Skip to main content

Singapura

Halimah Yacob tunaikan janji jadi 'Presiden untuk semua rakyat SG', kata PM Lee

Anggaran Waktu Membaca:
Halimah Yacob tunaikan janji jadi 'Presiden untuk semua rakyat SG', kata PM Lee

PM Lee menyampaikan ucapan di majlis perpisahan Puan Halimah di Istana pada 13 Sep 2023.

Diterbitkan : 14 Sep 2023 08:02AM Dikemas Kini : 14 Sep 2023 08:58AM
SINGAPURA: Mantan Presiden, Halimah Yacob telah menunaikan janjinya untuk menjadi "Presiden untuk semua orang", kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Rabu (13 Sep).

Bercakap pada majlis perpisahan Puan Halimah di Istana, PM Lee mengimbas kembali apa yang beliau katakan semasa beliau dipilih menjadi presiden pada 2017.

“Melalui kepimpinan dan keikhlasan anda untuk rakyat, anda tentu sekali sudah menunaikan janji anda. Usaha anda untuk memperluaskan peluang untuk semua telah menjadikan Singapura lebih bersatu dan inklusif, di mana kita semua mempunyai peranan untuk dimainkan,” tambahnya.

“Komitmen anda untuk memartabatkan masyarakat kita dan keprihatinan anda terhadap setiap warga Singapura akan terus memberi inspirasi dan membimbing rakyat Singapura sedang kita menyegarkan semula kompak sosial kita dan terus maju ke hadapan.”

Puan Halimah melepaskan jawatan sebagai Presiden kelapan Singapura pada Rabu (13 Sep). Mantan Menteri Kanan Tharman Shanmugaratnam akan mengangkat sumpah sebagai Presiden pada Khamis (14 Sep).

Sebagai Presiden wanita pertama Singapura, salah satu minatnya ialah kesaksamaan jantina, dan dalam pelbagai peranannya, Puan Halimah turut berkongsi pengalaman peribadinya dalam dialog dan menggalak kaum wanita untuk terus menguji diri mereka, kata PM Lee dalam ucapannya di majlis perpisahan Puan Halimah pada Rabu.
Related article image
(Gambar: CNA/Gaya Chandramohan)
"Usaha anda mencabar stereotaip jantina dan membantu meningkatkan lagi kesedaran tentang sikap berat sebelah yang masih dihadapi oleh kaum wanita."

Puan Halimah juga memberikan perhatian khusus kepada golongan kurang upaya dan mengambil berat tentang isu kesihatan mental, terutamanya dalam kalangan belia Singapura, katanya.

Sebagai Presiden, beliau kerap melawat agensi-agensi kebajikan sosial untuk memahami cabaran yang dihadapi oleh golongan kurang upaya dan untuk menggalak majikan dan rakyat Singapura supaya lebih menerima dan memahami mereka, puji PM Lee.

Beliau juga melancarkan program Menyokong Belia dalam Masyarakat untuk menyediakan golongan belia dengan sokongan psikososial, katanya, sambil menambah bahawa ia berjaya membantu ramai orang muda untuk mengatasi masalah mental mereka.

Dengan hubungan rapatnya dengan gerakan buruh, Puan Halimah juga mengutamakan kepentingan pekerja, terutamanya pekerja bergaji rendah, kata PM Lee.

Puan Halimah memulakan kerjayanya sebagai pegawai perhubungan industri di NTUC pada 1978. Beliau dilantik sebagai timbalan setiausaha agung NTUC pada 2007 dan berundur daripada jawatan itu pada 2011.

Sebagai Presiden Singapura semasa negara dilanda pandemik COVID-19, Puan Halimah memegang "kunci kedua" kepada rizab Singapura, melaksanakan tugasnya "dalam skala yang belum pernah berlaku sebelum ini", kata PM Lee.
Walaupun Singapura sudah mengeluarkan S$4.9 bilion daripada rizabnya semasa Krisis Kewangan Global 2009 untuk menyokong ekonomi dan pekerjaan, wabak COVID-19 adalah "pada skala yang berbeza sama sekali", kata PM Lee, sambil menambah bahawa pemerintah perlu mendapatkan kelulusannya untuk berulang kali menggunakan rizab negara.

Bersama dengan Majlis Penasihat Presiden, Puan Halimah bekerja rapat dengan pemerintah untuk memahami situasi yang berubah dengan pantas dan menilai maklum balas dan permintaan yang disarankan untuk memastikan bahawa pengeluaran rizab yang diminta adalah perlu dan wajar, ujar PM Lee selanjutnya.

Semasa pandemik COVID-19, Puan Halimah meluluskan pengeluaran rizab sehingga S$69 bilion daripada rizab negara antara 2020 hingga 2022, dengan kira-kira S$40 bilion digunakan.

Ini masih merupakan jumlah terbesar yang dikeluarkan sejak sistem "kunci kedua" diwujudkan, kata PM Lee.
“Ini membolehkan pemerintah bertindak pantas dan yakin untuk menangani krisis, tanpa perlu menanggung beban hutang yang banyak dan membebankan generasi akan datang,” tambahnya.

“Dengan sokongan anda, pemerintah dapat menyelamatkan nyawa, menstabilkan ekonomi, memelihara pekerjaan dan memastikan Singapura bangkit lebih kukuh dan berdaya tahan selepas COVID-19.”
Sumber : CNA/AW/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita