik Hamidah Aidillah Mustafa membuktikan bahawa kaum wanita juga mampu cemerlang dalam industri tersebut.

Firma beliau yang ditubuhkan pada 2018 menawarkan khidmat memburu dan menganalisis data berpandukan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) bagi pelbagai tujuan seperti pemasaran, tukikan perniagaan dan perluasan rangkaian.

Related article image
Gambar: Hamidah Aidillah

Semua itu membantu syarikat-syarikat dan pertubuhan lain meramalkan trend perniagaan serta keadaan sosial dan politik masa depan.

"Saya sangat terharu dengan pencapaian ini kerana ia mengiktiraf semua kerja-kerja baik Parrot Social selama bertahun-tahun ini dalam bidang Analitik AI dan kajian.

"Dan saya secara peribadi melihatnya sebagai satu detik penting untuk Parrot Social terutama sekali sejak menubuhkan syarikat ini daripada bawah sebagai seorang wanita dalam industri yang sering kali dikuasai golongan lelaki," kata Cik Hamidah dalam satu jawapan bertulis kepada BERITA Mediacorp.

Beliau mahu berkongsi pengiktirafan itu bersama pasukannya yang bekerja keras untuk syarikat itu

HARAP LEBIH RAMAI WANITA PEREMPUAN LAIN MENCEBURI BIDANG TEKNOLOGI

Related article image
Gambar: Hamidah Aidillah

Cik Hamidah melihat industri teknologi, terutama AI sebagai satu bidang yang berkembang pesat.

"Saya fikir teknologi ialah industri yang sangat menarik untuk diceburi terutamanya kerana kemajuan AI dan teknologi sangat hebat. Begitu banyak yang perlu dipelajari dan kemudian bagi kami untuk berinovasi dan mencari huraian-huraian baharu yang dapat memenuhi keperluan khusus para pelanggan kami.

"Sebagai seorang wanita dalam bidang teknologi dan STEM, saya berharap pengiktirafan yang saya raih ini akan membuka jalan bagi wanita untuk mempertimbangkan kerjaya dalam bidang teknologi dan terus belajar dan berinovasi," ujar Cik Hamidah, 38 tahun.

Beliau juga berharap bahawa golongan wanita tidak gentar untuk memburu sesuatu yang mungkin "mencabar dan menakutkan."

"Selagi kita tekun untuk belajar dan memperbaiki diri, saya percaya sumber dan sokongan akan tersedia dalam pelbagai cara yang mungkin tidak jangkakan," kata beliau.

LEBIH RAMAI MASYARAKAT MELAYU/ISLAM YANG MINAT DALAM INDUSTRI TEKNOLOGI KIN

Related article image
Gambar: MCI

Cik Hamidah melihat trend lebih ramai anggota masyarakat Melayu/Islam yang menceburi industri berkaitan teknologi dan "positif" ia akan meningkat pada tahun-tahun yang akan datang.

"Saya dapat lihat trend ini sedang saya berhubung dengan rakan-rakan kongsi dan sekutu, serta para pemilik syarikat teknologi Melayu/Islam yang lain di Singapura dan di luar negara. Ini satu trend yang amat menggalakkan dan akan meningkat," kata Cik Hamidah.

AMALINA ABDUL NASIR, NUR ATIKAH AMALINA ZAINI, NUR ATIQAH OTHMAN TURUT DISENARAI

Related article image
Gambar: Facebook/Amalina Abdul Nasir

Seorang lagi wanita Melayu/Islam yang tersenarai dalam SG100WIT tahun ini ialah Pengurus Dasar Produk untuk Kandungan Terkawal dan Tingkah Laku Kesihatan di TikTok, Cik Amalina Abdul Nasir.

"Bagi saya Anugerah SG100WIT adalah satu pengiktirafan bagi seorang anak muda Muslim dalam bidang teknologi, terutamanya pasukan teras dan penting yang terlibat dalam penggubalan dasar.

"Sebagai seorang lulusan madrasah, saya berharap ini dapat memberi inspirasi kepada bukan sahaja para pelajar madrasah tetapi ramai lagi daripada latar belakang yang unik untuk menanam cita-cita besar dan mengejar aspirasi kerjaya mereka. Saya berharap anugerah ini juga akan mendorong lebih ramai wanita untuk berusaha dan menembusi kepimpinan dalam bidang ini pada masa hadapan," kata Cik Amalina kepada BERITA Mediacorp.

Tiga lagi individu Melayu/Islam yang turut diiktiraf ialah Pengurus Program DEI Kanan di Syarikat Amazon, Nur Atikah Amalina Zaini, Jurutera Kajian Kanan, Institut Pengkomputeran Prestasi Tinggi (IHPC) di
A*STAR, Nur Atiqah Othman dan Jurutera Perisian di PayPal, Nadhira Salsabila.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita