Halimah Yacob lepaskan jawatan Speaker, Anggota Parlimen dan keanggotaan PAP esok
Speaker Parlimen Halimah Yacob menamatkan spekulasi dan mengumumkan bahawa beliau akan bertanding sebagai calon dalam Pilihan Raya Presiden bulan depan.
Cik Halimah Yacob bertemu dengan wartawan setelah mengumumkan hasratnya untuk bertanding dalam Pilihan Raya Presiden. (Gambar: BERITAMediacorp)
SINGAPURA: Akhirnya, Speaker Parlimen Halimah Yacob menamatkan spekulasi dan mengumumkan bahawa beliau akan bertanding sebagai calon dalam Pilihan Raya Presiden bulan depan.
Perisytiharan untuk bertanding itu beliau umumkan semasa berucap di hadapan ribuan penduduknya dalam majlis sambutan Hari Kebangsaan 2017 bagi GRC Marsiling-Yew Tee.
"Saya mahu memaklumkan kepada anda bahawa saya akan bertanding dalam Pilihan Raya Presiden akan datang," isytihar Cik Halimah dengan disambut oleh tepukan gemuruh yang panjang daripada hadirin.
Cik Halimah juga menyatakan, beliau akan secara rasmi meletak jawatan selaku Anggota Parlimen GRC Marsiling-Yew Tee dan juga akan melepaskan jawatan Speaker Parlimen yang disandangnya sekarang ini. Beliau juga akan melepaskan keanggotaannya dalam Parti Tindakan Rakyat (PAP).
Surat perletakan jawatan itu akan beliau serahkan kepada Perdana Menteri Lee Hsien Loong esok (7 Ogos).
AKAN TERUS MENJAMU SELERA DI KEDAI KOPI
Bercakap kepada para penduduk di majlis itu, Cik Halimah berkata bahawa mereka masih akan melihat beliau menjamu selera di kedai-kedai kopi dan teh tarek di Marsiling.
Dalam wawancara dengan pihak media kemudian, Cik Halimah ditemani oleh suami beliau, Encik Mohamed Abdullah Alhabshee, yang berdiri di belakangnya.
Mengulas mengenai keputusannya itu, Cik Halimah berkata: "Saya telahpun berfikir dengan agak lama kerana bukan suatu keputusan yang boleh dibuat dengan cepat kerana tanggungjawab yang berat."
Beliau berkata, berkhidmat sebagai Presiden jika terpilih, adalah sambungan kepada khidmatnya kepada warga Singapura, selepas 16 tahun menjadi Anggota Parlimen dan 40 tahun dalam khidmat awam.
HALIMAH MASIH MAHU TINGGAL DI FLAT HDB
Ditanya wartawan sama ada Cik Halimah akan terus tinggal di flat HDB beliau di Yishun sekarang ini, beliau menjawab bahawa tiada sebab untuk beliau berhenti berbuat demikian.
"Saya sangat selesa dengan flat HDB dan saya tidak melihat mengapa saya tidak boleh meneruskannya. Kecuali jika ada pertimbangan-pertimbangan lain seperti pertimbangan keselamatan misalnya.
"Tapi selain daripada itu, saya tidak melihat sebarang sebab mengapa saya tidak boleh teruskan (tinggal di flat HDB)," jelas Cik Halimah.
Beliau juga ditanya wartawan BERITAMediacorp tentang komen beliau mengenai dua lagi tokoh yang sudahpun melahirkan hasrat untuk bertanding - iaitu pengasas syarikat Second Chance, Encik Salleh Marican, dan pengerusi syarikat Bourbon Offshore Asia, Encik Farid Khan Kaim Khan.
Ini jawapan Cik Halimah: "Saya rasa dalam sistem demokrasi, kita harus mengalu-alukan usaha sedemikian. Itu menunjukkan kematangan sistem politik kita dan itu adalah satu langkah yang satu langkah yang baik dan kita ada mereka yang mahu bertanding dalam Pilihan Raya ini."
INI KOMEN SUAMI TENTANG KEPUTUSAN HALIMAH UNTUK TANDING
Dalam wawancara media itu, suami beliau, Encik Mohamed Abdullah juga diminta para wartawan supaya memberi komen tentang hasrat isterinya untuk bertanding.
Menjawab, Encik Mohamed berkata beliau sememangnya mengalu-alukan keputusan isterinya itu.
"Beliau sangat berupaya. Beliau bekerja sangat keras. Sangat berpengalaman dalam mewakili Singapura dalam pelbagai kesatuan. Jadi, saya fikir beliau adalah orang yang tepat (untuk menjadi Presiden)," ujar Encik Mohamed memberikan sokongan kuatnya.
Cik Halimah juga berkata, beliau sudah berbincang dengan rakan-rakan AP Melayu dan mereka memberikan sokongan padu kepada langkah beliau untuk memasuki gelanggang Pilihan Raya Presiden.
LATAR BELAKANG RINGKAS HALIMAH YACOB
Cik Halimah Yacob, 62 tahun, sebelum ini adalah seorang aktivis kesatuan sekerja sebelum menceburi politik. Beliau dilantik sebagai Speaker Parlimen sejak 2013, menjadikan beliau wanita pertama di Singapura menyandang jawatan itu.
Salah satu tanggungjawab beliau sebagai Speaker Parlimen adalah untuk mengambil alih tugas Presiden, jika kedua-dua Presiden dan Pengerusi Majlis Penasihat Presiden di luar negara.
Cik Halimah mula menceburi politik pada tahun 2001 apabila dilantik sebagai Anggota Parlimen bagi GRC Jurong.
Selepas Pilihan Raya Umum 2011, beliau dilantik sebagai Menteri Negara Kementerian Pembangunan Masyarakat, Belia dan Sukan ketika itu.
Portfolio beliau termasuk sektor penjagaan kanak-kanak dan khidmat sosial. Namun setelah menjadi Speaker Parlimen, beliau meletakkan jawatan sebagai Menteri Negara.
Sebelum menyandang jawatan politik, Cik Halimah mengetuai bahagian ehwal wanita pergerakan buruh Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC).
Beliau bekerjasama rapat dengan para pemimpin kesatuan sekerja sebagai penasihat undang-undang mereka.
Dalam bidang pendidikan, Cik Halimah merupakan lulusan Sarjana Undang-Undang dari Universiti Nasional Singapura (NUS).
Pencapaiannya di peringkat antarabangsa juga menyerlah, termasuk berkhidmat di badan pentadbir Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) di Geneva, Switzerland.
Beliau juga banyak terlibat dalam kegiatan masyarakat Melayu dan pernah menjadi anggota lembaga pengarah beberapa pertubuhan seperti Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) dan Syarikat Guru Melayu Singapura Koperatif.
Cik Halimah mempunyai lima orang anak.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.