Hala tuju perubahan industri kewangan dikemas kini; wujudkan sehingga 4,000 pekerjaan setahun
Hala tuju yang diperbaharui untuk mengubah industri khidmat kewangan menyasarkan untuk mewujudkan antara 3,000 hingga 4,000 pekerjaan baru setiap tahun dan mencapai pertumbuhan antara 4 hingga 5 peratus secara purata setiap tahun.

Orang ramai dilihat di Daerah Pusat Bandar (CBD) Singapura pada 29 Mac 2022. (Gambar: Marcus Mark Ramos/CNA)
Perancangan Perubahan Industri (ITM) dengan sasaran serta strategi baru bagi industri tersebut antara 2021 dengan 2025 diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong pada Khamis (15 Sep).
ITM khidmat kewangan pertama kali dilancarkan pada 2017 sebagai salah satu daripada 23 pelan induk sektor untuk memacu usaha transformasi.
Ketika itu, sasaran tahunan adalah untuk mencapai purata pertumbuhan nilai tambah sebenar sebanyak 4.3 peratus dalam sektor kewangan sambil mewujudkan 3,000 pekerjaan baru.
ITM itu sudahpun menjangkaui kedua-dua sasarannya itu. Sektor tersebut berkembang purata 5.7 peratus setiap tahun antara 2016 hingga 2020 dengan purata 4,100 pekerjaan baru diwujudkan setiap tahun.
Meskipun sektor itu sudah menunjukkan kemajuan baik, lebih banyak cabaran muncul dalam persekitaran luaran yang semakin kompleks, kata Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan merangkap Timbalan Pengerusi Penguasa Kewangan Singapura (MAS).
Dunia yang masih sedang pulih daripada pandemik COVID-19 kini melangkah ke fasa dengan risiko makroekonomi dan geopolitik yang tinggi. Sektor tersebut perlu menangani gangguan daripada pemacu struktur seperti teknologi dan pendigitalan selain "mesti juga tampil ke hadapan dan mengambil langkah berani" untuk memangkin peralihan sifar karbon.
“Jadi kami sedang mengemas kini ITM - meneliti cara-cara untuk merebut peluang baru sambil kekal berdaya bingkas terhadap risiko yang timbul dan kami akan mengemas kini rancangan, strategi serta sasaran kami buat lima tahun mendatang," kata Encik Wong.
TINGKATKAN KEMAHIRAN TENAGA KERJA TEMPATAN "TANPA HENTI"
Antaranya adalah untuk membangunkan tenaga kerja yang berkemahiran dan boleh menyesuaikan diri, dengan pembiayaan geran sebanyak S$400 juta diperuntukkan bagi program pengembangan bakat dan kepimpinan selama tempoh lima tahun sehingga 2025.
Pembiayaan itu, disediakan oleh Dana Pembangunan Sektor Kewangan yang ditadbir oleh MAS, akan membantu untuk memudahkan sokongan latihan bagi karyawan kewangan di peringkat kerjaya mereka yang berbeza, membangunkan bakat pakar dalam bidang-bidang seperti kemampanan serta membantu mereka yang menggalas peranan kepimpinan untuk berjaya melalui rangkaian dan pendedahan di persada antarabangsa.
Encik Wong berkata Singapura akan memerlukan bakat terbaik, dari dalam negeri mahupun seluruh dunia, untuk muncul sebagai pusat kewangan antarabangsa yang utama di Asia.
Singapura juga banyak melabur dalam modal insan di negara ini sebagai sebahagian daripada strategi bakat "dua serampang".
KEWANGAN MESRA ALAM, PEMBAYARAN RENTAS SEMPADAN, ASET DIGITAL
Satu lagi tumpuan utama adalah untuk mempercepatkan peralihan sifar karbon di rantau ini. MAS menyatakan ia sedang bekerjasama dengan industri untuk membangunkan huraian inovatif bagi mempertingkatkan pembiayaan bagi usaha kemampanan serta peralihan tersebut.
MAS menambah ia juga akan menyediakan geran bernilai S$100 juta sepanjang lima tahun untuk menggalakkan bidang-bidang seperti pembangunan keupayaan dan teknologi kewangan (fintech) mesra alam.
Strategi lain di bawah ITM baru itu termasuk memperdalam keupayaan dalam pelbagai kelas aset seperti pengurusan harta, insurans dan fintech, di mana Singapura memainkan peranan utama di rantau ini serta seluruh dunia.
MAS juga akan berusaha untuk mempromosikan pembangunan prasarana dan wadah digital dalam bidang-bidang seperti pasaran bon dan pembayaran dana. Ini sementara ia meningkatkan keterhubungan pembayaran dengan rantau ini selain membangunkan ekosistem aset digital yang "inovatif lagi bertanggungjawab".
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.